Hadis Yaumul Wisyah (يَومَ الوِشَاحِ)

Aisyah Ummul Mukminin RA berkata:

أنَّ ولِيدَةً كَانَتْ سَوْدَاءَ لِحَيٍّ مِنَ العَرَبِ، فأعْتَقُوهَا، فَكَانَتْ معهُمْ، قالَتْ: فَخَرَجَتْ صَبِيَّةٌ لهمْ عَلَيْهَا وِشَاحٌ أحْمَرُ مِن سُيُورٍ، قالَتْ: فَوَضَعَتْهُ - أوْ وقَعَ منها - فَمَرَّتْ به حُدَيَّاةٌ وهو مُلْقًى، فَحَسِبَتْهُ لَحْمًا فَخَطِفَتْهُ، قالَتْ: فَالْتَمَسُوهُ، فَلَمْ يَجِدُوهُ، قالَتْ: فَاتَّهَمُونِي به، قالَتْ: فَطَفِقُوا يُفَتِّشُونَ حتَّى فَتَّشُوا قُبُلَهَا، قالَتْ: واللَّهِ إنِّي لَقَائِمَةٌ معهُمْ، إذْ مَرَّتِ الحُدَيَّاةُ فألْقَتْهُ، قالَتْ: فَوَقَعَ بيْنَهُمْ، قالَتْ: فَقُلتُ هذا الذي اتَّهَمْتُمُونِي به، زَعَمْتُمْ وأَنَا منه بَرِيئَةٌ، وهو ذَا هُوَ، قالَتْ: فَجَاءَتْ إلى رَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ فأسْلَمَتْ، قالَتْ عَائِشَةُ: فَكانَ لَهَا خِبَاءٌ في المَسْجِدِ - أوْ حِفْشٌ - قالَتْ: فَكَانَتْ تَأْتِينِي فَتَحَدَّثُ عِندِي، قالَتْ: فلا تَجْلِسُ عِندِي مَجْلِسًا، إلَّا قالَتْ: وَيَومَ الوِشَاحِ مِن أعَاجِيبِ رَبِّنَا... ألَا إنَّه مِن بَلْدَةِ الكُفْرِ أنْجَانِي قالَتْ عَائِشَةُ: فَقُلتُ لَهَا ما شَأْنُكِ، لا تَقْعُدِينَ مَعِي مَقْعَدًا إلَّا قُلْتِ هذا؟ قالَتْ: فَحَدَّثَتْنِي بهذا الحَديثِ.

Seorang hamba wanita berkulit hitam milik satu kabilah Arab telah dimerdekakan, lalu dia tinggal bersama mereka. Wanita itu berkata: “Salah seorang anak perempuan kecil daripada mereka telah keluar dengan memakai sehelai selendang merah yang disulam bersama potongan kulit. Lalu anak perempuan itu meletakkannya — atau mungkin ia terjatuh daripadanya — dan seekor burung helang melintas dan menyangkakan selendang itu adalah seketul daging, lalu burung itu menyambarnya. Kata wanita itu: orang ramaipun mencari-cari selendang itu, tetapi tidak menemuinya. Lalu mereka menuduh aku mencurinya. Mereka pun mula memeriksa seluruh tubuhku, sehinggalah mereka memeriksa kemaluanku. Demi Allah, ketika aku sedang berdiri bersama mereka, tiba-tiba burung helang itu melintas dan menjatuhkan selendang itu. Ia jatuh betul-betul di tengah-tengah mereka. Aku pun berkata: “Inilah selendang yang kamu tuduh aku mencurinya. Kamu menuduh aku, sedangkan aku tidak bersalah. Nah, itulah dia (selendang itu).” Kemudian, wanita itu datang kepada Rasulullah lalu memeluk Islam. Aisyah berkata: “Dia tinggal dalam sebuah khemah kecil di dalam masjid — atau sebuah pondok - Dia sering datang menemuiku dan berbual denganku. Tidak sekali pun dia duduk bersamaku melainkan dia pasti akan berkata: “Pada hari terjadi selendang yang disambar helang itu merupakan antara tanda-tanda keajaiban Tuhan kita... Sesungguhnya dari negeri kufur Allah telah menyelamatkan aku.” Aisyah pun berkata: "Aku bertanya kepadanya: “Mengapa dengan kamu, tidak pernah kamu duduk denganku melainkan kamu akan mengucapkan perkataan ini?’ Maka dia pun menceritakan kepadaku kisah ini.” (Sumber: Sahih al-Bukhari (Hadis no. 439) / Rujukan tambahan: Ibn Khuzaymah (1332), Ibn Hibban (1655), Abu Nu’aim dalam Hilyatul Awliya’ (2/71) dengan beberapa perbezaan lafaz)

HURAIAN

Hadis ini menjadi hujah bahawa wanita pernah tinggal dalam masjid (iaitu khemah atau pondok di dalamnya) dan Rasulullah tidak melarangnya. Ia menjadi hujah pada sebahagian ulama sebagai bukti bahawa wanita haid boleh berada dalam masjid jika tiada risiko akan mengotorkan masjid, terutamanya apabila ada keperluan syar'ie seperti belajar, mengajar atau seumpamanya.

Allah Subānahu wa Taʿālā Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya, khususnya golongan yang lemah dan yang dizalimi. Sesungguhnya Allah akan membela mereka terhadap orang yang menzalimi mereka, dan Dia akan menzahirkan kebenaran sama ada dalam masa yang segera atau lambat.

Dalam hadis ini, Ummul Mukminin ʿĀisyah RA menceritakan bahawa terdapat seorang hamba wanita berkulit hitam yang dimiliki oleh satu kabilah Arab. Mereka telah memerdekakan wanita itu, namun wanita itu masih terus tinggal bersama mereka dalam kabilah tersebut.

Wanita itu menceritakan pernah seorang anak kecil perempuan daripada kabilah tersebut keluar dengan memakai sehelai selendang merah (وِشاحٌ أحمَرُ مِن سُيورٍ). Kalimah: سُيورٍ adalah jamak atau plural untuk: سَيْرٍ, iaitu potongan daripada kulit. Manakala: الوِشاحُ   pula adalah sejenis perhiasan, merujuk kepada dua tali yang diperbuat daripada mutiara yang disusun secara berselang-seli, dan wanita memakainya sebagai perhiasan di tubuhnya (والوِشاحُ نوعٌ مِن الزِّينةِ، وهو خَيْطانِ مِنْ لُؤلؤٍ يُخالَفُ بيْنَهما وتتَوَشَّحُ به المرأةُ). Menurut sebahagian pandangan, ia sejenis perhiasan yang ditenun secara melebar daripada kulit binatang dan dihiasi dengan mutiara, lalu wanita mengikatnya antara bahunya dan pinggangnya (يُنسَجُ عريضًا مِن أديمٍ ويُرَصَّعُ باللُّؤلؤِ وتَشُدُّه المرأةُ بيْنَ عاتِقِها وكَشْحِها).

Kemudian, selendang kulit itu terjatuh daripada kanak-kanak tersebut, lalu datang seekor burung helang (حُدَيَّاةٌ), sejenis burung liar boleh mendatangkan mudharat, dibenarkan untuk dibunuh di kawasan halal atau haram kerana bahayanya. Burung itu menyangka selendang itu adalah daging lalu menyambarnya dan terbang pergi.

Kehilangan selendang kulit tersebut menyebabkan orang ramai mencarinya, tetapi tidak menemuinya. Lalu mereka menuduh hamba wanita tadi mencurinya, sehingga mereka memeriksanya dengan terperinci termasuklah tempat sulitnya, satu tindakan yang sangat menyakitkan dan memalukan bagi wanita tersebut.

Namun Allah Taʿālā menzahirkan kebenaran dan membuktikan wanita itu tidak bersalah. Ketika mereka masih mencarinya dan wanita itu sedang berdiri bersama mereka, tiba-tiba burung helang tadi terbang melintasi mereka dan menjatuhkan selendang itu dari paruhnya, kerana ia mendapati bahawa itu bukanlah daging. Selendang kulit itu jatuh betul-betul di tengah-tengah mereka. Wanita itu pun berkata:

“Inilah yang kamu tuduh aku mencurinya. Kamu telah menuduhku, padahal aku tidak bersalah.”

Kemudian, wanita tersebut datang kepada Nabi Muhammad dan memeluk Islam.

ʿĀisyah RA berkata: “Wanita ini mempunyai khemah kecil atau pondok (ifsh) di dalam masjid..” iaitu sebuah tempat tinggal yang kecil dan sempit. Dia sering datang bertemu dengan ‘Aisyah dan berbual. Tidak sekali pun dia duduk bersama ‘Aisyah melainkan dia akan menyebut dalam bentuk bait syair:

ويَومَ الوِشاحِ مِن أَعاجِيبِ رَبِّنا، أَلَا إنَّه مِن بَلْدةِ الكُفرِ أَنْجاني

“Dan pada hari selendang kulit itu adalah antara keajaiban Tuhan kita, Sesungguhnya dari negeri kufur, Dia telah menyelamatkan daku.”

Bait syair ini membawa maksud bahawa ujian yang dialaminya, berupa fitnah dan tuduhan serta penganiayaan, telah menjadi sebab dia memeluk Islam dan berhijrah. Selendang kulit yang disambar helang tersebut juga telah menjadi sebab kepada keislamannya. Oleh itu, Yaumul Wisyah antara tanda-tanda keajaiban Tuhan, kerana apa yang berlaku sangat luar biasa: seekor burung menyambar selendang kulit, lalu wanita itu dituduh dan perlaku dengan hina, lalu Allah membersihkannya dengan mengembalikan bukti di hadapan orang ramai. Akhirnya, wanita itu keluar dari negeri kufur menuju kepada negeri Islam, dan peristiwa itu menjadi titik perubahan hidupnya daripada kesengsaraan kepada kebahagiaan, daripada kegelapan kekafiran kepada Cahaya Islam. Pepatah Arab menyebut:

رُبَّ ضارَّةٍ نافعةٌ

"Barangkali sesuatu musibah adalah suatu yang membawa kebaikan."

Dalam hadis ini terdapat pengajaran bahawa Allah Ta‘ala akan melepaskan kesusahan orang-orang yang berada dalam kesempitan dengan cara yang menyalahi kebiasaan demi menyelamatkan mereka, walaupun mereka adalah orang kafir, kerana keadilan Allah meliputi orang beriman dan orang kafir, orang yang taat dan juga yang derhaka. Hadis ini juga menunjukkan bahawa sesiapa yang tidak mempunyai tempat tinggal atau tempat bermalam, maka dibolehkan baginya untuk bermalam di dalam masjid, sama ada lelaki ataupun wanita, asalkan aman daripada fitnah. Di dalamnya juga terdapat kelebihan berhijrah dari negara kufur ke negara Islam, dan menjadi satu sunnah untuk keluar dari tempat yang mendatangkan fitnah ke tempat yang lebih aman.

 


Cetak  
Wallahu a'lam