Daripada Abdullah bin Abbas رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ sering berdoa:
ربِّ أَعِنِّيْ وَلَا تُعِنْ عَلَيَّ، وانْصُرْنِيْ وَلَا تَنْصُرْ عَلَيَّ، وَامْكُرْ لِيْ وَلَا تَمْكُرْ عَلَيَّ، وَاهْدِنِيْ وَيَسِّرِ الْهُدَى لِيْ، وَانْصُرْنِيْ عَلَى مَنْ بَغَى عَلَيَّ، رَبِّ اجْعَلْنِيْ لَكَ شَكَّارًا، لَكَ ذَكَّارًا، لَكَ رَهَّابًا، لَكَ مُطِيْعًا، إِلَيْكَ مُخْبِتًا، إِلَيْكَ أوَّاهًا مُنِيْبًا، رَبِّ تَقَبَّلْ تَوْبَتِيْ، وَاغْسِلْ حَوْبَتِيْ، وَأَجِبْ دَعْوَتِيْ، وَاهْدِ قَلْبِيْ، وَسَدِّدْ لِسَانِيْ، وثَبِّتْ حُجَّتِيْ وَاسْلُلْ سَخِيْمَةَ قَلْبِيْ
Maksudnya: "Wahai Tuhanku, bantulah aku dan janganlah Engkau membantu orang lain untuk melawan aku; tolonglah aku dan jangan Engkau menolong musuh terhadap aku; rancanglah untuk kebaikanku dan jangan Engkau merancang keburukan terhadapku; tunjukkanlah aku jalan yang benar dan permudahkanlah petunjuk itu bagiku; bantulah aku menghadapi sesiapa yang menzalimi aku. Wahai Tuhanku, jadikanlah aku seorang yang banyak bersyukur kepada-Mu, banyak mengingati-Mu, banyak takut kepada-Mu, banyak mentaati-Mu, banyak kembali kepada-Mu dengan penuh kerendahan hati, seorang yang sering memohon keampunan kepada-Mu, dan yang selalu bertaubat kepada-Mu. Wahai Tuhanku, terimalah taubatku, bersihkanlah dosa-dosaku, perkenankanlah doaku, tunjukkanlah hatiku kepada kebenaran, perelokkanlah lidahku, teguhkanlah hujahku, dan hilangkanlah kedengkian dari hatiku". (Riwayat Ibn Majah. Dinilah sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah, 3103)
Huraian:
Berdoa dan merendahkan diri kepada Allah dengan cara yang sesuai dengan kebesaran-Nya adalah kunci kepada penyelesaian segala kesulitan. Melalui doa, seorang hamba menzahirkan rasa kehinaan dan ketundukan dirinya kepada Allah kerana menyedari bahawa hanya Dia yang berkuasa untuk mengabulkan doa.
Dalam hadis ini, Ibn Abbas رضي الله عنهما memberitahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ sering berdoa: رَبِّ أَعِنِّيْ "Wahai Tuhanku, bantulah aku," bermaksud daku meminta pertolongan dan taufik daripada-Mu untuk mentaati dan menyembah-Mu dengan cara yang terbaik dan sempurna sehingga Dikau redha terhadapku. Daku juga meminta bantuan daripada-Mu dalam semua urusan agama, dunia, dan akhirat, termasuk untuk menghadapi musuh.
Ungkapan doa: وَلَا تُعِنْ عَلَيَّ "Dan jangan Engkau membantu orang lain untuk melawan aku," bermaksud janganlah Dikau Ya Allah memberikan bantuan kepada sesiapa pun, sama ada dari diriku sendiri iaitulah nafsu yang sentiasa mengarah kepada kejahatan atau syaitan sama ada syaitan jin mahupun manusia, yang boleh menghalang ketaatanku kepada-Mu.
Ungkapan doa: وَانْصُرْنِيْ "Bantulah aku," adalah satu permintaan pertolongan dan kemenangan dalam setiap keadaan. Dalam kalangan ulama ada yang mengatakan ia bermaksud: Bantulah daku” menghadapi nafsuku sendiri yang sering membawa kepada kejahatan, yang merupakah musuh yang paling ketara. Perkara ini sesuai dengan firman Allah dalam Surah Yusuf, ayat 53:
إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي
"Sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku."
Bahkan sebenarnya tiada sesuatu penghalang untuk difahami ungkapan doa ini memaksudkan mohon pertolongan untuk menghadapi seluruh musuh yang ada, merangkumi musuh nafsu sendiri. Ini kerana Nabi SAW tidak mengkhususkan musuh tertentu dalam lafaz doa tersebut.
Ungkapan doa: ولا تَنصُرْ علَيَّ "Dan jangan Engkau menolong musuh terhadap aku," bermaksud jangan Engkau Ya Allah, menjadikan diriku ini kalah, sehingga Engkau menjadikan aku dikuasai seseorangpun dari kalangan makhluk-Mu. Jangan juga Ya Allah Engkau menjadikan aku dikuasai oleh musuh batinku sendiri yang cenderung menggalakkan daku kepada keburukan, dengan menjadikan aku sentiasa mengikuti hawa nafsu dan meninggalkan petunjuk dari-Mu.
Ungkapan doa: وامْكُرْ لِيْ "Rancanglah untuk kebaikanku," di mana الْمَكْرُ, ialah الخِدَاعُ, jika ianya dari Allah, ia merujuk Allah mengenakan bala-Nya ke atas musuh-Nya dalam keadaan mereka tidak menyedarinya, dari rencana muslihat mereka sendiri. الْمَكْرُ adalah satu sifat kesempurnaan Allah SWT. Oleh itu ungkapan ini bermaksud: “Kenakanlah rancangan-Mu ke atas sesiapa yang bertujuan mengenakan keburukan dan kejahatan kepadaku. Kurniakanlah juga kepadaku perancangan yang Sejahtera dan terbaik untuk menolak rencana buruk dan jahat dari musuh-musuhku.
Ungkapan doa: ولا تَمكُرْ علَيَّ "Dan jangan Engkau merancang keburukan terhadapku," bermaksud; "Janganlah Dikau Ya Allah tunjukkan musuhku cara untuk mengalahkan aku atau menghalang aku daripada mempertahankan diriku. Dan janganlah Dikau memperlakukan aku sesuai dengan niat burukku jika ada, sehingga aku terpedaya dengan diriku sendiri, melampaui batas tanpa aku sedar, sehingga aku binasa.
Kalimah والمكرُ adalah salah satu sifat perbuatan Allah Ta'ala yang terkait dengan kehendak-Nya. Ia tidak diletakkan kepada Allah Ta'ala kecuali dalam konteks mengenakan balasan setimpal dan menghukum (المقابَلة والجزاء) mereka yang melakukan makar atau rencana terhadap-Nya dan terhadap orang-orang yang beriman.
Ungkapan doa: واهْدِني "Tunjukkanlah aku jalan yang benar," iaitu tunjukilah daku ke jalan yang lurus serta kurniakan kepadaku taufik untuk kekal di atas jalan itu sehingga bertemu dengan-Mu.
Ungkapan doa: ويَسِّرِ الهُدى لي "Dan permudahkanlah petunjuk itu bagiku," bermaksud Dikau mudahkanlah kepadaku untuk dapat mengikuti petunjuk dari-Mu itu dan dapat kekal berada di atas jalan petunjuk tersebut. Sediakanlah juga untukku sebab-sebab yang membawaku kepada kebaikan sehingga melakukan ketaatan kepada-Mu tidak menjadi berat ke atas ku dan tiada sesuatu yang menyibukkanku dari melakukan ketaatan kepada-Mu.
Ungkapan doa: وانصُرْني على مَن بَغى علَيَّ "Bantulah aku menghadapi sesiapa yang menzalimi aku," iaitu bantulah daku menghadapi sesiapa yang menindas dan melampau terhadapku. Ungkapan ini merupakah ungkapan khusus setelah diawalnya terdapat permohonan umum, iaitulah: وانصُرْني ولا تَنصُرْ علَيَّ "Bantulah aku, dan jangan Dikau menolong musuh terhadap aku.”
Setelah itu Baginda SAW berdoa: ربِّ اجعَلْني لك شَكَّارًا "Wahai Tuhanku, jadikanlah aku seorang yang banyak bersyukur kepada-Mu," iaitu jadikan aku seorang yang sentiasa bersyukur kepada-Mu dalam semua keadaan, sama ada ketika senang atau susah, pada perkataan atau perbuatan, secara terang-terangan atau tersembunyi.
Susunan perkataan dengan mendahulukan ungkapan jarr wa majrur: لك, menunjukkan pengkhususan. Iaitulah “Daku khususkan kepada-Mu kesyukuranku, kerana Dikaulah Tuhan Maha Pencipta akan segala nikmat dan Dikaulah Tuhan Yang Maha Pemberi nikmat tersebut kepada sesiapa yang Dikau kehendaki.
Memohon agar Allah mengurniakan taufiq dapat bersyukur kepada-Nya adalah kerana dengan bersyukur dapat memastikan keberlansungan nikmat-nikmat tersebut.
Ungkapan doa: لك ذَكَّارًا "Seorang yang banyak mengingati-Mu," bermaksud sentiasa mengingati Allah dalam setiap waktu dan keadaan. Ungkapan ini juga mengandungi permohonan dikurniakan taufiq tetap sentiasa mengingati-Nya yang merupakan amalan yang paling utama.
Ungkapan doa: لك رَهَّابًا "Seorang yang takut kepada-Mu," iaitu mempunyai rasa takut kepada Allah dalam semua keadaan dan tindakan.
Ungkapan doa: لك مُطيعًا "Seorang yang mentaati-Mu," dalam riwayat lain: لك مِطْواعًا bermaksud; seorang yang banyak taat dan patuh dalam melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya dengan sepenuh hati.
Ungkapan doa: لك مُخبِتًا "Seorang yang kembali kepada-Mu," bermaksud sentiasa merendahkan diri, memberikan ketundukan sepenuh hati kepada Allah. Tandanya ialah dengan sentiasa menghinakan diri kepada-Nya dalam keadaan mengagungkan-Nya. Kepada-Mu, daku khusu’, merendah dan menghinakan diriku.
Ungkapan doa: إليك أوَّاهًا مُنيبًا “Kepada-Mu, wahai Tuhan, aku menjadi seorang yang sangat banyak berdoa dan bertaubat." di mana الأوَّاهُ ialah sangat banyak merendahkan diri, berdoa, dan menangis kepada Allah عزَّ وجلَّ. Manakala الْمُنِيْبُ iaitulah orang yang sering kembali kepada Allah dan banyak bertaubat daripada dosa dan kesalahan.
Ungkapan doa: رَبِّ تقَبَّلْ توبَتي "Wahai Tuhanku, terimalah taubatku," iaitu jadikanlah taubatku benar-benar sahih lagi diterima dengan memenuhi syarat-syarat dan adab-adabnya.
Ungkapan doa: واغسِلْ حَوبَتي “Bersihkanlah dosa-dosaku," bermaksud hapuskanlah segala dosa dan kesalahanku. Sebutan dengan ungapan الغَسْل yang diterjemahkan sebagai bersihkanlah membawa maksud menghilangkannya sehingga tiada sebarang kesan lagi yang tertinggal.
Ungkapan doa: وأجِبْ دَعْوتي "Perkenankanlah doaku," iaitu perkenankanlah semua permintaan yang dipohon dalam doaku.