Soalan:
Benarkah kenyataan yang mengatakan hadis orang yang berusaha membantu janda dia seperti mujahid di jalan allah adalah merujuk lelaki yang berkahwin dengan janda?
Jawapan:
- Hasil semakan dari huraian para ulama, didapati tiada dalam kalangan mereka yang menyatakan ungkapan الساعي atau “orang yang Berusaha…” yang dimaksudkan oleh Nabi SAW adalah orang lelaki yang mengahwini seorang janda.
Orang Arab dalam berbahasa, mereka juga gunakan perkataan الأرمَل merujuk kepada lelaki, seperti syair dari Jarir yang banyak dinukilkan oleh ahli bahasa yang menyebut:
فمن لحاجة هذا الأرمل الذكر
"Maka siapakah yang akan memenuhi keperluan lelaki armal ini?"
Ini menunjukkan kalimah الأرمَلة yang pluralnya adalah الأرامل dimaksudkan kepada orang² miskin dari kalangan lelaki mahupun wanita. Namun digunakan kalimah muannath الأرمَلة dalam hadis kerana يخرج مخرج الغالب iaitulah kebiasaannya para wanita zaman dahulu berada dalam kesukaran dan kepayahan dalam segala sudut dengan kematian suaminya. Perkara ini kebiasaannya tidak berlaku kepada seorang lelaki yang kematian isteri.
Sebab itu tiada dalam kalangan para syurrah yang mensyarahkan hadis ini menerangkan maksud الساعي adalah الرجل المتزوج بالأرملة atau seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita janda. Huraian dari para syurrah hadis, kepada kalimah الساعي ialah الكاسب atau العامل iaitu yang berusaha atau yang beramal, bukan المتزوج atau yang berkahwin.
Oleh itu, menumpukan makna hadis kepada lelaki yang mengahwini janda semata² dibimbangi boleh mewujudkan salah faham dan penyelewengan makna sebenar hadis Nabi SAW.
- Semata² bernikah dengan janda tidak termasuk dalam makna hadis ini. Pernikahan adalah termasuk akad mu‘awadhah atau imbal-balik. Dengan sesuatu akad nikah, seorang suami wajib mengeluarkan nafkah dan sebagai imbalan siisteri wajib taati suami dan tidak boleh keluar rumah melainkan dengan izin suami. Demikian juga antara tujuan utama perkahwinan adalah al-Mut‘ah atau berseronok dengan cara yang dihalalkan dalam Islam. Hadis ini maksudnya sama seperti hadis كافل اليتيم yang merujuk sesiapa yang membantu tanpa mengharapkan imbal balik.
- Oleh itu hadis: الساعي على الأرملة والمسكين كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوِ القَائِمِ اللَّيْلَ الصَّائِمِ النَّهَارَ ialah merujuk kepada sesiapa yang berusaha dan beramal menguruskan urusan janda yang dalam kesusahan tanpa mengharapkan imbalan balik. Maka mereka yang dimaksudkan dalam hadis adalah umum, boleh jadi bapa janda tersebut, adik-beradiknya, sama ada yang jauh atau dekat, ulil amri atau orang yang berkahwin dengannya dengan niat sememangnya hendak membantu menguruskan urusan si janda.
- Hadis dengan beberapa lafaz merangkumi الساعي على الأرملة، واليتيم والمسكين. Maksudnya “orang yang berusaha membantu janda, anak yatim dan orang miskin... "
Jika disempitkan maksud hadis kepada berkahwin, nanti akan menatijahkan kefahaman, hadis juga menganjurkan berkahwin dengan anak yatim yang di bawah umur. Amat mustahil untuk difahami hadis sebegini, sekalipun tidak dinafikan boleh berkahwin dengan wanita yang di bawah umur, tetapi bukan satu galakan.
- Thabit dalam hadis mengutamakan berkahwin dengan anak dara berbanding janda, seperti hadis Jabir bin Abdillah RA. Ini menunjukkan menfokuskan hadis الساعي على الأرملة kepada maksud berkahwin dengan janda, bertentangan dengan hadis Jabir bin Abdillah ini.