Sebab Uthman Menunaikan Solat Secara Tamam Di Mekah

Daripada ‘Imran bin Husain RA, katanya:

حَجَجْتُ مع رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ فكانَ يصلِّي ركعتينِ، وسافرتُ مع أبي بكرٍ فكانَ يصلِّي ركعتينِ حتى ذهَبَ، وسافرتُ، معَ عمرَ فكانَ يصلِّي ركعتينِ حتى ذهبَ، وسافرتُ معَ عثمانَ فصلَّى ركعتينِ ستَّ سنينَ ثمَّ أتمَّ بمنًى

“Aku telah menunaikan haji bersama Rasulullah , baginda solat dua rakaat. Aku juga telah mengerjakan haji bersama Abu Bakar, beliau solat dua rakaat hingga beliau wafat. Aku juga telah mengerjakan haji bersama Umar, beliau solat dua rakaat hingga beliau wafat. Aku juga telah mengerjakan haji bersama Uthman, beliau solat dua rakaat selama enam tahun, kemudian beliau menyempurnakannya (empat rakaat) di Mina.” (Hadis di nilai sahih oleh al-Nawawi dalam al-Majmū, jilid 4 halaman 334. Takhrij: Diriwayatkan oleh al-Tirmizi (545) secara ringkas, Ahmad (19878) secara panjang, dan al-abarāni (18/209) (515) dengan sedikit perbezaan)

Dalam riwayat lain daripada ‘Imran bin Husain RA:

حججتُ مع رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ، فصلَّى ركعَتين، وحججتُ مع أبي بكرٍ فصلَّى ركعتَينِ، ومع عمرَ فصلَّى ركعتينِ، ومع عثمانَ ستَّ سنينَ من خلافتِه - أو ثمانِ سنينَ - فصلَّى ركعتينِ

“Aku telah menunaikan haji bersama Rasulullah , baginda solat dua rakaat. Aku juga telah menunaikan haji bersama Abu Bakar, beliau solat dua rakaat. Bersama Umar, beliau solat dua rakaat. Bersama Uthman selama enam tahun dari kekhilafahannya — atau lapan tahun — beliau solat dua rakaat.” (Dinilai sahih li Ghairih oleh al-Albani dalam Sahih at-Tirmizi, no. 545. Takhrij: Diriwayatkan oleh al-Tirmizi (545) — lafaz ini daripadanya — dan Ahmad (19878) secara panjang)

Huraian

Islam telah memudahkan urusan manusia dalam banyak perkara ketika wujudnya kesusahan dan kesulitan, antaranya ialah meringankan solat ketika dalam perjalanan (safar) dengan memendekkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat. Safar haji khususnya melibatkan banyak bentuk kepayahan dan pelaksanaan manasik yang memerlukan tenaga, maka lebih utama diberikan keringanan padanya. Para sahabat, terutamanya Khulafā’ ar-Rāshidīn amat berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah .

Pada asalnya Abu Nadrah (أبو نضْرةَ) berkata:

سُئِلَ عِمْرانُ بنُ حُصينٍ عن صَلاةِ المُسافرِ

“Telah ditanya kepada ‘Imran bin Husain tentang solat musafir,”

Ini menunjukkan jawapan Imran bin Husain RA ini adalah tentang hukum qasar solat musafir secara umum, walaupun konteks hadis ini berkaitan dengan perjalanan haji. Maka jawab ‘Imran: “Aku telah menunaikan haji bersama Rasulullah , baginda solat dua rakaat. Bersama Abu Bakar beliau solat dua rakaat. Bersama Umar beliau solat dua rakaat. Bersama Uthman enam tahun dari kekhilafahannya, atau lapan tahun, beliau solat dua rakaat,” yakni mereka menunaikan solat fardu yang empat rakaat secara qasar, dua rakaat bagi setiap solat.

Dalam riwayat al-Tirmizi daripada Abdullah bin Umar r.a. dinyatakan:

ولا يُصلُّون قبْلَها ولا بعْدَها

 “Dan mereka tidak solat sebelum dan selepasnya.”

Iaitu para al-Khulafa’ al-Rasyidin tidak mengerjakan solat sunat sebelum atau selepas solat fardu, begitu juga solat Isyak, kecuali Maghrib yang tetap tiga rakaat dan Subuh dua rakaat, tanpa diqasarkan. Namun ini tidak bermaksud dilarang solat sunat secara mutlak, hanya tidak dilakukan di sekitar waktu solat fardu tersebut berdasarkan pandangan sebahagian ulama. Inilah tuntunan Rasulullah dan Khulafā’ ar-Rāshidīn dalam solat safar, sebagai bentuk keringanan daripada Allah kepada hamba-Nya.

Adapun perbuatan Sayyidina Uthman r.a. yang menunaikan solat empat rakaat, tidak lagi menunaikannya secara qasar pada separuh akhir kekhilafahannya, ia merupakan ijtihad beliau. Tindakan beliau itu adalah kerana umat Islam pada waktu itu semakin ramai dan mereka akan belajar agama daripada para pemimpin dan ulama. Beliau bimbang akan ada yang menyangka solat hanyalah dua rakaat sahaja. Maka beliau menunaikan solat empat rakaat secara tamam tanpa diqasarkan agar orang awam dan arab badwi dapat belajar hukum sebenar solat dan tidak berlaku salah faham dan kekeliruan. Ada juga yang berpendapat bahawa beliau menunaikan solat yang empat rakaat secara tamam kerana beliau telahpun berniat mukim di Mekah dan memiliki hartanya di Taif.


Cetak  
Wallahu a'lam