Jawapan Terhadap Golongan Membolehkan Istighathah Dengan Dalil Ibn 'Umar Menyebut Nama Nabi Ketika Mengalami Kebas Kaki

Oleh: al-Syeikh Muhammad Salim al-Bahiri

Penterjemah: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

------------------------------

 

Dalil lain dari pihak yang membolehkan Istighathah adalah riwayat daripada Abdullah bin Umar radhiallahu 'anhuma,

قَدْ خَدِرَتْ رِجْلُهُ، فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ : اذْكُرْ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَيْكَ، فَقَالَ عَبْدُ الله بنُ عُمَرَ رضي الله عنه: مُحَمَّدٌ.

Pernah kakinya mengalami kebas. Lalu seorang lelaki berkata kepadanya: "Sebutlah nama orang yang paling kamu cintai." Maka Abdullah bin Umar radhiallahu 'anhuma menjawab: "Muhammad."

Berdalil dengan atsar ini untuk membolehkan istighasah adalah tertolak dari dua sudut: Sudut Pendalilan dan Sudut Thubut. Berikut adalah perinciannya:

Dari sudut pendalilan – Berdalil dengan atsar ini untuk membolehkan istighasah adalah tertolak kerana:

Pertama: Athar ini tiada kaitan langsung dengan istighasah. Apa yang dinasihatkan oleh lelaki tersebut kepada Abdullah bin Umar radhiallahu 'anhuma adalah salah satu cara berubat dengan pengaruh emosi ke atas anggota fizikal yang berkesan dalam kalangan bangsa Arab. Mereka akan menyebut nama orang yang mereka cintai ketika mengalami kebas, dan kebas itu akan hilang. Dalam hal ini, terdapat banyak syair yang mengungkapkan perkara tersebut.

Asy-Syihab al-Khafajiy (الشهاب الخفاجي) rahimahullah menyebut dalam Naseem ar-Riyadh fi Syarh Syifa al-Qadhi 'Iyadh (نسيم الرياض في شرح شفاء القاضي عياض) 3/355 ketika menghuraikan atsar ini berkata:

لأن الناس جربوا في الخدران من أصابه إذا ذكر محبوبه زال بسهولة؛ لأنه بِمَسَرَّتِهِ تنتفض الحرارة الغريزيّة، فتدفع الخدر

“Ini kerana manusia telah mencuba, bahawa orang yang mengalami kebas jika menyebut nama orang yang dicintainya, kebas itu akan hilang dengan mudah. Ini kerana rasa kegembiraan akan menggerakkan haba semulajadi dalam tubuh, yang kemudiannya menghilangkan kebas tersebut."

Orang Arab juga menyebutkan syair berikut ini:

والله ما خَدِرَتْ رجلي وما عثرت ... إلا ذكرْتُكِ حتى يذهب الخدَرُ

“Demi Allah, kakiku tidak pernah kebas, dan aku tidak pernah tersandung, melainkan apabila aku menyebut namamu, kebas itu akan hilang.”

Demikian juga apa yang dikatakan oleh al-‘Allamah Ibn Allan dalam al-Futuhat ar-Rabbaniyyah fi Syarh al-Adzkar an-Nawawiyyah 1/200. Ketika beliau mengulas kata-kata Imam Nawawi:

وروينا فيه عن إبراهيم بن المنذر الحزامي أحد شيوخ البخاري الذين روى عنهم في (صحيحه) قال: كان أهل المدينة يعجبون من حسن بيت أبي العتاهية:

وتَخْدَرُ في بعض الأحايين رجلُه ... فإن لم يقل: يا عُتْبُ لم يذهب الخَدَرُ

“Kami meriwayatkan dalam hal ini daripada Ibrahim bin al-Mundzir al-Hizami, salah seorang guru al-Bukhari yang beliau riwayatkan daripadanya dalam kitab (Sahihnya)”, telah berkata: “Penduduk Madinah kagum dengan keindahan bait syair Abu al-‘Atahiyah:

Dan kadang-kala kakinya mengalami kebas,
Maka jika dia tidak berkata: “Ya ‘Utbu (menyebut nama orang yang dicintainya), kebas itu tidak akan hilang.

Ibn Allan rahimahullah berkata:

(يعجبون) أي من حيث كمال المحبة بهذا المحبوب بحيث تَمَكَّنَ حبُّه في الفؤاد، حتى إذا ذكَرَهُ ذَهَبَ عنه الخَدَرُ

“Penduduk Madinah kagum”, iaitu kerana kesempurnaan cinta kepada yang dicintai, sehingga cintanya tertanam kuat dalam hati, hingga apabila dia menyebut nama individu yang dicintainya, kebas itu hilang daripadanya.”

Kesimpulannya: Ini adalah salah satu cara berubat tradisional Arab yang mereka yakini bermanfaat dari sudut perubatan iaitulah menggunakan pengaruh emosi ke atas anggota fizikal.

Kedua: Semua riwayat athar ini, termasuk riwayat-riwayatnya yang lemah, tidak mengandungi unsur permintaan. Dalam riwayat Sufyan ats-Tsauri dan Zuhair daripada Abu Ishaq as-Sabi‘e, disebutkan: “Ya Muhammad,” dan ini adalah semata-mata seruan, dan seruan bukanlah permintaan, perkara ini difahami oleh semua orang.

Dalam riwayat Israil daripada Abu Ishaq as-Sabi‘e, disebutkan: “Ya Muhammad صلى الله عليه وسلم,”  dan ini juga adalah seruan, cuma disertai dengan selawat ke atas baginda صلى الله عليه وسلم.

Dalam riwayat Abu Bakar bin Ayyash daripada Abu Ishaq as-Sabi‘e, disebutkan: يا محمَّداه “Ya Muhammadah,” dan ini adalah dalam bentuk seruan kerinduan. ia bukanlah satu permintaan menurut sesiapa pun, bahkan ia adalah ekspresi kesedihan atau kerinduan. Sebagaimana yang sahih daripada Fatimah radhiallahu ‘anha ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم wafat, beliau berkata:

يَا أَبَتَاه، أَجَابَ رَبًّا دَعَاهَ، يَا أَبَتَاه، مِنْ جَنَّةِ الْفْرْدَوْسِ، مَأْوَاه

"Ya ayahanda, dia telah memenuhi panggilan Tuhannya. Ya ayahanda, syurga Firdaus adalah tempat tinggalnya."

Kesimpulan: Semua riwayat tentang athar ini, termasuk riwayat-riwayatnya yang lemah, tidak mengandungi unsur permintaan sama sekali, yang menjadi pokok perdebatan atau محل النزاع.

 

Bahkan dalam beberapa hadis yang lemah, terdapat sesuatu yang serupa dengan perubat yang disebutkan ini. Iaitul berdasarkan riwayat Ibn al-Sunni dalam kitab ‘Amal al-Yawm wa al-Laylah (hal. 140), bahawa Rasulullah bersabda:

إذا طنت أذن أحدكم فليذكرني وليصل علي

"Apabila salah seorang daripada kamu mendengar dengungan di telinganya, hendaklah dia mengingati aku dan berselawat ke atasku."

Maka renungilah perbezaan antara ungkapan “hendaklah dia mengingati aku” dengan “dan berselawat ke atasku.”

Seolah-olah seorang mengharapkan mendapat penawar dengan menyebut nama Baginda yang mulia kerana mengharapkan keberkatannya, demikian juga dengan berselawat ke atas Baginda .

Demikian juga Imam Muhyiddin al-Nawawi رحمه الله, Allah mensucikan kuburnya dan seorang  ulama dimuliakan, menyebut riwayat Ibn Umar رضي الله عنه ini selepas hadis tersebut dalam kitab al-Adzkar (hal. 305), iaitu tentang hadis mengenai dengungan telinga, dan beliau menyebut tajuknya:

باب ما يقوله إذا خدرت رجله

 “Bab apa yang perlu diucapkan apabila kaki terasa kebas.”

Namun, beliau tidak pula memahami riwayat tersebut sebagai satu bentuk istighathah (sepertimana yang difahami oleh sebahagian pihak), bahkan beliau juga tidak menyenaraikan athar tersebut di bawah tajuk tawassul, kerana ia tidak membawa makna tersebut.

Kesimpulannya: Athar ini tiada kaitan dengan isu istighathah dan tidak memberikan sebarang petunjuk akan keharusan istighathah.

Ini jawapan dari segi pendalilan.

Adapun dari sudut thubutiyyah atau kesahihannya, terdapat pelbagai riwayat dengan lafaz yang berbeza, yang memerlukan kita membezakan antara yang sahih dan yang lemah.

Terdapat perbezaan dari segi lafaz dan sanad athar ini dalam empat versi:

Versi pertama: Riwayat Zuhair dan Sufyan, kedua-duanya daripada Abu Ishaq al-Sabi‘e, daripada Abdul Rahman bin Sa‘ad, yang berkata:

خَدِرَت رجل ابن عمر رضي الله عنه، فقال له رجل: اذكر أحب الناس إليك، فقال: يا محمد

 “Kaki Ibn Umar رضي الله عنه pernah menjadi kebas, maka seorang lelaki berkata kepadanya: “Sebutlah nama orang yang paling kamu cintai.” Lalu Ibn ‘Umar berkata: 'Wahai Muhammad.”

Versi ini diriwayatkan oleh Ibn al-Ja’d dalam Musnad-nya (hal. 369), al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (hal. 441), Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yawm wa al-Laylah (hal. 142), Ibn Sa’d dalam al-Tabaqat (4/144), dan al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal (17/143) melalui beberapa tarik daripada Zuhair dan Sufyan.

Perhatikan, Al-Thawri dan Zuhair dalam riwayat ini menjadikan guru kepada Abu Ishaq, iaitulah Abdul Rahman bin Sa’d, seorang seorang al-Quraisy al-Adawi, hamba yang dimerdekakan oleh Abdullah bin Umar. Beliau seorang perawi yang dipercayai atau thiqah. Beliau dinilai sebagai seorang perawi yang thiqah oleh Al-Nasai dan ulama lain. Riwayat beliau menyebut lafaz: “Wahai Muhammad (يا محمد).” Lafaz ini hendaklah diingati, kerana ia membantu memahami perbezaan dalam sanad dan lafaz riwayat lain.

Versi kedua: Diriwayatkan oleh Al-Thauri daripada Abu Ishaq, daripada Abdul Rahman, hamba yang dimerdekakan oleh Umar bin al-Khattab, yang berkata:

خدرت رجل ابن عمر، فقال له إنسان: أذكر أحب الناس إليك فقال: يا محمد

 “Kaki Abdullah bin Umar pernah menjadi kebas. Maka seorang lelaki berkata kepadanya: “Sebutlah nama orang yang paling engkau cintai.” Beliau pun berkata: “Wahai Muhammad.”

Versi ini diriwayatkan oleh al-Daraqutni dalam ‘Ilal-nya (7/242) melalui sanad berikut: Ahmad bin ‘Isa bin al-Sukayn (أحمد بن عيسى بن السكين), yang berkata: Diriwayatkan kepada kami oleh Ishaq bin Zuraiq (إسحاق بن زريق), yang berkata: Diriwayatkan kepada kami oleh Ibrahim bin Khalid (إبراهيم بن خالد), yang berkata: Diriwayatkan kepada kami oleh Raba bin Zaid (رباح بن زيد), yang berkata: Diriwayatkan kepada kami oleh Abu Abd al-Rahman al-Khurasani (أبو عبد الرحمن الخراساني iaitu Ibn al-Mubarak), daripada Al-Thawri (الثوري) dengan sanad ini.

Perhatikan, dalam versi riwayat ini, Al-Thawri menjadikan guru kepada Abu Ishaq al-Sabi‘e, iaitu Abdul Rahman hamba yang dimerdekakan oleh Umar bin al-Khattab, beliau adalah Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam, seorang perawi yang lemah menurut semua pengkritik (النقاد) hadis.

Versi ketiga: Diriwayatkan oleh Abu Bakar bin ‘Ayyash (أبو بكر ابن عياش), terdapat tiga versi yang berbeza daripadanya:

  1. Diriwayatkan oleh Muhammad bin Khidash (محمد بن خداش) daripada Abu Ishaq al-Sabi‘e, daripada Abu Syu’bah, yang berkata:

كنت أمشي مع ابن عمر رضي الله عنهما، فخدرت رجله، فجلس، فقال له رجل: اذكر أحب الناس إليك. فقال: يا محمداه فقام فمشی

“Aku sedang berjalan bersama Abdullah bin Umar رضي الله عنهما, tiba-tiba kakinya menjadi kebas. Dia pun duduk. Seorang lelaki berkata kepadanya: Sebutlah nama orang yang paling engkau cintai. Maka dia berkata: “Wahai Muhammad!” Lalu dia berdiri dan berjalan.”

Versi ini diriwayat oleh Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yawm wa al-Laylah (hal. 141).

  1. Diriwayatkan oleh Mahmud bin Khidash (محمود بن خداش) daripada Abu Ishaq, daripada Abu Sa‘id, dengan menyebut riwayat yang serupa di atas.

Versi ini diriwayatkan oleh Ibn Bashkawal (ابن بَشْكَوَال) dalam kitab al-Qurbah ila Rabb al-‘Alamin bi al-Salah ‘ala Sayyid al-Mursalin (hal. 144). Beliau berkata:

أخبرنا ابن عتاب، عن أبي عمرو المالكي، حدثنا أبو نعيم، حدثنا حبيب بن الحسن، قال: حدثنا بشر بن أنس، قال حدثنا محمود بن خداش، قال: حدثنا أبو بکر این عیاش به

“Ibn ‘Atab memberitahu kami daripada Abu ‘Amr al-Maliki, yang berkata: Abu Nu’aim memberitahu kami, Habib bin al-Hasan memberitahu kami, katanya; Bishr bin Anas memberitahu kami, Mahmud bin Khidash memberitahu kami, katanya; Abu Bakar bin ‘Ayyash meriwayatkannya kepada kami athar tersebut.”

  1. Diriwayatkan oleh Muhammad bin Sufyan al-Kufi (محمد بن سفيان الكوفي) daripada Abu Bakar bin ‘Ayyash, daripada Abu Ishaq Sulaiman bin Fairuz (أبي إسحاق سليمان بن فيروز), daripada Abu Sa‘id – iaitu Abdul Rahman bin Sa‘d, dengan menyebut riwayat tersebut.

Versi ini diriwayatkan oleh al-Mustaghfiri (المستغفري) dalam al-Tibb al-Nabawi (hal. 70, versi manuskrip di Kutubkhanah Melli - Perpustakaan Awam Nasional, Iran -). Beliau berkata:

 “Sheikh Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad bin Zarr memberitahu kami, katanya; Abdul Rahman bin Abi Hatim memberitahu kami, katanya; Bapaku memberitahu aku, katanya; Muhammad bin Sufyan al-Kufi memberitahu kami, katanya; Abu Bakar bin ‘Ayyash memberitahu kami athar tersebut.”

Dalam riwayat ini penyebutan Abu Ishaq sebagai Sulaiman bin Fairuz, ia adalah satu kesilapan. Kemungkinan ia datang daripada Abdullah bin Muhammad bin Zarr al-Khuwari (الخواري), kerana dia seorang perawi yang statusnya mastur (tidak diketahui keadaan perawi). Al-Zahabi menyebutkannya dalam kitab Tarikh-nya (8/401), namun tidak memberikan kritikan atau pujian terhadapnya.

Versi keempat: Diriwayatkan oleh Israil daripada Abu Ishaq al-Sabi‘e, daripada al-Haytham bin Hanash (الهيثم بن حنش), yang berkata:

كنا عند عبد الله بن عمر رضي الله عنهما، فخدرت رجله، فقال له رجل : اذكر أحب الناس إليك، فقال: يا محمد صلى الله عليه وسلم. قال: فقام فكأنما نشط من عقال

“Kami  pernah berada bersama Abdullah bin Umar رضي الله عنهما, tiba-tiba kakinya menjadi kebas. Seorang lelaki berkata kepadanya: “Sebutlah nama orang yang paling kamu cintai.” Maka dia berkata: ‘Wahai Muhammad, صلى الله عليه وسلم.’ Lalu dia berdiri, seolah-olah baru sahaja dilepaskan dari ikatan.”


Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yawm wa al-Laylah (hal. 141).

Versi kelima: Diriwayatkan oleh Syu’bah daripada Abu Ishaq, daripada seseorang yang mendengar Ibn Umar memberitahu:

خدرت رجله، فقيل: اذكر أحب الناس، قال: يا محمد

“Kakinya menjadi kebas.” Maka dikatakan kepadanya: “Sebutlah nama orang yang paling kamu cintai.” Dia pun berkata: “Wahai Muhammad.” Riwayat ini dikeluarkan oleh al-Harbi dalam Gharib al-Hadith (2/673).

Setelah menyenaraikan kelima-lima versi ini, dengan perbezaan sanad bagi riwayat berlegar ke atas Ibn Ishak, tinggal hasil pemerhatian daripadanya.

Oleh itu, hasil penelitian, kita mendapati bahawa titik perbezaan dalam sanad ialah siapakah guru kepada Abu Ishaq al-Sabi‘e. Al-Thauri menyebutkannya sekali sebagai Abdul Rahman bin Sa‘ad, dan sekali lagi sebagai Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam, hamba yang telah dimerdekakan oleh Umar bin al-Khattab. Israil pula menyebutkannya sebagai al-Haytham bin Hanash. Syu’bah pula tidak menyebutkannya secara jelas (أبهمه), sementara Abu Bakar bin ‘Ayyash meriwayatkannya dalam tiga versi berbeza.

Namun, kelima-lima versi ini tidak sama kuatnya. Al-Thawri mempunyai kelebihan kerana dia meriwayatkan daripada Abu Ishaq al-Sabi‘e sebelum beliau mengalami kecelaruan ingatan (ikhtilat). Begitu juga Syu’bah, yang meriwayatkan daripadanya sebelum berlaku ikhtilat. Oleh itu, versi pertama, kedua, dan kelima lebih kuat berbanding versi yang lain. Adapun versi ketiga dengan tiga bentuknya, perawinya ialah Abu Bakar bin ‘Ayyash, yang lemah dalam hafalannya, telah meriwayatkan daripada Abbu Ishak al-Sabi‘e selepas berlaku ikhtilat. Versi keempat pula tiada asas yang sahih sehingga ke Israil, di mana sanad kepadanya terdapat periwayat bernama Muhammad bin Mus‘ab bin Sadaqah al-Qarqasani (محمد بن مصعب بن صدقة القرقساني) seorang yang lemah di sisi kebanyakan para pengkritik hadis dan tidak boleh dijadikan hujah dalam situasi wujud perselisihan.

Oleh itu, penelitian tertumpu kepada versi pertama, kedua, dan kelima.

Jika begitu keadaannya, versi kelima yang diriwayatkan oleh Syu’bah tidak bertentangan dengan riwayat oleh Al-Thawri. Perbezaannya hanya pada Syu’bah yang tidak menyebutkan secara jelas (menyebut secara ibham) guru kepada Abu Ishaq al-Sabi‘e. oleh itu, sesiapa yang menghafaz (meriwayatkan dengan jelas) adalah hujah ke atas sesiapa yang menyebutkan secara ibham.

Maka penelitian berikutnya perlu fokus pada dua versi yang diriwayatkan oleh Al-Thawri رحمه الله. Terdapat dua kemungkinan: Abu Ishaq al-Sabi’i mungkin telah mengalami kekeliruan (اضطراب) dalam riwayat ini. Atau riwayat ini sebenarnya terpelihara (mahfudz) dari Abu Ishak atas dua sumber berbeza. Maksudnya, Abu Ishaq mungkin telah menerima riwayat ini (tahammul) sekali daripada Abdul Rahman bin Sa‘ad al-Qurasyi, seorang perawi thiqah, hamba yang telah dimerdekakan oleh Abdullah bin Umar رضي الله عنهما. Beliau juga telah meriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam, seorang perawi yang lemah, hamba yang telah dimerdekakan oleh Umar bin al-Khattab رضي الله عنه.

Jika riwayat athar ini selamat daripada idhthirab, maka ia satu riwayat yang sahih. Jika tidak, maka tidak sahih. Dan Allah lebih mengetahui mana yang benar.

Tambahan pula, athar ini juga diriwayatkan daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما. Ibn al-Sunni meriwayatkannya dalam ‘Amal al-Yawm wa al-Laylah (hal. 141), dengan sanad berikut:

Ja’far bin ‘Isa Abu Ahmad memberitahu kepada kami, katanya: Ahmad bin Abdullah bin Ruh memberitahu kepada kami, katanya: Salam bin Sulaiman memberitahu kami, katanya: Ghiyath bin Ibrahim, daripada Abdullah bin ‘Uthman bin Khuthaym, daripada Mujahid, daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما, yang berkata:

خدرت رجل رجل عند ابن عباس، فقال ابن عباس: اذكر أحب الناس إليك، فقال: محمد صلى الله عليه وسلم، فذهب خدره

“Pernah terjadi kaki seorang lelaki menjadi kebas ketika bersama Ibn Abbas. Maka Ibn Abbas berkata: “Sebutlah nama orang yang paling kamu cintai.” Lelaki itupun berkata: “Muhammad صلى الله عليه وسلم.” Lalu kebasnya hilang.”

Namun, sanad riwayat ini rosak (tidak dapat diterima). Ghiyath bin Ibrahim al-Nakhai‘e al-Kufi adalah seorang perawi al-Muttaham. Ibn Ma’in رحمه الله berkata: كذاب، ليس بثقة، ولا مأمون“Dia seorang pendusta, bukan seorang yang dipercayai, bukan seorang yang amanah.” Ibn Hibban berkata: كان يضع الحديث “Dia seorang yang sering mereka-reka hadis.” Dan al-Bukhari رحمه الله berkata: تركوه “Mereka (ulama hadis) meninggalkan riwayat daripadanya.”


Cetak  
Wallahu a'lam