Nabi SAW bersabda:
اتَّقُوا الظُّلْمَ، فإنَّ الظُّلْمَ ظُلُماتٌ يَومَ القِيامَةِ، واتَّقُوا الشُّحَّ، فإنَّ الشُّحَّ أهْلَكَ مَن كانَ قَبْلَكُمْ، حَمَلَهُمْ علَى أنْ سَفَكُوا دِماءَهُمْ واسْتَحَلُّوا مَحارِمَهُمْ. الراوي : جابر بن عبدالله | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم الصفحة أو الرقم: 2578 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح] التخريج : أخرجه الطبراني في ((الأوسط)) (8561)، والبيهقي (11612)، وأبو عوانة في ((مستخرجه)) (11260) جميعا بلفظه.
“Berhati-hatilah kamu terhadap kezaliman, kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan-kegelapan pada hari kiamat. Dan berhati-hatilah kamu terhadap sifat kikir (kedekut), kerana sesungguhnya sifat kikir telah membinasakan orang-orang sebelum kamu. Sifat itu mendorong mereka untuk menumpahkan darah sesama mereka dan menghalalkan apa yang diharamkan ke atas mereka.”
Perawi: Jabir bin Abdullah / Hadis: Muslim / Sumber: Sahih Muslim (Web al-Durar al-Saniyyah) / No. Hadis: 2578
Ringkasan Status Hadis: Sahih
Takhrij hadis: Dikeluarkan oleh Al-Tobarani dalam Al-Awsat (8561), Al-Baihaqi (11612), dan Abu Awanah dalam Mustakhrajnya (11260), semuanya dengan lafaz ini.
Huraian hadis:
Nabi Muhammad SAW melarang umatnya daripada sifat-sifat buruk (مَساوِئِ الأخلاقِ) dan memerintahkan manusia menjauhi serta berwaspada dari terjerumus ke dalamnya, terutama sifat-sifat buruk yang boleh membawa kebinasaan kepada pemiliknya di dunia dan akhirat.
Dalam hadis ini, Nabi SAW memerintahkan kita agar berhati-hati dari melakukan kezaliman, iaitu segala bentuk kejahatan atau kerosakan yang dilakukan oleh seorang Muslim kepada orang lain, sama ada terhadap manusia atau haiwan. Baginda SAW mengarahkan kaum Muslimin agar takut, berhati-hati, dan menjauhi kezaliman. Baginda turut menjelaskan sebab amaran terhadap kezaliman, iaitu kezaliman akan mendatangkan kegelapan pada hari kiamat bagi pelakunya. Sedangkan pada ketika itu, mereka yang beriman mendapat cahaya yang bersinar di hadapan dan di kanan mereka, manakala orang yang zalim berada dalam kegelapan. Kegelapan ini mungkin juga merujuk kepada kesukaran dan huru-hara yang dihadapi oleh orang zalim, atau juga sebagai gambaran hukuman dan azab.
Salah satu akhlak buruk yang turut disebut oleh Nabi SAW ialah الشُّحّ atau sifat kikir (kedekut). Kikir bermaksud bakhil atau enggan melaksanakan hak-hak berkait dengan harta atau kewajipan yang sepatutnya dilaksanakan, diiringi dengan ketamakan terhadap harta yang bukan miliknya. Ia merupakan salah satu bentuk kezaliman. Sesetengah ulama membezakan antara “kikir” dan “bakhil”, di mana bakhil boleh disifatkan kepada perkara tertentu, manakala kikir atau الشُّحّ mencakupi semua perkara. Boleh dijadikan contoh, bakhil berkait dengan harta, manakala kikir berlaku dalam semua perkara. Oleh itu, kikir adalah صِفةً لازمَةً للشَّخصِ iaitu sifat yang tetap berada pada seseorang, manakala bakhil صِفةً لبعضِ أفعَالِ الشَّخصِ mungkin hanya melibatkan perbuatan tertentu.
Nabi SAW menjelaskan sebab larangan terhadap sifat kikir: ia telah membinasakan umat-umat terdahulu. Penyakit kikir telah wujud sejak dahulu dan kesannya amat buruk. Kerana kikir dan tamak terhadap dunia, mereka saling menumpahkan darah, dan kikir juga mendorong mereka menghalalkan perkara yang diharamkan, sama ada yang diharamkan secara umum atau sebahagian daripadanya. Contohnya, Allah mengharamkan lemak tertentu ke atas kaum Yahudi, juga larangan berburu pada hari Sabtu, tetapi mereka melanggar perintah tersebut. Boleh juga difahami hadis ini memaksudkan apa yang telah diharamkan oleh Allah berkait dengan para wanita, namun mereka menghalalkannya dengan melakukan perkara keji seperti zina.
Abu Daud meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA yang berkata:
خَطَب رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فقال: «إيَّاكم والشُّحَّ؛ فإنَّما هَلَكَ مَن كان قبْلَكم بالشُّحِّ؛ أمَرَهم بالبُخلِ فبَخِلوا، وأمَرَهم بالقَطيعةِ فقَطَعوا، وأمَرَهم بالفُجورِ ففَجَروا
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyampaikan khutbah dan baginda bersabda: “Jauhilah kamu akan sifat kikir, kerana sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah binasa disebabkan sifat kikir. Sifat itu memerintahkan mereka untuk bakhil, lalu mereka menjadi bakhil. Ia memerintahkan mereka untuk memutuskan silaturahim, lalu mereka memutuskan silaturahim. Ia juga memerintahkan mereka untuk berbuat kejahatan, lalu mereka melakukannya.”
Oleh itu sifat kikit adalah asas kepada maksiat yang lain. Kerana itu Allah SWT berfirman:
وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
"Dan sesiapa yang dihindarkan dirinya daripada sifat kikir, mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Surah al-Hashr, ayat 9)
Sesungguhnya sifat kikir menjadi sebab kepada maksiat kerana dengan menginfakkan harta dan membantu mereka yang memerlukan, akan terjalin kasih sayang dan hubungan erat. Sebaliknya, dengan menahan harta (dari memberi kepada yang memerlukan) dan bersikap kikir, akan terjadi permusuhan dan perpecahan. Hal ini akhirnya membawa kepada pertelingkahan dan permusuhan yang menyebabkan pertumpahan darah, menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan, termasuk dalam aspek kehormatan, maruah, harta benda, dan lain-lain.
Dalam hadis ini, terdapat larangan terhadap:
- Kezaliman, dan galakan untuk mengembalikan hak kepada pemiliknya.
- Sifat kikir, kerana ia adalah punca kepada maksiat lain.
Hadis ini juga menunjukkan kepedulian Nabi SAW terhadap umatnya, dengan memberikan panduan yang membawa kepada kebaikan di dunia dan akhirat, serta memberi amaran terhadap perkara yang membawa kepada kebinasaan.