Keadaan Orang Arab Sebelum Islam Dengan Kelemahan Akal Dan Kerosakan Fitrah

Mahdi bin Maimun (مهدي بن ميمون) berkata:

سَمِعْتُ أبَا رَجَاءٍ العُطَارِدِيَّ يقولُ: كُنَّا نَعْبُدُ الحَجَرَ، فَإِذَا وجَدْنَا حَجَرًا هو أخْيَرُ منه ألْقَيْنَاهُ، وأَخَذْنَا الآخَرَ، فَإِذَا لَمْ نَجِدْ حَجَرًا جَمَعْنَا جُثْوَةً مِن تُرَابٍ، ثُمَّ جِئْنَا بالشَّاةِ فَحَلَبْنَاهُ عليه، ثُمَّ طُفْنَا به، فَإِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَجَبٍ قُلْنَا: مُنَصِّلُ الأسِنَّةِ، فلا نَدَعُ رُمْحًا فيه حَدِيدَةٌ، ولَا سَهْمًا فيه حَدِيدَةٌ؛ إلَّا نَزَعْنَاهُ وأَلْقَيْنَاهُ شَهْرَ رَجَبٍ. وسَمِعْتُ أبَا رَجَاءٍ يقولُ: كُنْتُ يَومَ بُعِثَ النَّبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ غُلَامًا أرْعَى الإبِلَ علَى أهْلِي، فَلَمَّا سَمِعْنَا بخُرُوجِهِ فَرَرْنَا إلى النَّارِ؛ إلى مُسَيْلِمَةَ الكَذَّابِ

“Aku mendengar Abu Raja’ al-‘Uāridī berkata: “Kami dahulu menyembah batu. Apabila kami menemui batu yang lebih baik daripadanya, kami pun membuang batu yang lama dan mengambil yang lain. Jika kami tidak menemui batu, kami akan mengumpulkan segumpal tanah, kemudian kami membawa seekor kambing lalu memerah susunya ke atasnya, kemudian kami bertawaf di sekelilingnya. Apabila masuk bulan Rejab, kami berkata: “Munassīl al-Asinnah (penanggal mata senjata)”, maka kami tidak membiarkan satu pun tombak yang mempunyai mata besi, dan tidak juga satu anak panah yang mempunyai mata besi, melainkan kami menanggalkannya dan membuangnya sepanjang bulan Rejab.” Aku juga mendengar Abu Raja’ berkata: “Aku ketika Nabi diutuskan, masih seorang kanak-kanak yang menggembala unta milik keluargaku. Apabila kami mendengar tentang kemunculan baginda, kami pun melarikan diri ke neraka; iaitu kepada Musailimah al-Kazzab.” (Sahih al-Bukhari / Nombor hadis: 4376. Diriwayatkan juga oleh al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (5/333) dengan lafaz yang hampir sama, al-Darimi (4), dan Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Awliya’ (2/306) dengan lafaz yang hampir sama secara ringkas)

 

Huraian

Allah mengutus Nabi-Nya Muhammad sebagai petunjuk dan rahmat bagi seluruh alam, lalu dengan baginda Allah menyelamatkan para hamba daripada berbagai kegelapan kepada cahaya kebenaran yang satu, dan mengubah keadaan mereka daripada jurang-jurang kesyirikan kepada setinggi-tinggi darjat keimanan.

Hadis ini memperjelaskan keadaan orang Arab sebelum Islam yang dicirikan dengan kelemahan akal dan kerosakan fitrah. Abu Raja’ al-‘Uāridī — yang memeluk Islam pada zaman Nabi namun tidak sempat bertemu baginda — mengkhabarkan bahawa mereka dahulu menyembah berhala daripada batu. Setiap kali mereka menemui batu yang lebih baik daripada yang mereka sembah, mereka meninggalkan yang pertama lalu menyembah batu yang kedua. Jika mereka tidak menemui batu untuk disembah, mereka akan mengumpulkan Juthwah (جُثْوةً مِن تُرابٍ) iaitu segumpal tanah, yakni timbunan tanah (كُومةً مِن تُرابٍ), kemudian mereka membawa seekor kambing dan memerah susunya ke atas tanah itu, lalu mereka bertawaf di sekelilingnya dan menyembahnya.

Mereka juga mengagungkan bulan Rejab, iaitu salah satu daripada bulan-bulan haram atau yang dimuliakan dan diharamkan berperang padanya. Apabila bulan itu masuk, mereka berkata: “Munassīl al-Asinnah”, yakni penanggal mata senjata (مُخرِجُ النَّصْلَ), iaitu besi yang terdapat pada senjata dan tombak. Mereka akan menanggalkannya daripada senjata sebagai pembatalan peperangan dan meninggalkan perang, sebagai pengagungan terhadap bulan Rejab.

Abu Raja’ juga menceritakan bahawa pada hari Nabi diutuskan, beliau masih seorang kanak-kanak kecil yang menggembala unta keluarganya. Dimaksudkan dengan katanya: يَومَ بُعِثَ  atau: “hari baginda diutuskan” ialah hari ketika urusan baginda tersebar dalam kalangan mereka. Apabila mereka mengetahui tentang kemunculan baginda , mereka pun melarikan diri ke neraka; dan beliau menafsirkannya sebagai lari mereka kepada Musailimah al-Kazzab, yakni kepada orang yang kesudahan mengikuti­nya ialah masuk ke dalam neraka. Maka mengikuti Musailimah dan masuk ke neraka adalah satu perkara yang sama. Maksud perkataan beliau: بخُروجِه  atau: “kemunculan baginda” ialah kemunculan baginda sehingga berjaya menguasai kaum baginda Quraisy dengan pembukaan kota Mekah, bukan beliau maksudkan permulaan kemunculan baginda sebagai nabi, dan bukan juga keluarnya baginda dari Mekah ke Madinah, kerana jarak masa yang panjang antara peristiwa-peristiwa itu dengan kemunculan Musailimah. Kisah ini menunjukkan bahawa Abu Raja’ al-‘Uāridī sebelum memeluk Islam termasuk dalam kalangan orang yang membai‘ah Musailimah daripada kalangan kaumnya, Bani ‘Uārid bin ‘Auf bin Ka‘b (عُطارِد بن عَوفِ بنِ كَعبٍ), iaitu satu cabang daripada Bani Tamim.

 


Cetak  
Wallahu a'lam