Huraian Hadis Tentang Zakat Emas, Perak, Lembu Dan Kambing

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib رضي الله عنه bahawa Nabi bersabda:

قد عفوتُ عن الخيلِ والرَّقيقِ فهاتوا صدقةَ الرِّقَّةِ من كلِّ أربعينَ درهمًا درهمٌ وليس في تسعينَ ومئةٍ شيءٌ فإذا بلغَت مئتينِ ففيها خمسةُ دراهمَ فما زاد فعلى حسابِ ذلك وفي الغنَمِ في أربعينَ شاةً شاةٌ إلى عشرينَ ومئةٍ فإذا زادتْ واحدةً فشاتانِ إلى مئتينِ فإن زادتْ فثلاثُ شياهٍ إلى ثلاثمئةٍ فإذا زادتْ على ثلاثمئةٍ ففي كلِّ مئةٍ شاةٌ فإن لم تكنْ إلَّا تسعًا وثلاثينَ فليسَ عليك فيها شيءٌ وفي البقرِ في كلِّ ثلاثينَ تَبيعٌ وفي الأربعين مُسنَّةٌ وليس على العواملِ شيءٌ

Maksudnya: “Aku telah menggugurkan daripada kamu zakat kuda dan hamba. Maka keluarkanlah zakat perak, daripada setiap empat puluh dirham satu dirham. Tiada zakat pada seratus sembilan puluh (dirham). Apabila mencapai dua ratus, maka zakatnya lima dirham. Selebihnya mengikut kiraan itu. Dan pada kambing, bagi empat puluh ekor seekor kambing, hingga seratus dua puluh ekor. Jika bertambah seekor, maka zakatnya dua ekor kambing hingga dua ratus ekor. Jika bertambah, maka tiga ekor kambing hingga tiga ratus ekor. Jika lebih daripada tiga ratus, maka bagi setiap seratus ekor zakatnya seekor kambing. Sekiranya hanya tiga puluh sembilan ekor, maka tiada zakat padanya. Dan pada lembu: bagi setiap tiga puluh ekor seekor tabī, dan pada setiap empat puluh ekor seekor musinnah. Tidak ada zakat pada lembu yang digunakan untuk bekerja.” (Status Hadith: Hasan sebagaimana disebut oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam mukadimah Hidāyah al-RuwāhTakhrij: Diriwayatkan oleh Abu Dawud (1574, 1572) dan lafaz ini miliknya. Al-Tirmidhi (620), Al-Nasa'i (2477), Ibn Majah (1790), dan Ahmad bin Hanbal (711))

Huraian Hadith

Zakat merupakan antara keindahan syariat Islam. Ia menegakkan semangat takaful sosial antara anggota masyarakat Muslim, sehingga si miskin tidak lagi menyimpan sebarang rasa dengki dan dendam terhadap si kaya, dan si kaya tidak menzalimi si miskin. Maka keadilan dan rahmat tersebar luas dalam Masyarakat seluruhnya.

Perkataan Nabi SAW:

قَدْ عفَوْتُ عنِ الخَيلِ والرَّقِيقِ" والمُرادُ بالعفْوِ: أنَّه لا زَكاةَ في الخَيلِ والمماليكِ

Maksudnya: ““Aku telah menggugurkan daripada kamu zakat kuda dan hamba.”

Di mana yang dimaksudkan dengan العفو(kemaafan yang diterjemahkan sebagai menggugurkan) di sini ialah: tidak ada zakat ke atas kuda dan hamba-hamba.

فهاتُوا صَدقَة الرِّقَةِ: مِن كلِّ أربعينَ دِرْهمًا دِرْهَمٌ

Maksudnya: “Maka keluarkanlah zakat perak: daripada setiap empat puluh dirham, satu dirham.”

Di mana kalimah الرِّقَة al-Riqah ialah perak yang ditempa menjadi dirham dan mata wang. Maksudnya: zakat yang wajib dikeluarkan adalah satu perempat daripada satu persepuluh (رُبُعَ العُشرِ) daripada perak yang ditempa dan dicetak sebagai mata wang, iaitu bersamaan dengan kadar 2.5%.

مِن كلِّ أربعينَ دِرهمًا دِرْهَمٌ

Maksudnya: “Daripada setiap empat puluh dirham satu dirham”  

Ini hanyalah untuk menerangkan nisbah kadar peratusan zakat semata-mata. Di mana, tidak diambil zakat dari jumlah yang kurang daripada dua ratus dirham, sebagaimana sabda Nabi :

وليس في تِسعينَ ومائةٍ شَيءٌ، فإذا بلَغَتْ مائتينِ ففيها خَمْسةُ دَراهمَ، فما زاد فعلى حِسابِ ذلك

“Dan tidak ada zakat pada dan seratus sembilan puluh dirham. Apabila mencapai dua ratus, maka zakatnya lima dirham. Selebihnya mengikut kiraannya.”

Maksudnya: apabila perak mencapai 200 dirham dan telah berlalu setahun haul, maka zakatnya adalah satu perempat daripada satu persepuluh (¼ daripada 1/10) yang bersamaan lima dirham. Apabila jumlahnya melebihi 200 dirham, zakatnya diambil mengikut kadar yang sama, iaitu 2.5%. Dua ratus dirham pada hari ini bersamaan dengan kira-kira 595 gram perak.

Seterunya baginda SAW menerangkan tentang zakat-zakat lain, iaitu;

  1. Zakat kambing

Nisab bermula pada 40 ekor sehingga 120 ekor → zakatnya seekor kambing. Jika 121 hingga 200 ekor → zakatnya dua ekor kambing. Jika 201 hingga 300 ekor → zakatnya tiga ekor kambing. Jika melebihi 300 ekor → zakatnya seekor  kambing bagi setiap tambahan 100 ekor. Jika kurang daripada 40 ekor, tiada zakat.

  1. Zakat lembu

Nisab bermula pada 30 ekor → seekor lembu tabīʿ (تَبِيعٌ). Setiap 40 ekor → seekor musinnah (مُسِنَّةٌ). Lembu yang digunakan untuk bekerja (العَوامِل) tidak dikenakan zakat.

 


Cetak  
Wallahu a'lam