SDI 1818: Darjat Hadis Kelebihan Tiga Ayat Awal Surah al-An'am

Soalan:

Ustaz, adakah hadis tentang kelebihan tiga ayat awal surah al-An‘am? Saya dengar ada ustaz kata siapa yang  membacanya akan diberi pahala seperti amalan 40 orang malaikat.

Jawapan:

Hadis yang ditanya bukan hadis yang sahih atau hasan. Ia juga tidak ada diriwayatkan dalam kitab-kitab utama sumber hadis. Bahkan dalam senarai periwayatnya, terdapat periwayat matruk, yang ditinggalkan hadisnya oleh para ulama. Oleh itu hadis ini tidak boleh dijadikan sandaran kerana ia berada dalam kumpulan hadis yang bersangatan lemah.

al-Hafidz Ibn Hajar dalam kitabnya al-Amali al-Mutlaqah halaman 204 menyebut rantaian sanad hadis ini dengan katanya:

ثمَّ أملانا سيدنَا ومولانا قَاضِي الْقُضَاة شيخ الْإِسْلَام نفع الله بِعُلُومِهِ آمين بتاريخ سادس عشْرين جمادي الأولى عَام ثَلَاثِينَ وثمان مئة قَالَ أَخْبَرَنِي أَبُو الْحَسَنِ عَلِيُّ بْنُ مُحَمَّدٍ الْخَطِيبُ عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ حَمْزَةَ قَالَ أَخْبَرَنَا جَعْفَرُ بْنُ عَلِيٍّ قَالَ أَخْبَرَنَا السِّلَفِيُّ قَالَ أَخْبَرَنَا عَلِيُّ بْنُ أَحْمَدَ بْنِ بَيَانٍ قَالَ أَخْبَرَنَا طَلْحَةُ بْنُ عَلِيٍّ قَالَ أَخْبَرَنَا أَحْمَدُ بْنُ عُثْمَانَ الْأَدَمِيُّ قَالَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي شَيْبَةَ قَالَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ إِسْحَاقَ الصِّينِيُّ قَالَ حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ الْقَمِيُّ قَالَ حَدَّثَنَا جَعْفَرُ بْنُ أَبِي الْمُغِيرَةِ عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنِ ابْنِ عَبَاسٍ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمَا قَالَ

Jalur sanad hadis ini sampai kepada Sa‘id bin Jubair, daripada Ibn ‘Abbas RA yang didakwa telah berkata:

مَنْ قَرَأَ إِذَا صَلَّى الْغَدَاةَ ثَلَاثَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْأَنْعَامِ إِلَى ﴿وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ﴾ نَزَلَ إِلَيْهِ أَرْبَعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ يُكْتَبُ لَهُ مِثْلُ أَعْمَالِهِمْ وَنَزَلَ إِلَيْهِ مَلَكٌ مِنْ فَوْقِ سَبْعِ سَمَاوَاتٍ وَمَعَهُ مَرْزَبَةِ مِنْ حَدِيدٍ فَإِنْ أَوْحَى الشَّيْطَانُ فِي قَلْبِهِ شَيْئًا مِنَ الشَّرِ ضَرَبَهُ ضَرْبَةً حَتَّى يَكُونَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهُ سَبْعُونَ حِجَابًا فَإِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى لَهُ أَنَا رَبُّكَ وَأَنْتَ عَبْدِي امْشِ فِي ظِلِّي وَاشْرَبْ مِنَ الْكَوْثَرِ وَاغْتَسِلْ مِنَ السَّلْسَبِيلِ وَادْخُلِ الْجَنَّةَ بِغَيْرِ حِسَابٍ وَلَا عَذَابَ

Sesiapa yang membaca tiga ayat daripada permulaan Surah al-An‘ām hingga (firman Allah): (وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ) ketika dia solat Subuh, maka akan turun kepadanya empat puluh ribu (40,000) malaikat, akan dituliskan untuknya seumpama amalan-amalan mereka (seperti pahala amalan 40,000 para malaikat itu). Dan akan turun juga kepadanya satu malaikat dari tujuh petala langit, bersamanya penukul besar daripada besi, jika syaitan membisikkan ke dalam hatinya sesuatu kejahatan, malaikat itu akan memukul syaitan tersebut dengan satu pukulan hingga terbentang tujuh puluh hijab antara dia dan syaitan itu. Maka apabila tiba Hari Kiamat, Allah Ta‘ala berfirman kepadanya: “Akulah Tuhanmu dan engkau adalah hamba-Ku. Berjalanlah di bawah naungan-Ku, minumlah dari Telaga al-Kawthar, mandilah di dalam air Salsabīl, dan masuklah ke dalam Syurga tanpa hisab dan tanpa azab."

Selepas menyenaraikan hadis ini, al-Hafidz Ibn Hajar berkata:

هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ، وَالْمُتهَمُ بِهِ إِبْرَاهِيمُ بْنُ إِسْحَاقَ وَإِنْ كَانَ فِي مُحَمَّدِ بْنِ عُثْمَانَ بَعْضُ الضَّعْفِ لَكِنُّهُ لَمْ يُتْرَكْ، وَأَمَّا إِبْرَاهِيمُ قَالَ الدَّارَقُطْنِيُّ مَتْرُوكٌ، وَقَالَ الْأَزْدِيُّ زَائِغٌ

“Ini adalah hadis gharib. Orang yang ditohmah (dalam sanad ini) ialah Ibrahim bin Ishaq (al-Syiniy). Dan meskipun pada Muhammad bin ‘Uthman terdapat sedikit kelemahan, namun dia tidak ditinggalkan (oleh para ulama hadis). Adapun Ibrahim, al-Dāraqutnī berkata: "Matrūk (seorang yang ditinggalkan hadisnya).” Dan al-Azdī berkata: "seorang yang menyeleweng."

 


Cetak  
Wallahu a'lam