Al-Imam al-Bukhari dalam Sahihnya (6016) meriwayatkan daripada Abu Syuraih al-‘Adawi Khuwailid bin ‘Amr (أبو شريح العدوي خويلد بن عمرو)
واللَّهِ لا يُؤْمِنُ، واللَّهِ لا يُؤْمِنُ، واللَّهِ لا يُؤْمِنُ. قيلَ: ومَن يا رَسولَ اللَّهِ؟ قالَ: الذي لا يَأْمَنُ جارُهُ بَوايِقَهُ
Maksudnya: "Demi Allah, seseorang itu tidak beriman! Demi Allah, seseorang itu tidak beriman! Demi Allah, seseorang itu tidak beriman!” seseorang bertanya: "Siapa wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Orang yang jirannya tidak merasa aman dari gangguannya."
Dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah dan dinilai sahih oleh al-Haythami dalam Majma' al-Zawa'id. Hadis tersebut berbunyi:
واللهِ لا يؤمِنُ واللهِ لا يؤمِنُ واللهِ لا يؤمِنُ قالوا وما ذاكَ يا رسولَ اللهِ قال جارٌ لا يؤمنُ جارُهُ بوائقَهُ قالوا يا رسولَ اللهِ وما بوائقُهُ قال شرُّهُ
Maksudnya: “"Demi Allah, seseorang itu tidak beriman! Demi Allah, seseorang itu tidak beriman! Demi Allah, seseorang itu tidak beriman!" Para sahabat bertanya, "Apa maksudnya, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Seorang jiran yang jiran lainnya tidak merasa aman daripada keburukannya." Mereka bertanya lagi, "Apakah keburukan yang dimaksudkan, wahai Rasulullah?" Baginda bersabda: "Iaitu kejahatannya.”
Pengajaran Hadis
Nabi Muhammad ﷺ sentiasa mengingatkan kita untuk berbuat baik kepada jiran dan menghindari sebarang bentuk gangguan terhadap mereka. Dalam hadith ini, Nabi ﷺ bersumpah dengan berkata: "Demi Allah, seseorang itu tidak beriman, demi Allah, seseorang itu tidak beriman, demi Allah, seseorang itu tidak beriman." Penafian iman di sini membawa maksud menafikan kesempurnaan iman. Baginda ﷺ mengulangi sumpah ini tiga kali bagi menunjukkan betapa seriusnya perkara tersebut dan ia juga berupa satu amaran yang tegas agar tidak menyakiti jiran.
Ungkapan al-Bawayik dan al-Bawa’iq (البوايقُ والبوائقُ) adalah bentuk jamak dari bā'iqah (بائقة), yang bermaksud musibah (الدَّاهيةُ), bala (البَلِيَّةُ), kerosakan (الفَتْكُ), kejahatan (الشُّرُور), kezaliman (الظُّلمُ), penindasan (الجَورُ), dan penyalahgunaan atau melampaui batas (التَّعدِّي).
Oleh itu hadith ini menyatakan bahawa seorang mukmin yang sempurna imannya tidak akan menyakiti atau mendatangkan bahaya kepada jirannya. Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan menghindari sebarang bentuk kejahatan atau kemudaratan terhadap jiran mereka, termasuklah penindasan, kezaliman, atau sebarang bentuk gangguan.