Kelebihan Jemaah Solat Jenazah Yang Ramai Dan Tiga Saf

Abdullah bin ‘Abbas RA meriwayatkan:

أنَّهُ مَاتَ ابْنٌ له بقُدَيْدٍ -أَوْ بعُسْفَانَ- فَقالَ: يا كُرَيْبُ، انْظُرْ ما اجْتَمع له مِنَ النَّاسِ، قالَ: فَخَرَجْتُ، فَإِذَا نَاسٌ قَدِ اجْتَمَعُوا له، فأخْبَرْتُهُ، فَقالَ: تَقُولُ: هُمْ أَرْبَعُونَ؟ قالَ: نَعَمْ، قالَ: أَخْرِجُوهُ؛ فإنِّي سَمِعْتُ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ يقولُ: ما مِن رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ علَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا، لا يُشْرِكُونَ باللَّهِ شيئًا؛ إلَّا شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ.

bahawa seorang anak lelaki (dari keluarganya) telah meninggal dunia di Qudayd atau ‘Usfān. Maka beliau berkata: "Wahai Kuraib, lihatlah berapa ramai orang yang berkumpul (untuk menunaikan solat) ke atasnya." Kuraib pun keluar dan melihat bahawa orang ramai telah berkumpul, lalu beliau memberitahu Ibn Abbas. Ibn Abbas bertanya: "Apakah mereka berjumlah empat puluh orang?" Kuraib menjawab: "Ya." Maka Ibn Abbas berkata: "Keluarkanlah jenazahnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Tidak ada seorang Muslim pun yang meninggal dunia, lalu empat puluh orang lelaki yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu berdiri (menunaikan solat untuknya), melainkan Allah akan menjadikan mereka dapat memberi syafaat kepada si mati.”

Hadis riwayat: Muslim dalam sahihnya (948) / Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim sahaja tanpa al-Bukhari.

Huraian

Kelebihan dan anugerah Allah amat besar. Allah menjadikan kaum Muslimin dapat memberi syafaat sesama mereka. Kerana itu Nabi menganjurkan seseorang Muslim menyaksikan atau hadir dalam pengurusan jenazah saudaranya dan menjadikannya sebagai salah satu hak seorang muslim ke atas muslim yang lain.

Dalam hadis ini, Kuraib, maula (hamba yang dimerdekakan) oleh Abdullah bin Abbas, meriwayatkan bahawa salah seorang anak lelaki Ibn Abbas meninggal dunia di Qudayd (sebuah tempat yang terletak di antara Makkah dan Madinah, kira-kira 150 km dari Makkah, di bahagian timur lautnya), atau di ‘Usfān (sebuah perkampungan kira-kira 80 km ke barat laut Makkah). Kedua-dua lokasi ini berdekatan dengan Makkah. Kuraib antara salah seorang yang menghadiri pengurusan jenazah tersebut.

Dalam hadis ini, Ibn Abbas memerintahkan Kuraib supaya melihat jumlah orang yang hadir pengurusan jenazah anaknya dan akan menunaikan solat ke atasnya. Kuraib pun keluar, melihat para hadirin yang hadir, lalu memberitahu Ibn Abbas tentang jumlah mereka. Ibn Abbas bertanya kepadanya: «تَقولُ», bermaksud “Kamu merasakan atau kamu jangkakan bilangan mereka seramai empat puluh orang?” Kuraib menjawab: "Ya."

Dalam riwayat Ibn Majah, disebut bahawa Ibn Abbas bertanya:

كمْ تَراهُم، أَربعينَ؟ قُلتُ: لا بلْ هُم أكثرُ

"Berapa ramai mereka? Adakah empat puluh orang?" Kuraib menjawab: "Tidak, bahkan mereka lebih ramai daripada itu."

Lalu Ibn Abbas memerintahkan agar jenazah anaknya dikeluarkan dan dibawa ke tempat orang ramai berkumpul untuk menunaikan solat ke atasnya, seterusnya mengebumikannya. Setelah itu, beliau berkata:

"Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Tidak ada seorang Muslim pun yang meninggal dunia, lalu empat puluh orang lelaki berdiri (menyolatkannya) tanpa menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, melainkan Allah akan memberikan syafaat kepada mereka untuk si mati."

Dalam riwayat Ibn Majah, disebut:

ما مِن أَربعينَ مِن مُؤمنٍ يَشفَعونَ لمُؤمنٍ، إلَّا شَفَّعَهم اللهُ فيهِ

"Tidak ada empat puluh orang mukmin yang memohon syafaat untuk seorang mukmin (yang telah meninggal dunia), melainkan Allah akan menerima syafaat mereka."

Syafaat di sini bermaksud permohonan dan doa, iaitu para jemaah solat jenazah berdoa kepada Allah agar mengampuni dosa si mati. Allah akan menerima syafaat mereka bermaksud menerima doa mereka dengan anugerah dan kemurahan-Nya, lalu Dia mengampuni dosa si mati.

Pengajaran hadis:

[1] Sunat memperbanyakkan jemaah solat jenazah menurut kemampuan.

[2] Ada anjuran dan kelebihan menjadikan jemaah solat jenazah seramai empat puluh orang, kerana ia menjadi sebab diterimanya doa, dengan dua syarat utama:

  • Jemaah benar-benar Ikhlas mendoakan keampunan untuk si mati.
    • Mereka adalah Muslim yang tidak melakukan syirik.

[3] Terdapat hadis lain menyebut jumlah yang berbeza, seperti seratus orang atau tiga saf.

[4] Semua hadis tentang jumlah ini dapat diamalkan, dan syafaat dapat diperoleh dengan jumlah yang paling sedikit, iaitu tiga saf atau empat puluh orang. Ini kerana apabila Allah menjanjikan keampunan pada satu makna sebanyak dua kali, dan salah satunya lebih mudah berbanding yang lain, maka bukan dari sunnatullah untuk mengurangkan anugerah pemberian-Nya yang telah dijanjikan itu, sebaliknya Dia akan menambah keutamaan dan anugerah-Nya sebagai kemurahan terhadap hamba-hamba-Nya.

[5] Boleh juga difahami bahawa Nabi telah diberitahu tentang diterimanya syafaat dari seratus orang, lalu Baginda mengkhabarkannya, kemudian baginda diberitahu pula mengenai syafaat dari empat puluh orang, lalu Baginda mengkhabarkannya juga, kemudian baginda diberitahu mengenai tiga saf, walaupun jumlah mereka kurang daripada itu, lalu Baginda mengkhabarkannya kepada umat.

[6] Mereka yang menunaikan solat jenazah adalah mereka yang memberi syafaat kepada si mati.

[7] Nabi menganjurkan agar memperbanyakkan jemaah solat jenazah kerana besarnya manfaat yang diperoleh oleh si mati.

[8] Syafaat dan keampunan bagi si mati adalah anugerah dan limpahan pemberian dari Allah .


Cetak  
Wallahu a'lam