Abu Hurairah, ʿUwain bin Saʿidah (عويم بن ساعدة), dan Ibn ʿAbbas RA berkata:
نزلَتْ هذِهِ الآيَةُ في أهلِ قُبَاءَ: فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرينَ
“Ayat ini diturunkan berkenaan dengan penduduk Quba’: “Di dalamnya terdapat orang-orang yang suka membersihkan diri; dan Allah mencintai orang-orang yang membersihkan diri.” (al-Albani dalam Sahih al-Jamiʿ (no. 6760)
Dalam riwayat lain, Abu Hurairah RA berkata:
نزلت هذه الآيةُ في أهلِ قُباءٍ {فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا} الآية، قال: كانوا يَستَنجونَ بالماءِ، فنزلت هذه الآيةُ فيهم
“Ayat ini diturunkan tentang penduduk Quba’, dalam firman Allah: {فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ} “Di dalamnya (Quba’) terdapat orang-orang yang suka membersihkan diri; dan Allah mencintai orang-orang yang bersih.” [At-Taubah: 108] Abu Hurairah berkata: “Mereka adalah orang-orang yang beristinjak (membersihkan diri) dengan air, maka ayat ini diturunkan berkenaan mereka.” (Hadis sahih berdasarkan penilaian Ibn al-‘Arabi dalam ‘Aridhah al-Ahwadzi 6/191. Diriwayatkan oleh Abu Dawud, at-Tirmizi, dan Ibn Majah)
Huraian
Allah ʿAzza wa Jalla memerintahkan orang Islam supaya menjaga kebersihan dan mensyariatkan thaharah (penyucian diri), serta menjanjikan pahala besar bagi mereka yang memeliharanya. Bahkan Allah memuji di dalam kitab-Nya orang-orang yang menjaga dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya, kerana kebersihan merupakan tanda kesempurnaan iman dan kesucian diri.
Antara golongan awal yang mencapai martabat tinggi dalam menjaga kebersihan ialah ahli Masjid Quba’. Dalam hadis ini, Abu Hurairah رضي الله عنه berkata:
“Ayat ini diturunkan tentang penduduk Quba’.”
Quba’ ialah sebuah perkampungan di pinggir Madinah, di bahagian hadapannya bagi mereka yang datang dari arah Makkah. Jaraknya kira-kira dua atau tiga batu (lebih kurang 5 km) dari Madinah. Maka turunlah firman Allah Taala:
فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِين
“Di dalamnya (Quba’) terdapat orang-orang yang suka membersihkan diri; dan Allah mencintai orang-orang yang bersih.” [At-Taubah: 108]
Allah memuji mereka atas sikap menjaga kebersihan dan thaharah. Abu Hurairah رضي الله عنه menjelaskan:
“Mereka beristinjak dengan air,”
Iaitulah mereka menggunakan air untuk menghilangkan najis setelah membuang air kecil atau besar. Nabi ﷺ sendiri amat menjaga kebersihan dan baginda sering menggunakan air. Dalam hadis riwayat Ibn Majah daripada ʿAisyah رضي الله عنها, beliau berkata:
ما رَأيتُ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ خرَجَ من غائطٍ قطُّ إلَّا مَسَّ ماءً
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah ﷺ keluar dari tempat buang air melainkan baginda menyentuh air (yakni baginda beristinjak atau berwuduk dengan air).”
Hadis ini mengandungi galakan menjaga kebersihan dan bersuci dengan air daripada segala kekotoran dan najis. Ia juga menunjukkan kelebihan dan keutamaan penduduk Quba’, serta pujian Allah kepada mereka kerana keprihatinan mereka terhadap urusan thaharah.
