Haji Untuk Kanak-Kanak

hadis Muslim daripada Ibn ‘Abbas RA:

أنَّ النبيّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ لَقِيَ رَكْبًا بالرَّوْحَاءِ، فَقالَ: مَنِ القَوْمُ؟ قالوا: المُسْلِمُونَ، فَقالوا: مَن أَنْتَ؟ قالَ: رَسولُ اللهِ، فَرَفَعَتْ إلَيْهِ امْرَأَةٌ صَبِيًّا، فَقالَتْ: أَلِهذا حَجٌّ؟ قالَ: نَعَمْ، وَلَكِ أَجْرٌ

Bahawa Nabi bertemu dengan satu rombongan[1] di kawasan al-Rawha’[2], lalu Baginda bertanya: "Siapakah kalian?" Mereka menjawab: "Kami adalah orang-orang Islam." Mereka pula bertanya: "Siapakah engkau?" Baginda menjawab: "Aku adalah Rasulullah." Kemudian seorang wanita mengangkat seorang anak kecil[3] kepada Baginda dan bertanya: "Adakah anak kecil ini sah menunaikan haji?" Baginda menjawab: "Ya, dan engkau mendapat pahala."

Perawi: Abdullah bin Abbas r.a. / Ulama Hadis: Imam Muslim / Sumber: Sahih Muslim / Nombor Hadis: 1336 / Status Hadis: Sahih

Perincian: Hadis ini termasuk dalam riwayat Imam Muslim dan tidak diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Huraian

Islam menetapkan syarat-syarat bagi taklif dan kewajiban melaksanakan ibadah bagi seorang Muslim. Antaranya, haji hanya diwajibkan ke atas individu yang baligh, berakal, merdeka, dan mampu.

Dalam hadis ini, Abdullah bin Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bertemu dengan sekumpulan orang musafir, yang disebut sebagai "rakb" (kafilah pengembara), khususnya pemilik unta, di suatu tempat bernama "ar-Rauha’", sebuah kampung yang jaraknya kira-kira 80 km dari Madinah. Peristiwa ini berlaku dalam perjalanan pulang daripada Haji Wada’, seperti yang dinyatakan dalam riwayat an-Nasa’i. Nabi bertanya kepada mereka: "Siapakah kamu?" Mereka menjawab: "Kami daripada kalangan Muslimin." Kemudian mereka bertanya: "Siapakah engkau?" Nabi menjawab: "Aku adalah Rasulullah."

Mungkin mereka tidak mengenali Baginda SAW kerana belum pernah bertemu sebelum itu disebabkan mereka tidak berhijrah. Mereka telah memeluk Islam di negeri masing-masing tanpa berhijrah ke Madinah.

Apabila mereka mengetahui bahawa yang bercakap itu adalah Rasulullah SAW, seorang wanita dalam kafilah itu mengangkat seorang anak kecil dan bertanya: "Adakah kanak-kanak ini mendapat pahala haji?" Nabi menjawab: "Ya, dia mendapat pahala haji sunat, dan engkau mendapat pahala juga." Ini kerana wanita itu menjaga anak kecil tersebut daripada perkara yang dilarang bagi orang yang berihram, mengajarnya jika dia sudah boleh memahami, atau melakukan ibadah bagi pihaknya seperti ihram, melontar, wuquf, tawaf, dan sa’i, jika anak itu belum boleh melakukannya sendiri.

Dalam sabda Nabi SAW: "Dan engkau mendapat pahala," terdapat dorongan untuk mendidik anak-anak dalam ibadah.

Haji yang dilakukan oleh kanak-kanak dianggap sah dan diberi ganjaran pahala, tetapi ia tidak menggugurkan kewajiban haji fardhu. Selepas mencapai umur baligh, mereka masih perlu menunaikan haji fardhu atau haji Islam.

Pengajaran Hadis:

  1. Dibolehkan membawa kanak-kanak untuk menunaikan haji.
  2. Kanak-kanak mendapat ganjaran pahala atas ibadah yang dilakukannya.
  3. Penjaga kanak-kanak yang membantunya melaksanakan ibadah juga diberi pahala.
  4. Seseorang yang tidak tahu sesuatu hukum perlu bertanya kepada ahli ilmu.
  5. Orang yang membantu individu lain melakukan ketaatan akan turut diberi pahala.

 



[1] Terjemahan dari الرَّكبُ yang merujuk kepada rombongan berunta seluruhnya. Pada asalnya kalimah ini digunakan untuk robongan yang kurang dari 10 orang.

[2] Sebuah kampung berjarak 80 KM dari Madinah

[3] Kalimah asal hadis ialah صَبِيًّا merujuk anak kecil yang belum baligh sama ada bayi atau mumayyiz.


Cetak  
Wallahu a'lam