Hadis Muslim (1297) daripada Jabir bin ‘Abdillah RA yang berkata:
رَأَيْتُ النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ يَرْمِي علَى رَاحِلَتِهِ يَومَ النَّحْرِ، ويقولُ: لِتَأْخُذُوا مَنَاسِكَكُمْ، فإنِّي لا أَدْرِي لَعَلِّي لا أَحُجُّ بَعْدَ حَجَّتي هذِه.
Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW melontar (jamrah) sambil dari atas tunggangan baginda pada Hari Nahr (10 Zulhijjah). Baginda bersabda: “Hendaklah kamu semua mengambil daripadaku manasik (tatacara ibadah haji) kamu, kerana aku tidak tahu mungkin aku tidak akan menunaikan haji lagi selepas hajiku ini."
HURAIAN
Para sahabat RA sangat berusaha untuk mencontohi Nabi Muhammad SAW dalam setiap aspek kehidupan, terutama dalam ibadah. Antaranya adalah ibadah haji. semua rukun, sunat, dan adab-adab ibadah haji diambil daripada panduan Baginda SAW yang menjelaskan secara terperinci apa yang diijmalkan dalam al-Quran.
Dalam hadis ini, sahabat yang mulia, Jabir bin Abdullah RA, menceritakan bahawa beliau melihat Nabi SAW dalam Haji Wada'— yang berlaku pada tahun kesepuluh hijriyyah —melontar Jamrah Aqabah sambil menunggang unta baginda pada hari Nahr, iaitu pada 10 Zulhijjah. Baginda melontar dalam keadaan menunggang unta untuk memperlihatkan kepada orang ramai cara perlaksanaan haji dari baginda. Nabi SAW berkata kepada mereka: لِتَأْخُذوا مَناسكَكم "hendaklah kamu semua mengambil daripadaku cara manasik (tatacara haji) kamu." Maksudnya, pelajarilah daripadaku, ingati hukum-hukum yang aku laksanakan dalam ibadah hajiku ini, terdiri dari perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatanku. Amalkan ia dan ajarkan kepada orang lain.
Baginda menerangkan sebab tunjuk ajar dari baginda tersebut dengan bersabda: فإِنِّي لا أَدْرِي لعلِّي لا أَحُجُّ بعدَ حَجَّتي هذِه "Kerana aku tidak tahu barangkali aku tidak dapat menunaikan haji lagi selepas hajiku ini." Ini adalah isyarat bahawa Baginda sedang mengucapkan selamat tinggal kepada umatnya dan pemberitahuan tentang dekatnya ajal Baginda. Kerana itu, baginda memberi galakan kepada para sahabat untuk mengambil dan mencontohi perlaksanaan haji dari baginda, memanfaatkan kesempatan untuk mendampingi baginda, dan mempelajari urusan agama daripada baginda. Oleh itu, haji ini dikenali sebagai Haji Wada' (Haji Perpisahan).
Hadis ini memberi pengajaran bahawa Nabi SAW memerintahkan umat Islam untuk mengambil ajaran agama daripada baginda, khususnya tatacara ibadah haji, dan tidak melakukan sesuatu berdasarkan hawa nafsu, tetapi mengikuti sunnah yang telah Baginda tetapkan.