‘Abdullah bin ‘Abbas RA berkata:
إنَّ اللهَ كتب عليكم السعيَ فاسْعوا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan sa’y ke atas kamu semua. Oleh kerana itu laksanakanlah sa’y." (Hadis riwayat al-Tabarani 11/184 - 11437. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ 1798)
HURAIAN
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab hidup dalam kejahilan. Mereka telah memasukkan beberapa adat jahiliah ke dalam manasik (tatacara) haji. Apabila Islam datang, Islam mengekalkan manasik yang berasal daripada Nabi Ibrahim AS dan menghapuskan adat serta syiar jahiliah.
Dalam hadis ini, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas kamu sa'y" Sa’y ialah perbuatan berlari-lari cepat secara memendekkan langkah antara Bukit Safa dan Marwah dalam ibadah haji dan umrah. Nabi SAW berkata, "Maka bersa'ylah," iaitu lakukan sa'y sebanyak tujuh pusingan bermula dari Safa dan berakhir di Marwah.
Nabi SAW menyebutkan hal ini kerana masyarakat jahiliah dahulu melakukan sa'y antara Safa dan Marwah. Apabila Islam datang, sebahagian sahabat berhenti tidak lagi melakukan sa’y, kerana menganggap ia dari amalan jahiliah. Lalu, Nabi SAW menjelaskan bahawa sa'y adalah sebahagian daripada syiar Allah, sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا
"Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar Allah. Maka sesiapa yang menunaikan haji ke Baitullah atau berumrah, tiada salah baginya untuk melakukan tawaf (sa'y) antara kedua-duanya." (Surah al-Baqarah: 158)
Ayat ini menegaskan bahawa sa'y adalah ibadah yang diperintahkan oleh Allah, bukan syiar jahiliah. Ia juga merupakan syiar lama yang bermula sejak zaman Nabi Ibrahim AS. Ia mengingatkan kita kepada peristiwa Hajar, ibu Nabi Ismail AS, yang berlari-lari antara dua bukit ini mencari air untuk anaknya, bagi menjayakan perintah Allah SWT. Sa'y juga adalah salah satu rukun dalam ibadah haji dan umrah.