Soalan:
Minta ustaz kongsikan cerita Imam Nasa’ie dengan seorang gurunya al-Haris bin Miskin yang ustaz sebutkan dalam kuliah tafsir petang tadi, terima kasih
Jawapan:
Para ulama hadith telah menggunakan lafaz-lafaz tertentu ketika menyampaikan hadith, sesuai dengan cara mereka menerima hadith tersebut daripada guru-guru mereka. Cara-cara tersebut terbahagi kepada lapan jenis, yang telah dihimpunkan semuanya oleh Ibn al-Solah dalam muqaddimahnya. Cara yang paling masyhur adalah dua:
Pertama: Disebut sebagai sama‘ السماع (mendengar secara langsung), iaitu apabila seorang ahli hadis menyampaikan hadith sama ada dari hafalannya atau dari kitabnya sendiri, dan para pelajar mendengarnya secara langsung. Dalam keadaan ini, anak murid yang meriwayatkan hadith itu akan menggunakan lafaz seperti: "سمعت" (aku telah mendengar), "أخبرنا" (telah memberitahu kami), atau "حدثنا" (telah menceritakan kepada kami), tanpa sebarang syarat tambahan.
Kedua: Disebut sebagai ‘arḍ العرض (membaca kepada guru), iaitu hadith dibacakan di hadapan guru. Tidak menjadi masalah sama ada pelajar sendiri yang membaca, atau pelajar lain yang membacanya manakala dia mendengar. Dalam keadaan ini, sesiapa yang hadir dalam majlis tersebut akan menggunakan lafaz seperti: "أخبرنا، حدثنا، أنبأنا، قال قراءة عليه وأنا أسمع" bermaksud: “telah meriwayatkan kepada kami, atau telah memberitahu kami, atau telah menyampaikan kepada kami, atau beliau berkata: "dibaca di hadapannya (guruku) dan aku mendengar".
Inilah yang berlaku kepada Imam al-Nasa’i رحمه الله dalam periwayatannya daripada salah seorang gurunya bernama al-Harith bin Miskin (الحارث بن مسكين). Apabila beliau meriwayatkan daripada gurunya itu, beliau menggunakan beberapa lafaz seperti:
- أخبرنا الحارث بن مسكين قراءة عليه وأنا أسمع
- حدثنا الحارث بن مسكين قراءة عليه وأنا أسمع
- أنبأنا الحارث بن مسكين قراءة عليه وأنا أسمع
- قال الحارث بن مسكين قراءة عليه وأنا أسمع
- الحارث بن مسكين قراءة عليه وأنا أسمع
- قرئ على الحارث بن مسكين وأنا أسمع
Perkara ini dilakukan oleh al-Nasa’i kerana terdapat suatu masalah antara beliau dan gurunya al-Harith bin Miskin. Beliau menghadiri majlis pengajian gurunya itu tanpa dilihat oleh al-Harith bin Miskin. Maka, kerana wara’ dan kejujuran, al-Nasa’i menggunakan lafaz tersebut ketika meriwayatkan daripada gurunya al-Harith bin Miskin RH ke atas mereka berdua.
Ibnu Nuqtah (ابن نقطة) dalam kitab al-Taqyid li Ma’rifah Ruwah al-Sunan wa al-Masanid التقييد لمعرفة رواة السنن والمسانيد (hal. 143) berkata:
نقلت من خط عبد الرحيم بن محمد بن المهتر النهاوندي، قال: رأيت بخط الدوني قال سئلت ما روى النسائي عن الحارث بن مسكين يقول: قال الحارث بن مسكين قراءة عليه وأنا أسمع، ولم يذكر حدثنا ولا أخبرنا؟ فأجبت: أني سمعت أن الحارث بن مسكين كان يتولى القضاء بمصر، وكان بينه وبين النسائي خشونة، ولم يمكنه حضور مجلسه، فكان يجلس في موضع حيث يسمع قراءة القارئ ولا يُرَى، فلذلك قال كذلك
"Aku salin daripada tulisan tangan ‘Abd al-Rahim bin Muhammad bin al-Mihtar al-Nuhawandi yang berkata: “Aku melihat dalam tulisan tangan al-Duni (seorang rawi kitab al-Sunan), bahawa dia pernah ditanya, mengapa al-Nasa’i ketika meriwayatkan daripada al-Harith bin Miskin berkata: ‘قال الحارث بن مسكين قراءة عليه وأنا أسمع’, dan tidak menyebut ‘حدثنا’ atau ‘أخبرنا’? Maka aku menjawab: “Aku dengar bahawa al-Harith bin Miskin memegang jawatan qadi di Mesir, dan terdapat kekasaran (masalah) hubungan antara dia dan al-Nasa’i, menyebabkan al-Harith tidak membenarkan al-Nasa’i menghadiri majlisnya menyampaikan hadis. Maka al-Nasa’i duduk di suatu tempat di mana beliau dapat mendengar bacaan pembaca, tanpa dilihat oleh gurunya al-Harith. Oleh sebab itu al-Nasa’i menggunakan lafaz tersebut." Tamat.
Ibnu al-Athir pula dalam muqaddimah Jami’ al-Usul جامع الأصول (1/196), ketika menyebut biografi al-Imam al-Nasa’i, berkata:
وكان شافعي المذهب، له مناسك، ألَّفها على مذهب الشافعي، وكان ورعًا متحريًا، ألا تراه يقول في كتابه الحارث بن مسكين قراءة عليه، وأنا أسمع ولا يقول فيه: حدثنا ولا أخبرنا كما يقول عن باقي مشايخه. وذلك: أن الحارث كان يتولى القضاء بمصر، وكان بينه وبين أبي عبد الرحمن خشونة، لم يمكنه حضور مجلسه، فكان يستتر في موضع، ويسمع حيث لا يراه، فلذلك تورع وتحرى، فلم يقل: حدثنا وأخبرنا. وقيل: إن الحارث كان خائضًا في أمور تتعلق بالسلطان، فقدم أبو عبد الرحمن فدخل إليه في زي أنكره، قالوا: كان عليه قباء طويل، وقلنسوة طويلة، فأنكر زيه، وخاف أن يكون من بعض جواسيس السلطان، فمنعه من الدخول إليه، فكان يجيء فيقعد خلف الباب، ويسمع ما يقرؤه الناس عليه من خارج، فمن أجل ذلك لم يقل فيما يرويه عنه: حدثنا، وأخبرنا
"al-Nasa’i seorang yang bermazhab Shafi‘i, dan mempunyai kitab manasik yang ditulis menurut mazhab al-Shafi‘i. Beliau seorang yang warak dan sangat berhati-hati. Bukankah engkau melihat beliau berkata dalam kitabnya: “al-Harith bin Miskin, dibaca di hadapannya dan aku mendengar”, dan beliau tidak berkata: ‘حدثنا’ atau ‘أخبرنا seperti mana beliau berkata ketika meriwayatkan daripada guru-guru lainnya. Sebabnya adalah kerana al-Harith memegang jawatan qadi di Mesir, dan terdapat kekasaran hubungan (masalah) antara al-Harith dengan Abu ‘Abd al-Rahman (al-Nasa’i), menyebabkan al-Harith tidak membenarkan al-Nasa’i menghadiri majlis penyampaian hadithnya. Maka al-Nasa’i duduk bersembunyi di suatu tempat dan mendengar bacaan, tanpa dilihat oleh gurunya al-Harith. Oleh itu beliau berhati-hati dan tidak berkata: ‘حدثنا’ atau ‘أخبرنا. Dan dikatakan juga bahawa al-Harith masuk campur (mengkritik) dalam urusan-urusan berkaitan dengan pemerintah. Maka apabila Abu ‘Abd al-Rahman (al-Nasa’i) hadir di hadapannya dengan rupa pakaian yang ganjil pada al-Harith - dikatakan al-Nasa’i memakai jubah panjang dan kopiah tinggi - maka al-Harith ganjil dengan perbuatan al-Nasa’i dan bimbang beliau antara perisik pemerintah, lalu al-Harith melarang al-Nasa’i dari masuk ke majlisnya. Maka al-Nasa’i duduk di luar pintu dan mendengar bacaan dari luar. Oleh sebab itu, al-Nasa’i tidak meriwayatkan daripada al-Harith dengan lafaz: ‘حدثنا’ atau ‘أخبرنا." Tamat.
Perbuatan Imam al-Nasa’i ini dibenarkan dan tidak menjejaskan kesahihan periwayatan. Ibnu Jama‘ah (ابن جماعة) dalam al-Manhal al-Rawiyy المنهل الروي (hal. 84) menyatakan:
ولو خص بالسماع قوما، فسمع غيرهم بغير علمه: جاز له أن يرويه عنه، قاله الأستاذ أبو إسحاق الإسفراييني . وعن النسائي ما يؤذن بالتحرز منه، وهو روايته عن الحارث بن مسكين
"Sekiranya seseorang guru menghadkan penyampaian hadith kepada kelompok tertentu, lalu ada orang lain yang mendengarnya tanpa pengetahuan guru tersebut, maka dia tetap boleh meriwayatkannya daripadanya. Ini adalah pendapat al-Ustaz Abu Ishaq al-Isfara’ini. Ini juga boleh difahami dari sikap berhati-hati Imam al-Nasa’i dalam meriwayatkan daripada al-Harith bin Miskin." Tamat.
al-Imam al-Sakhawi dalam Fath al-Mughith (2/32) ketika membincangkan lafaz-lafaz periwayatan dalam ‘arḍ, berkatanya:
ثم عبِّر، أيها المحدث بما مضى في أول .أي في القسم الأول (والقسم الأول وهو السماع)، مقيدا ذلك بقولك: قراءة عليه، فقل: حدثنا فلان بقراءتي عليه، أو: قراءة عليه وأنا أسمع، أو: أنا فلان بقراءتي، أو: قراءة عليه، أو: أنبأنا أو نبأنا فلان بقراءتي، أو: قراءة عليه، أو: قال لنا فلان بقراءتي، أو قراءة عليه، أو نحو ذلك
"Kemudian, wahai ahli hadith, gunakanlah lafaz-lafaz seperti yang disebutkan dalam bahagian pertama (iaitu bahagian sama’), dengan ikatkan lafaz: “dibaca ke atasnya’ (قراءة عليه). Maka katakanlah: ‘حدثنا فلان بقراءتي عليه’, atau ‘قراءة عليه وأنا أسمع’, atau ‘أنبأنا فلان بقراءتي’, atau ‘قال لنا فلان بقراءتي’, dan seumpamanya." Tamat.