Daripada Khaulah binti Thamir (خولة بنت ثامر) katanya, aku mendengar Nabi ﷺ bersabda:
إنَّ الدُّنيا خَضِرةٌ حُلوةٌ وإنَّ رجالًا يَتخوَّضونَ في مالِ اللَّهِ ورسولِهِ بغَيرِ حقٍّ لَهُمُ النَّارُ يومَ القيامةِ
“Sesungguhnya dunia ini hijau indah lagi manis, dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki yang mempermainkan harta Allah dan Rasul-Nya tanpa hak. Maka bagi mereka neraka pada hari kiamat.” (al-Tirmidzi (2374), Ahmad (27124). Sumber: al-Amālī al-Mutlaqah oleh Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī, no. 179)
Khawlah binti Qais al-Ansariyyah (خولة بنت قيس الأنصارية) berkata:
إنَّ رِجَالًا يَتَخَوَّضُونَ في مَالِ اللَّهِ بغيرِ حَقٍّ، فَلَهُمُ النَّارُ يَومَ القِيَامَةِ
“Sesungguhnya ada beberapa orang lelaki yang terlibat menguruskan atau bertindak sewenang-wenangnya dalam harta Allah tanpa hak, maka bagi mereka neraka pada hari kiamat.” (al-Bukhari (3118). Takhrij: Diriwayatkan juga oleh Ahmad (no. 27318), al-Fākihī (الفاكهي) dalam al-Fawā’id (260/500), dan ad-Dāraqutnī dalam al-Ilzāmāt wa at-Tatabbu’ (hlm. 75).
Huraian
Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā menjadikan harta sebagai penerus kehidupan manusia, dengannya tertegaklah urusan agama dan dunia mereka. Allah juga menjelaskan bahawa cara memperoleh dan membelanjakan harta mestilah daripada sumber yang halal dan digunakan pada jalan yang halal lagi disyariatkan.
Dalam hadis ini, Nabi ﷺ memberi peringatan keras kepada sebahagian orang, termasuk para pekerja dan pengurus urusan awam, agar tidak bertindak dalam harta Allah tanpa hak. Hadis ini memaksudkan umum meliputi semua bentuk perbuatan berkaitan harta, sama ada mengumpul dan memperolehnya daripada jalan yang tidak halal, atau membelanjakannya pada tempat yang tidak benar.
Penyandaran harta kepada Allah Ta‘ālā dalam hadis ini merujuk kepada harta rampasan perang (ghanimah) dan baitulmal kaum Muslimin, iaitu harta umum yang dijadikan Allah untuk kemaslahatan mereka. Namun para pegawai, pemerintah dan penguasa sering mengambil daripadanya tanpa hak dan dengan cara yang batil, sama ada mengambil lebih dari yang mereka layak terima atas tugas yang dijalankan, atau memberi kepada orang yang tidak berhak, atau menyalurkannya bukan pada tempat yang sepatutnya.
Nabi ﷺ memberitahu bahawa mereka yang melakukan demikian akan mendapat neraka pada hari kiamat, kecuali mereka bertaubat dan mengembalikan hak kepada pemiliknya.
Ungkapan Baginda ﷺ: “فلَهُمْ النار” (“maka bagi mereka neraka”) menunjukkan cepatnya azab dan dekatnya hukuman bagi mereka yang menyalahgunakan harta secara tidak benar.
Hadis ini juga menjelaskan bahawa harta awam bukanlah tempat untuk berseronok dan bebas menggunakannya bagi sesiapa yang diamanahkan menguruskannya, kerana dia akan dipersoalkan mengenainya pada hari kiamat.
Hadis ini juga menjadi peringatan keras kepada para pemerintah, wakil yang dipertanggungjawabkan dan pemimpin, agar tidak mengambil sedikit pun daripada harta Allah tanpa haknya, dan tidak menahan hak itu daripada orang yang berhak menerimanya.
--------------------
"يَتَخَوَّضُونَ"
Asal makna “الخوض” ialah berjalan di dalam air dan mengerakkannya (المشي في الماء وتحريكه). Kemudian istilah ini digunakan untuk menggambarkan terlibat dalam sesuatu urusan dan bertindak di dalamnya. Maksudnya di sini: Ada orang yang bertindak dan menguruskan harta Allah Ta‘ālā dengan cara yang tidak diredai-Nya.
“التَّخَوُّض” ialah تفعُّل منه. Ada yang menjelaskan maknanya sebagai mencampuradukkan bagi mendapatkan harta dengan cara yang tidak sah, dari mana-mana jalan yang boleh (التخليط في تحصيله من غير وجهه كيف أمكن). (al-Nihayah oleh Ibn Athir 2/88)
Al-Rāghib al-Aṣfahānī رحمه الله dalam al-Mufradat 302 berkata:
“الخَوْضُ ialah masuk ke dalam air dan berjalan di dalamnya. Kemudian istilah ini digunakan secara pinjaman bagi perbuatan manusia dalam urusan-urusan tertentu. Kebanyakan penggunaannya dalam al-Qur’an datang dalam konteks yang tercela, seperti firman Allah Ta‘ālā:
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ
‘Dan sungguh, jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejekanejekan itu), nescaya mereka akan berkata: Sesungguhnya kami hanyalah berbual (tanpa ada maksud) dan bermain-main.” (Surah at-Tawbah, ayat 65).
Yakni, mereka melakukan “الخَوْضُ” dalam perkara batil, terlibat dalam hal yang tidak benar dan melampaui batas.
