Abu Hurairah RA berkata:
يقولُ اللَّهُ تَعالَى: أنا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بي، وأنا معهُ إذا ذَكَرَنِي، فإنْ ذَكَرَنِي في نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ في نَفْسِي، وإنْ ذَكَرَنِي في مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ في مَلَإٍ خَيْرٍ منهمْ، وإنْ تَقَرَّبَ إلَيَّ بشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إلَيْهِ ذِراعًا، وإنْ تَقَرَّبَ إلَيَّ ذِراعًا تَقَرَّبْتُ إلَيْهِ باعًا، وإنْ أتانِي يَمْشِي أتَيْتُهُ هَرْوَلَةً.
Maksudnya: “Allah Ta'ala berfirman: “Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam satu kumpulan, Aku akan menyebutnya di hadapan kumpulan yang lebih baik daripada mereka. Jika dia mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta; jika dia mendekati-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa, dan jika dia datang kepada-Ku berjalan, Aku akan datang kepadanya berlari kecil.” (HR al-Bukhari 7405 dan Muslim 2675)
Huraian
Mengingati Allah Ta'ala atau Zikrul Allah adalah salah satu ibadah yang paling agung yang dapat dilakukan oleh seorang Muslim untuk mendekatkan dirinya kepada Tuhannya. Zikrul Allah merangkumi semua bentuk ibadah yang dilakukan kepada Allah Yang Maha Mulia, dalam bentuk mengagung dan memuji-Nya dengan penuh kehadiran hati, dengan lidah, dan anggota badan. Allah Ta'ala memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk mengingati-Nya, dan menyediakan ganjaran besar atas perbuatan ini.
Dalam hadis qudsi ini, Nabi SAW meriwayatkan bahawa Allah berfirman: "Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku." Ini bermaksud, jika hamba itu bersangka baik kepada Allah, maka dia akan dapati Allah seperti sangkaannya itu. Jika dia berburuk sangka, maka dia juga akan mendapati apa yang disangkakannya itu. Berbaik sangka dengan Allah ialah dengan melakukan amalan yang menyebabkan memperolehi kelebihan dan rahmat-Nya, serta berharap agar Allah menerima amalannya tersebut. Maka Allah bersama dengan sangkaan hamba-Nya terhadap-Nya, menurut kadar sangkaan dan keyakinan hamba terhadap-Nya. Pemberian dan balasan Allah menurut sangkaan seseorang hamba kepada-Nya berkaitan pahala atau hukuman balas, kebaikan atau keburukan. Sesiapa yang menyangka sesuatu yang agung dan mulia akan diterimanya daripada Allah, dia akan mendapatnya, kerana tiada sesuatu pun yang terlalu besar bagi Allah.
Adapun berbaik sangka tanpa beramal adalah hanya sekadar angan-angan dan menjadikan dirinya hanya mengikuti hawa nafsunya. Dia berangan-angan untuk mendapat sesuatu yang dia tidak layak menerimanya.
Allah Ta'ala berfirman dalam hadis di atas yang bermaksud: "Dan Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku." Iaitulah jika hamba itu mengingati Allah dengan bertasbih dan bertahlil atau lainnya ketika bersendirian, maka Allah akan mengingati orang tersebut di sisi-Nya. Jika orang itu mengingati Allah dalam satu kumpulan, Allah akan menyebutnya di hadapan malaikat yang lebih baik dari mereka kumpulan orang itu berada di dalamnya. Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan bahawa Allah mempunyai "diri" atau “zat” yang Maha Agung dan Maha Tinggi yang tidak serupa dengan makhluk. Buktinya ialah firman Allah: وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ maksudnya: "Dan Allah memberi amaran kepada kamu mengenai diri-Nya" (Ali Imran: 28, 30), dan: كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَى نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ maksudnya: "Tuhanmu telah menetapkan kasih sayang pada diri-Nya" (Al-An’am: 54).
Setelah itu, Allah berfirman dalam hadis qudsi di atas yang bermaksud: "Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta; jika dia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa; dan jika dia datang kepada-Ku berjalan, Aku akan datang kepadanya berlari kecil." Ini bermaksud, kedatangan Allah kepada hamba-Nya adalah lebih besar dari kedatangan hamba kepada-Nya. Namun mendekatnya Allah dalam hadis ini tidak memaksudkan pada zahirnya dengan alasan;
[1] Hadis ini bukan berbentuk pemberitahuan Mutlaq tentang Allah berjalan dan berlari anak. Sebaliknya ia adalah pemberitahuan berkaitan dengan perbuatan makhluk, lalu disebut tentang Allah dalam bentuk yang setimpal dengan perlakuan makhluk. Jika seseorang hamba mendekatkan diri kepada Allah dengan cara mendekatkan dirinya dalam bentuk jarak tertentu yang ditempohnya dengan berjalan kaki, maka boleh dikatakan zahir hadis menunjukkan “Allah mendekati hamba” seperti itu juga. Namun jika kita mengetahui bahawa seseorang hamba mendekatkan dirinya kepada Allah adalah dengan mengukuhkan iman dan melakukan amalan saleh, bagaimana mungkin untuk difahami “Allah mendekati” hamba-Nya dengan cara yang tidak difahami dari hadis cara mendekatkan diri seseorang hamba kepada tuhannya?
[2] Hadis ini bertujuan menerangkan tentang balasan dan habuan yang bakal diterima oleh hamba yang berusaha mendekatkan diri kepada Allah. Seorang hamba yang mendekatkan dirinya kepada Allah diungkapkan sebagai syarat pertama menurut bahasa, ia merujuk kepada sebab pada maknawi. Ini kerana manusia tidak mendekatkan dirinya kepada Allah dengan menempoh jarak tertentu melainkan dengan iman dan amalan saleh. Oleh itu “kedekatan Allah” adalah al-Musabbab, di mana al-Musabbab mestilah dari jenis yang sama dengan sebab (maknawi).
[3] Susunan bahasa seperti dalam hadis ini, tidak boleh difahami pada bahagian kedua atau pada bahagian Allah melainkan mesti difahami sepertimana difahami secara maknawi seseorang mendekatkan diri kepada Allah. Kerana suatu yang mustahil untuk mengatakan hadis ini memaksudkan sesuatu tentang Allah, sedangkan maksud itu sahaja mustahil untuk seorang hamba.
Ungkapan-ungkapan hadis ini menunjukkan kebaikan dan kepemurahan Allah yang Maha Tinggi, di mana Dia memberi lebih daripada apa yang dilakukan oleh hamba-Nya. Hadis ini juga menggalakkan kita untuk berbaik sangka kepada Allah Ta'ala, menetapkan bahawa Allah memiliki diri, Allah berkata-kata, keutamaan mengingati-Nya secara sembunyi atau terang-terangan, serta Allah membalas hamba-Nya sesuai dengan amalan yang dilakukannya. Hadis ini juga menunjukkan bahawa balasan yang bakal diterima oleh seorang hamba adalah dari jenis amalan yang dilakukannya.