Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW yang bersabda:
بَيْنَا رَجُلٌ بِفَلَاةٍ مِنْ الْأَرْضِ فَسَمِعَ صَوْتًا فِي سَحَابَةٍ: «اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ»، فَتَنَحَّى ذَلِكَ السَّحَابُ فَأَفْرَغَ مَاءَهُ فِي حَرَّةٍ، فَإِذَا شَرْجَةٌ مِنْ تِلْكَ الشِّرَاجِ قَدْ اسْتَوْعَبَتْ ذَلِكَ الْمَاءَ كُلَّهُ، فَتَتَبَّعَ الْمَاءَ، فَإِذَا رَجُلٌ قَائِمٌ فِي حَدِيقَتِهِ يُحَوِّلُ الْمَاءَ بِمِسْحَاتِهِ، فَقَالَ لَهُ: «يَا عَبْدَ اللِه مَا اسْمُكَ؟ قَالَ: «فُلَانٌ»، لِلِاسْمِ الَّذِي سَمِعَ فِي السَّحَابَةِ. فَقَالَ لَهُ: «يَا عَبْدَ الله لِمَ تَسْأَلُنِي عَنْ اسْمِي؟» فَقَالَ: «إِنِّي سَمِعْتُ صَوْتًا فِي السَّحَابِ الَّذِي هَذَا مَاؤُهُ يَقُولُ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ - لِاسْمِكَ ـ، فَمَا تَصْنَعُ فِيهَا؟» قَالَ: «أَمَّا إِذْ قُلْتَ هَذَا فَإِنِّي أَنْظُرُ إِلَى مَا يَخْرُجُ مِنْهَا فَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثِهِ وَآكُلُ أَنَا وَعِيَالِي ثُلُثًا وَأَرُدُّ فِيهَا ثُلُثَهُ»
"Ketika seorang lelaki berada di suatu kawasan tanah lapang, dia mendengar satu suara (suara malaikat) dari awan: "Siramilah kebun si fulan." Maka awan itu pun bergerak dan mencurahkan airnya di satu kawasan dipenuhi bebatu hitam. Salah satu aliran air dari kawasan tersebut menampung semua air hujan yang turun itu. Lelaki itu pun mengikuti aliran air tersebut menuju ke kebun seorang lelaki yang sedang berdiri di kebunnya dan mengalihkan air dengan peralatan kebunnya. Lelaki itu bertanya kepada pemilik kebun tersebut: "Wahai hamba Allah, apakah namamu?" Lelaki itu menyebut namanya dengan nama yang sama seperti yang dia dengar ketika disebut kepada awan. Lalu lelaki pemilik kebun itu bertanya: "Wahai hamba Allah, mengapa engkau bertanya namaku?" Lelaki itu menjawab: "Tadi aku mendengar suara mengarahkan awan agar menurunkan air hujan ini berkata: 'Siramilah kebun si fulan' - dan itu adalah namamu.” Maka apakah yang engkau lakukan di kebun ini?" Pemilik kebun itu menjawab: "Jika begitu yang engkau katakan, maka ketahuilah bahawa aku melihat hasil kebunku (dari hasil tersebut): Sepertiga daripadanya aku sedekahkan, sepertiga aku gunakan untuk makan bersama keluargaku, dan sepertiga lagi aku kembalikan ke kebun ini (untuk modal dan penjagaan).” (Hadis Sahih Muslim)
HURAIAN
Berinfaq di jalan Allah dengan penuh ketakwaan dan keikhlasan adalah satu perkara yang ditekankan oleh semua syariat samawi. Allah telah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang melakukannya.
Dalam hadis ini, Nabi Muhammad ﷺ menceritakan tentang kisah seorang lelaki yang bertakwa kepada Allah dalam menguruskan hartanya. Dia mengetahui hak-hak yang perlu ditunaikan dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab. Hadis ini juga menceritakan bagaimana Allah membalas kebaikan dengan kebaikan yang lebih baik.
Baginda ﷺ menceritakan tentang seorang lelaki yang sedang berjalan di satu kawasan falah (فَلَاة), iaitu kawasan tanah lapang atau padang pasir yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan. Tiba-tiba, dia mendengar satu suara dari arah awan, yang tidak diketahui pemiliknya, seolah-olah suara malaikat yang sedang memberi arahan kepada awan dengan berkata: "Siramilah hadiqah (kebun) si fulan!"
Kalimah Hadiqah dalam hadis yang diterjemahkan sebagai kebun, merujuk kepada tanah yang mempunyai berbagai pohon atau yang memiliki pohon kurma. Manakala "fulan" adalah kinayah atau kiasan yang digunakan sebagai ganti kepada nama sebenar pemilik kebun tersebut.
Kalimah تَنَحَّى bermaksud "awan itu berpindah” yakni awan itu menuju ke arah kebun tersebut atau bergerak dari tempat asalnya ke kebun yang dimaksudkan. Dalam bahasa Arab apabila dikatakan: تَنَحَّيْتُ الشَّيْءَ وَانْتَحَيْتُهُ وَنَحَوْتُهُ , ia memaksudkan إِذَا قَصَدْتَه apabila kamu memaksudkannya, atau berniat menuju ke arahnya. Dari kata ini juga, lahirnya nama ilmu 'Nahwu' yang memaksudkan ilmu untuk memahami dan menguasai bahasa Arab.
Maka Awan tersebut bergerak dan mengubah arahnya yang asal dan menuju ke arah tempat yang disebut dalam perintah, lalu menurunkan hujan di atas kawasan harrah (حَرَّةٍ). Kawasan harrah ialah kawasan yang terdapat banyak batu-batu hitam yang seperti telah dibakar.
Di kawasan tersebut terdapat beberapa aliran air (الشِّرَاجِ) dan salah satu aliran air (شَرْجَةٌ) yang ada, menampung semua air hujan tersebut. Lelaki itu kemudian mengikuti satu aliran air itu untuk melihat ke mana ia mengalir. Akhirnya, dia menemui seorang lelaki sedang berdiri di sebuah kebun, mengalihkan air yang mengalir dalam aliran dengan menggunakan مِسْحَاتِهِ iaitu المِجْرَفَة merujuk kepada cangkul atau penyodok. Dalam kitab Al-Qāmūs disebutkan: سَحَا الطين يَسْحِيْهِ ويَسْحُوه ويَسْحَاه سَحْوًا iaitu إذا قشره وجرفه bermaksud apabila seseorang mengikis atau mengorek sesuatu. Oleh itu الْمِسْحَاة merujuk kepada alat yang digunakan untuk mengikis atau menyodok tanah atau lumpur. Dalam kitab Al-Mabāriq المبارق dinyatakan: Al-Misḥāh (الْمِسْحَاة) ialah kata nama bagi sejenis alat besi yang lebar, diambil daripada perkataan As-Saḥw (السحو), yang bermaksud menyingkap atau menghilangkan sesuatu."
Pendapat lain menyebut: Al-Misḥāh (الْمِسْحَاة) dengan mim berbaris bawah (kasrah) dan sin yang sukun ialah penyodok yang diperbuat dari besi atau bahan lain. Ia merupakan alat yang digunakan untuk mengikis atau mengorek tanah.
Dalam hadis ini, ia memaksudkan pemilik kebun itu sedang menggunakan alat seperti cangkul atau penyodok untuk mengalihkan air dari aliran air ke tanahnya untuk mengairi tanamannya.
Lelaki yang mendengar suara di awan itu pun bertanya: "Wahai hamba Allah, apakah namamu?" Pemilik kebun itu menjawab dengan nama yang sama seperti yang disebut dalam suara kepada awan tadi.
Pemilik kebun itu kemudian bertanya: "Mengapa engkau bertanya tentang namaku?"
Lelaki itu pun menceritakan tentang suara yang didengarnya di awan dan bagaimana dia mengikuti aliran air itu sehingga tiba di kebun tersebut.
Lalu lelaki itu bertanya kepada pemilik kebun: "Apa yang engkau lakukan dengan hasil kebun ini?” atau: “Apakah amalan baik yang telah engkau lakukan sehingga engkau layak menerima kemuliaan ini?"
Pemilik kebun itu menjawab: "Jika itu yang engkau ingin tahu sebabnya, maka ketahuilah bahawa aku membahagikan hasil kebunku kepada tiga bahagian: satu pertiga aku sedekahkan.” Pada riwayat lain dalam Sahih Muslim juga dengan lafaz: وَأَجْعَلُ ثُلُثَهُ في الْمَساكِينِ yang bermaksud: “Aku jadikan satu pertiganya kepada orang miskin,” merangkumi orang fakir dan seumpamanya, والسَّائِلِينَ dan golongan yang meminta-minta makanan dan memerlukan kerana keperluan tertentu, وابْنِ السَّبِيلِ dan para musafir yang kehabisan bekalan. Satu pertiga aku gunakan untuk keperluan aku dan keluargaku; dan satu pertiga lagi aku kembalikannya semula ke kebun ini untuk menjaganya dan memastikan ia terus dapat mengeluarkan hasil."
PENGAJARAN HADIS
- Keutamaan sedekah dan infaq di jalan Allah – Allah memberikan keberkatan kepada orang yang menginfaqkan hartanya dengan ikhlas.
- Ganjaran bagi mereka yang menjaga hak fakir miskin – Sesiapa yang mengeluarkan bahagian tertentu dari hartanya untuk golongan yang memerlukan, Allah akan mempermudah rezekinya.
- Makan dari hasil usaha sendiri – Hadis ini menunjukkan kepentingan mencari rezeki yang halal dan menafkahkannya kepada keluarga.
- Allah tidak mensia-siakan mereka yang menguruskan nikmat dengan baik – Jika seseorang menggunakan rezeki dengan cara yang betul, Allah akan terus memberkatinya.
- Menjadikan amalan sedekah sebagai kebiasaan – Hadis ini mendorong kita untuk menetapkan sebahagian dari pendapatan kita untuk disalurkan ke jalan Allah.
- Hadis ini juga membuktikan bahawa wali-wali Allah boleh memiliki harta dan kebun, asalkan mereka menggunakannya dengan cara yang diredhai Allah. Ini tidak bercanggah dengan hadis lain yang melarang umat Islam daripada terlalu mencintai dunia. Apa yang dilarang adalah apabila seseorang terlalu sibuk dengan dunia hingga melupakan akhirat.
KESIMPULAN
Hadis ini mengajarkan kita bahawa keberkatan rezeki terletak pada bagaimana kita membelanjakannya. Dengan memberikan sebahagian kepada mereka yang memerlukan, kita bukan sahaja membantu orang lain tetapi juga menjamin keberkatan dalam kehidupan kita sendiri.