Hadis Pensyariatan Tayammum

Hadis Bukhari (334) dan Muslim (367). Kata ‘Aisyah RA:

خَرَجْنَا مع رَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ في بَعْضِ أسْفَارِهِ، حتَّى إذَا كُنَّا بالبَيْدَاءِ أوْ بذَاتِ الجَيْشِ انْقَطَعَ عِقْدٌ لِي، فأقَامَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ علَى التِمَاسِهِ، وأَقَامَ النَّاسُ معهُ ولَيْسُوا علَى مَاءٍ، فأتَى النَّاسُ إلى أبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ، فَقالوا: ألَا تَرَى ما صَنَعَتْ عَائِشَةُ؟ أقَامَتْ برَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ والنَّاسِ ولَيْسُوا علَى مَاءٍ، وليسَ معهُمْ مَاءٌ، فَجَاءَ أبو بَكْرٍ ورَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ واضِعٌ رَأْسَهُ علَى فَخِذِي قدْ نَامَ، فَقالَ: حَبَسْتِ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ والنَّاسَ، ولَيْسُوا علَى مَاءٍ، وليسَ معهُمْ مَاءٌ، فَقالَتْ عَائِشَةُ: فَعَاتَبَنِي أبو بَكْرٍ، وقالَ ما شَاءَ اللَّهُ أنْ يَقُولَ وجَعَلَ يَطْعُنُنِي بيَدِهِ في خَاصِرَتِي، فلا يَمْنَعُنِي مِنَ التَّحَرُّكِ إلَّا مَكَانُ رَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ علَى فَخِذِي، فَقَامَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ حِينَ أصْبَحَ علَى غيرِ مَاءٍ، فأنْزَلَ اللَّهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ فَتَيَمَّمُوا، فَقالَ أُسَيْدُ بنُ الحُضَيْرِ: ما هي بأَوَّلِ بَرَكَتِكُمْ يا آلَ أبِي بَكْرٍ، قالَتْ: فَبَعَثْنَا البَعِيرَ الذي كُنْتُ عليه، فأصَبْنَا العِقْدَ تَحْتَهُ.

Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam salah satu perjalanan baginda. Ketika kami berada di Al-Baida’ atau Dzatul Jaisy, rantai milik saya (Aisyah) terputus. Rasulullah SAW pun berhenti untuk mencarinya, dan orang ramai juga berhenti bersama baginda, sedangkan mereka tidak berada di tempat yang ada air. Orang ramai pun datang kepada Abu Bakar As-Siddiq dan berkata: “Tidakkah engkau melihat apa yang dilakukan oleh Aisyah? Dia telah menyebabkan Rasulullah SAW dan orang ramai berhenti sedangkan mereka tidak berada di tempat yang ada air dan tidak membawa air bersama mereka.”

Lalu Abu Bakar datang kepada saya (Aisyah), sedangkan Rasulullah SAW sedang meletakkan kepala baginda di atas paha saya dan sedang tidur. Abu Bakar berkata: “Engkau telah menahan Rasulullah SAW dan orang ramai, sedangkan mereka tidak berada di tempat yang ada air dan tidak membawa air bersama mereka.” Aisyah berkata: "Lalu Abu Bakar memarahi saya dan mengatakan apa yang dikehendaki Allah untuk dikatakannya. Kemudian, beliau mula mencucuk saya dengan tangannya di bahagian pinggang saya. Namun, saya tidak bergerak kerana Rasulullah SAW sedang berada di atas paha saya.” Apabila Rasulullah SAW bangun pada waktu pagi, baginda mendapati tiada air. Lalu Allah menurunkan ayat mengenai tayamum, dan mereka semua bertayamum. Usayd bin Hudayr berkata: “Ini bukanlah keberkatan pertama yang datang sebab kamu semua, wahai keluarga Abu Bakar.” Aisyah berkata: "Kemudian kami menggerakkan unta yang saya tunggangi (menyambung perjalanan), dan kami dapati rantai tersebut berada di bawahnya."

Huraian Hadis

Islam datang dengan membawa kemudahan kepada manusia dalam urusan bersuci dan berwuduk, lalu Allah memerintahkan tayamum dengan tanah yang suci atau apa-apa yang berada pada hukum tanah ketika ketiadaan air atau tidak mampu menggunakan air.

Dalam hadis ini, Aisyah r.a. menceritakan bahawa mereka keluar bersama Nabi Muhammad SAW dalam salah satu perjalanan baginda. Ketika mereka berada di Al-Baida' atau Dzatul Jaisy, iaitu dua tempat selepas Dzul Hulaifah antara Mekah dan Madinah, rantai milik Aisyah telah hilang. Rantai tersebut diperbuat daripada (جَزْع ظَفارِ وهو خَرزٌ يَمانِيٌّ يُجْلَبُ مِن ظَفَارِ على ساحِلِ البَحرِ) manik yang dihasilkan di Dhafar, sebuah kawasan di Yaman yang terletak di tepi pantai. Ia adalah sejenis perhiasan tradisional yang terkenal di Yaman dan sering digunakan dalam pembuatan barang kemas seperti rantai, telah hilang.

Rasulullah SAW berhenti di tempat tersebut untuk mencarinya, dan orang ramai turut berhenti bersama baginda. Namun, mereka tidak membawa air dan tiada air di kawasan itu. Para sahabat mengadu kepada Abu Bakar As-Siddiq r.a. mengenai apa yang dilakukan oleh puterinya Aisyah r.a., yang menjadi sebab mereka berhenti di tempat yang tiada air. Dalam riwayat Sahih Bukhari dan Muslim, disebutkan:

فأدرَكَتْهُمُ الصَّلاةُ وليس معهم ماءٌ، فصَلَّوْا، فشَكَوْا ذلك إلى رسولِ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ

“Waktu solat tiba, namun mereka tidak mempunyai air untuk berwuduk, lalu mereka solat tanpa wuduk dan mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai perkara itu.”

Abu Bakar r.a. masuk menemui Aisyah untuk menegurnya, sedangkan Rasulullah SAW sedang tidur dengan kepala baginda di atas paha Aisyah. Mungkin baginda tidur disebabkan keletihan yang terlampau dan sebelum mengetahui mereka semua ketiadaan air. Abu Bakar menegur Aisyah dengan berkata, “Engkau telah menjadi sebab Rasulullah SAW dan orang ramai meneruskan perjalanan merek!" Beliau juga menegur dengan kata-kata nasihat dan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan tindakan ‘Aisyah r.a. dan mencucuk Aisyah di pinggangnya (والخاصِرةُ هي وَسطُ الإنسانِ مِمَّا يَلي الظَّهرَ) dengan hujung jarinya tanpa disedari oleh Rasulullah SAW. Aisyah r.a. ingin bergerak untuk berubah tempat, tetapi beliau tidak melakukannya kerana kepala Rasulullah SAW berada di atas pahanya, baginda sedang tidur.

Pada waktu pagi, Rasulullah SAW bangun dan mendapati tiada air untuk berwuduk. Lalu Allah SWT menurunkan ayat tayamum dalam Surah Al-Ma'idah ayat 6:

فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ

 "Maka jika kamu tidak mendapati air, maka bertayamumlah dengan tanah yang bersih, lalu sapulah muka dan tanganmu dengannya."

Para sahabat kemudian bertayamum mengikut perintah ayat tersebut. Allah memberikan keringanan dan kemudahan dengan mensyariatkan tayamum bagi mereka yang tidak mempunyai air. Nabi SAW menunjukkan cara bertayamum dalam sunnah baginda, iaitu dengan satu tepukan pada tanah suci, kemudian menyapu muka dan kedua-dua tangan.

Usayd bin Hudayr (أُسَيْدُ بنُ حُضَيْرٍ) r.a. berkata: "Ini bukanlah keberkatan pertama daripada kamu semua, wahai keluarga Abu Bakar. Keberkatan kamu sudah banyak, dan ini salah satunya." Mungkin beliau merujuk kepada peristiwa lain seperti peristiwa Hadith Al-Ifk.

Selepas itu, mereka menggerakkan unta yang dinaiki oleh Aisyah r.a., lalu mendapati rantai yang hilang itu berada di bawah unta tersebut. Seolah-olah Allah SWT menangguhkan mereka di tempat itu untuk menurunkan hukum tayamum sebagai kemudahan kepada umat Islam.

Antara Pelajaran daripada hadis ini:

  1. Pensyariatan tayamum dan sebabnya.
  2. Kepentingan bimbingan seorang bapa kepada anak perempuannya, walaupun anak itu sudah berkahwin.
  3. Seorang wanita boleh mengadu kepada bapanya walaupun dia sudah bersuami.
  4. Kebenaran seorang bapa masuk ke rumah anak perempuannya jika diketahui suaminya meredhainya.
  5. Kebiasaan wanita memakai perhiasan seperti rantai untuk mempercantikkan diri bagi suami.
  6. Keutamaan Aisyah r.a. dan keberkatan yang berulang-ulang daripadanya.

 


Cetak  
Wallahu a'lam