Hadis Tentang Mimbar Nabi SAW

Daripada Sahl bin Sa‘d al-Sā‘idī (سهل بن سعد الساعدي):

أنَّ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أرْسَلَ إلى امْرَأَةٍ مِنَ المُهَاجِرِينَ، وكانَ لَهَا غُلَامٌ نَجَّارٌ، قَالَ لَهَا: مُرِي عَبْدَكِ فَلْيَعْمَلْ لَنَا أعْوَادَ المِنْبَرِ، فأمَرَتْ عَبْدَهَا، فَذَهَبَ فَقَطَعَ مِنَ الطَّرْفَاءِ، فَصَنَعَ له مِنْبَرًا، فَلَمَّا قَضَاهُ، أرْسَلَتْ إلى النبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ إنَّه قدْ قَضَاهُ، قَالَ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: أرْسِلِي به إلَيَّ، فَجَاؤُوا به، فَاحْتَمَلَهُ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فَوَضَعَهُ حَيْثُ تَرَوْنَ.

Maksudnya: “Bahawa Nabi telah mengutus seseorang kepada seorang wanita daripada golongan Muhajirin yang mempunyai seorang hamba lelaki tukang kayu. Baginda bersabda kepadanya: “Perintahkan hambamu itu agar dia membuat untuk kami dari beberapa batang kayu mimbar.” Maka wanita itu memerintahkan hambanya. Lalu hamba itu pergi dan memotong kayu dari pohon arfā’ (sejenis pokok). Dia pun membuat untuk Baginda sebuah mimbar. Setelah selesai, wanita itu mengutus seseorang kepada Nabi memberitahu bahawa mimbar itu telah siap. Maka Baginda bersabda: “Hantarkan mimbar itu kepadaku.” Lalu mereka membawa mimbar tersebut, dan Nabi mengangkatnya dengan tangannya sendiri, kemudian meletakkannya di tempat yang kamu semua lihat (kedudukan mimbar ketika itu).” (Sumber: Ṣaī al-Bukhārī no. 2569 Takhrīj: Diriwayatkan juga oleh al-abarānī dalam al-Mu‘jam al-Kabīr (6/145) (5790) dan Ibn al-addād dalam Jāmi’ al-Ṣaīayn (3733) dengan lafaz ini. Muslim (544) dengan lafaz seumpamanya (بنحوه).)

Daripada Sahl bin Sa‘d al-Sā‘idī (سهل بن سعد الساعدي):

أَتَى رِجَالٌ إلى سَهْلِ بنِ سَعْدٍ يَسْأَلُونَهُ عَنِ المِنْبَرِ، فَقالَ: بَعَثَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ إلى فُلَانَةَ، امْرَأَةٍ قدْ سَمَّاهَا سَهْلٌ: أنْ مُرِي غُلَامَكِ النَّجَّارَ، يَعْمَلُ لي أعْوَادًا، أجْلِسُ عليهنَّ إذَا كَلَّمْتُ النَّاسَ، فأمَرَتْهُ يَعْمَلُهَا مِن طَرْفَاءِ الغَابَةِ، ثُمَّ جَاءَ بهَا، فأرْسَلَتْ إلى رَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ بهَا، فأمَرَ بهَا فَوُضِعَتْ، فَجَلَسَ عليه.

Maksudnya: “Beberapa orang lelaki datang kepada Sahl bin Sa‘d dan bertanya kepadanya tentang mimbar. Maka Sahl berkata: Rasulullah telah mengutus kepada seorang wanita — yang disebut namanya oleh Sahl — seraya bersabda: “Perintahkan hambamu tukang kayu itu supaya membuatkan untukku beberapa batang kayu (sebagai mimbar) yang akan aku duduki ketika aku berbicara kepada orang ramai.” Maka wanita itu memerintahkan hambanya supaya membuatnya daripada kayu arfā’ di kawasan al-Ghābah (sebuah tempat di pinggir Madinah). Setelah siap, dia mengirimkannya kepada Rasulullah , lalu Baginda memerintahkan agar diletakkan di tempatnya, dan Baginda duduk di atasnya.” (Sumber: Ṣaī al-Bukhārī no. 2094. Takhrīj: Diriwayatkan oleh al-Bukhārī (2094) dan Muslim (544).)

Huraian

Rasulullah dahulu berkhutbah kepada para sahabatnya dalam keadaan berdiri dan bersandar pada sebatang pohon kurma yang dijadikan tiang masjid. Apabila bilangan jemaah semakin ramai, Baginda berhasrat membuat mimbar daripada kayu agar Baginda dapat berdiri dan duduk di atasnya ketika berkhutbah.

Hadis ini menceritakan kisah pembuatan mimbar di zaman Nabi SAW. Tabi‘ī Abū āzim Salamah bin Dīnār (أبو حازمٍ سَلَمةُ بنُ دِينارٍ) meriwayatkan bahawa beberapa orang lelaki datang menemui seorang sahabat yang mulia, Sahl bin Sa‘d al-Sā‘idī رضي الله عنه, untuk bertanyakan beliau tentang mimbar Nabi . Maka Sahl رضي الله عنه menceritakan bahawa Nabi telah mengutus seseorang kepada seorang wanita — yang disebut namanya oleh Sahl — dan terdapat perbezaan pendapat ulama tentang nama wanita yang maksudkan. Ada yang mengatakan namanya ‘Ā’ishah (عائِشةُ), ada yang mengatakan Mīnās (مِيناسُ), beliau seorang wanita daripada Ansar menurut satu riwayat al-Bukhārī, dan dalam riwayat lain milik al-Bukhari juga dinyatakan beliau dari golongan Muhajirin. Wanita itu memiliki seorang hamba tukang kayu. Nabi bersabda kepadanya: “Perintahkanlah hambamu supaya membuatkan untukku sebuah mimbar agar aku dapat duduk di atasnya ketika berbicara kepada manusia.”

Dalam Ṣaī al-Bukhārī juga terdapat hadis daripada Jābir bin ‘Abdillah رضي الله عنهما bahawa seorang wanita Ansar berkata kepada Rasulullah :

أنَّ امْرَأَةً مِنَ الأنْصَارِ قالَتْ لِرَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: يا رَسولَ اللَّهِ، ألَا أجْعَلُ لكَ شيئًا تَقْعُدُ عليه؟ فإنَّ لي غُلَامًا نَجَّارًا قالَ: إنْ شِئْتِ..

“Wahai Rasulullah, mahukah aku buatkan sesuatu untukmu yang boleh engkau duduki? Sesungguhnya aku mempunyai seorang hamba tukang kayu.” Baginda menjawab: “Lakukan jika engkau mahu…”

Kedua-dua riwayat ini apabila digabungkan dapat menghasilkan kefahaman bahawa wanita itu terlebih dahulu menawarkan kepada Rasulullah , kemudian Baginda mengutus wakil kepadanya sebagai tanda persetujuan dan memerintahkannya agar membuat mimbar tersebut.

Maka wanita itu memenuhi permintaan baginda, lalu memerintahkan hambanya untuk membuatkan mimbar kepada Rasulullah daripada kayu arfā’, kata nama jamak atau plural dari perkataan tarafah (طَرَفةَ) iaitu sejenis pohon padang pasir. Adapun al-Ghābah (الغابةُ) ialah sebuah tempat di bahagian utara Madinah (عَوالي المدينةِ) menghala ke Syam, kira-kira sembilan batu atau lebih kurang 14 kilometer dari Madinah.

Setelah hamba wanita tersebut menyiapkan mimbar itu, wanita itu mengirimkannya kepada Rasulullah , lalu Baginda memerintahkan agar mimbar tersebut diletakkan di tempatnya dalam masjid, dan Baginda duduk di atasnya.

Hadis ini menunjukkan keharusan meminta bantuan orang yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam apa jua bidang yang memberi manfaat kepada umat Islam.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA:

أنَّه صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ لَمَّا بَدَّنَ قالَ لَهُ تميمٌ الدَّاريُّ: ألا أتَّخذُ لَكَ مِنبرًا يا رسولَ اللَّهِ، يجمعُ أو يحملُ عظامَكَ؟ قالَ: بلَى، فاتَّخذَ لَهُ منبرًا مِرقاتينِ

Maksudnya: “Bahawa Nabi ketika tubuh baginda semakin berat (kerana usia baginda yang lanjut), Tamīm al-Dārī berkata kepada baginda: “Mahukah daku buatkan untukmu sebuah mimbar, wahai Rasulullah, yang dapat menyokong atau menampung tubuhmu?” Baginda bersabda: “Buatkanlah.” Maka Tamīm pun membuatkan untuk baginda sebuah mimbar yang mempunyai dua anak tangga.” (Status hadis: Sahih atau hasan (sebagaimana syarat yang diletakkan oleh Ibn al-Mulaqqin dalam mukadimah Tuhfah al-Muhtaj 1/504. Takhrīj: Diriwayatkan oleh Abū Dāwud (1081) dengan lafaz ini, dan al-Bayhaqī (5909) dengan riwayat yang lebih panjang serta sedikit perbezaan lafaz.)

Dalam riwayat lain:

أنَّ النَّبيَّ صلى الله عليه وسلم لَمَّا بدنَ قالَ لَهُ تميمٌ الدَّاريُّ ألاَ أتَّخذُ لَكَ منبرًا يا رسولَ اللَّهِ يجمعُ - أو يحملُ - عظامَكَ قالَ: بلى. فاتَّخذَ لَهُ منبرًا مرقاتين.

Maksudnya: “Bahawa Nabi ketika tubuh baginda bertambah berat, Tamīm al-Dārī berkata kepada baginda: “Mahukah daku buatkan untukmu sebuah mimbar, wahai Rasulullah, yang dapat menyokong — atau menampung — tubuhmu?” Baginda menjawab: “Buatkanlah.” Maka Tamīm pun membuatkan untuk baginda sebuah mimbar yang mempunyai dua anak tangga.” (Perawi: ‘Abdullah bin ‘Umar. Dinilai sahih oleh al-Albānī dalam Ṣaī Abī Dāwūd no. 1081.
Takhrīj: Diriwayatkan oleh Abū Dāwud (1081) dengan lafaz ini, dan al-Bayhaqī (5909) dengan riwayat lebih panjang serta sedikit perbezaan lafaz.)

Huraian

Nabi dahulunya berkhutbah pada hari Jumaat, hari raya dan pelbagai majlis dengan berdiri di atas batang pokok kurma (الجِذْعُ) di dalam masjid. Sesiapa yang berdiri di atasnya tidak dapat berdiri dengan tenang dan stabil. Ketika baginda masih muda dan kuat, baginda dapat berdiri dengan baik di atasnya. Namun apabila usia baginda meningkat dan tubuh baginda menjadi berat, baginda membuat mimbar agar dapat berdiri dan berkhutbah dengan tenang.

Dalam hadis ini, Abdullah bin ‘Umar رضي الله عنهما menceritakan: أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ علَيْه وسلَّم لَمَّا بَدَّنَ maksudnya: “Bahawa Nabi ketika baddan,” iaitu: ثَقُلَ جِسمُه لكِبَرِ سنِّه, tubuh baginda menjadi berat kerana usia tua, Tamīm al-Dārī berkata kepada baginda: “Mahukah aku buatkan untukmu sebuah mimbar, wahai Rasulullah, yang dapat menyokong atau menampung tubuhmu?” — yakni agar baginda dapat berdiri dengan lebih stabil — maka baginda bersabda: “buatkanlah.” Lalu dibuatkan untuk baginda mimbar yang mempunyai dua anak tangga.

Dalam riwayat al-Sahih disebutkan bahawa mimbar Nabi mempunyai tiga anak tangga. Difahami dari riwayat yang menyebut dua anak tangga, kerana tidak mengira anak tangga tempat baginda duduk.

Hadis ini juga menunjukkan kasih sayang para sahabat kepada Nabi serta keprihatinan mereka terhadap keselesaan baginda.


Cetak  
Wallahu a'lam