Daripada Ibn Mas‘ud RA, Nabi SAW bersabda:
أقيلوا ذوي الهيئةِ زلَّاتِهِم
Maksudnya: “Maafkanlah kesilapan orang yang mulia dan dikenali menjaga kehormatan diri.” (al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath 7562, al-Daraqutni dalam al-Afrad 4/73, dan Abu Nu‘aim dalam Tarikh Asbahan 2/204)
Daripada ‘Aisyah RA, Nabi SAW bersabda:
أقيلوا ذَوي الهيئاتِ عثَراتِهم إلا الحدودَ
Maksudnya: “Maafkanlah kesalahan orang yang mulia dan dikenali menjaga maruah kecuali dalam perkara hudud.” (Riwayat Ahmad 25513 dan al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra 7293. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Hidayah al-Ruwah 3/420)
Huraian
Memaafkan kesalahan kecil (zallah) yang dilakukan oleh orang yang dikenali dengan kebaikan dan memiliki keutamaan dalam masyarakat termasuk dalam keindahan syariat islam. Terutama orang yang sememangnya dikenali sebagai seorang yang mulia dan penuh kebaikan. Maka, bagi orang seperti ini, menutup kesalahannya adalah lebih utama, supaya kebaikannya tidak hilang dalam kalangan masyarakat, reputasi baik mereka tidak tercemar, agar teladan baik dan pengaruh positif mereka terjaga sehingga kebaikan mereka dapat dicontohi oleh masyarakat. Ungkapan Nabi SAW: "أَقيلوا" bermaksud memaafkan, memberikan kelonggaran atau meninggalkan dari dikenakan hukuman. "ذوي الهَيْئاتِ" merujuk kepada mereka yang mempunyai kedudukan terhormat, sifat mulia, sentiasa menjaga maruah diri dan memiliki reputasi yang baik. "عَثَراتِهِم" merujuk kepada kesalahan atau kesilapan yang mereka lakukan. "إلَّا الحُدودَ" menunjukkan pengecualian terhadap hukuman hudud yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, seperti mencuri atau zina, yang mesti ditegakkan tanpa kecuali dan tanpa melihat siapa pealah dari kalangan mereka yang mulia atau tidak. Dalam perkara yang berkaitan dengan hukum hudud, syariat tidak mengenal status sosial. Sehinggakan Rasulullah SAW bersabda:
لو أنَّ فاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَها
Maksudnya: "Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, aku pasti akan memotong tangannya." (al-Bukhari dan Muslim)
Baginda SAW juga bersabda:
إنَّ بني إسْرائيلَ كان إذا سَرَقَ فيهم الشَّريفُ تَرَكوهُ، وإذا سَرَقَ فيهم الضَّعيفُ قَطَعوهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Israil, apabila seorang yang mulia mencuri, mereka membiarkannya, tetapi apabila orang yang lemah mencuri, mereka jatuhkan hukuman ke atasnya” (al-Bukhari dan Muslim)
Hadis Ini menyebut salah satu keindahan syariat Islam yang sempurna. Sesungguhnya, seseorang yang dikenali melalui kebiasaannya sebagai orang yang baik dan lurus, apabila dia melakukan kesalahan kecil yang bukan melibatkan hudud Allah, maka mereka yang lain harus bersikap memaafkan, tidak mengambil tindakan keras ke atasnya dan tidak menghebohkannya kepada orang ramai. Ini kerana ciri-ciri kebaikan yang ada pada diri mereka adalah lebih banyak berbanding keburukan. Dalam hadis ini juga terdapat dalil tentang dibolehkannya meninggalkan hukuman ta'zir, kerana ia tidak seperti hudud. Jika ia sama, maka tiada perbezaan antara orang yang terhormat dan selainnya