RAMADAN (رمضان) ialah nama bulan ke sembilan dari bulan-bulan Qamariah ataupun taqwim Hijri. Satu-satunya bulan yang disebutkan namanya secara jelas di dalam al-Quran seperti yang terdapat di dalam surah al-Baqarah ayat 185.
HIKMAH PENSYARIATAN: Mensucikan diri dan membersihkannya bagi penyediaan untuk bertakwa agar layak memperolehi kemuliaan dan kebahagiaan akhirat.
Nabi saw bersabda:
كل عمل ابن آدم له، إلا الصوم فإنه لي، وأنا أجزي به، والصيام جنة، فإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولايصخب، فإن سابه أحد أو قاتله، فليقل إني صائم، إني صائم، والذي نفس محمد بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك؛ للصائم فرحتان يفرحهما: إذا أفطر فرح بفطره، وإذا لقي ربه فرح بصومه
Mafhumnya: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya, melainkan puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Aku yang akan memberi balasan dengannya, puasa itu adalah perisai, maka pada hari yang seseorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia bercakap keji, dan meninggikan suara (seperti orang bodoh). Jika ada seseorang mencelanya atau berkelahi dengannya, maka hendaklah dia mengatakan: “Sesungguhnya aku seorang yang berpuasa.” Demi zat yang jiwa Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah berbanding bau Kasturi. Bagi orang yang berpuasa itu pula dua kegembiraan, iaitulah ketika dia berbuka, dia bergembira dengan berbuka puasa, dan ketika bertemu dengan Tuhannya dia bergembira dengan puasa yang ditunaikannya.” (Lafaz ini adalah berdasarkan riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat lain di sisi al-Bukhari juga:
يترك طعامه وشرابه وشهوته من أجلي، الصيام لي وأنا أجزي به، والحسنة بعشر أمثالها
Mafhumnya: “Dia (orang yang berpuasa itu) meninggalkan makanan, minuman dan syahwatnya kerana-Ku, puasa itu untuk-Ku, dan Aku yang akan memberi balasan terhadapnya, dan sesuatu kebaikan setanding dengan 10 kebaikan yang seumpamanya.”
Di dalam riwayat Muslim pula:
كل عمل ابن آدم يضاعف، الحسنة عشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف، قال الله تعالى: إلا الصوم، فإنه لي وأنا أجزي به، يدع شهوته وطعامه من أجلي؛ للصائم فرحتان: فرحة عند فطره، وفرحة عند لقاء ربه، ولخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك
Mafhumnya: “Setiap amalan anak Adam akan digandakan. Sesuatu kebaikan setanding dengan 10 kebaikan yang seumpamanya, sehingga ia akan digandakan sebanyak 700 gandaan. Allah SWT berfirman: “Melainkan puasa, sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Aku yang akan memberi balasan untuknya. Seseorang yang berpuasa itu meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan. Kegembiraan ketika berbuka, dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah berbanding bau kasturi.”
Daripada Suhail bin Sa’ad ra, daripada Nabi SAW yang bersabda:
إن في الجنة باباً يقال له الريان، يدخل منه الصائمون يوم القيامة، لايدخل منه احد غيرهم، فإذا دخلوا أغلق فلم يدخل منه أحد
Mafhumnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang bernama al-Rayyan, yang akan masuk darinya pada hari kiamat orang-orang yang berpuasa, tidak akan masuk darinya seorang selain dari orang-orang yang berpuasa, apabila mereka masuk darinya, pintu itu ditutup, dan tidak ada seorang lain lagi yang akan masuk.”
Daripada Abu Sa’id al-Khudriy ra, rasulullah saw bersabda:
ما من عبد يصوم يوماً في سبيل الله تعالى إلا باعد الله بذلك اليوم وجهه عن النار سبعين خريفاً
Mafhumnya: “Tiada seseorang hamba yang berpuasa sehari pada jalan Allah, melainkan Allah akan jauhkan wajahnya dengan sebab hari tersebut dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan.” (al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah ra, rasululah saw bersabda:
الصلوات الخمس والجمعة إلى الجمعة ورمضان إلى رمضان مكفرات مابينهن إذا اجتنبت الكبائر
Mafhumnya: “Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan merupakan penghapus dosa antara keduanya, jika pelakunya menjauhi dosa besar.” (Muslim)
Daripada Sahl bin Sa’ad ra, rasulullah saw bersabda:
لايزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Mafhumnya: “Senantiasalah manusia itu berada dalam kebaikan, selama-mana mereka bersegera berbuka puasa (apabila masuk waktunya).” (al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه
Mafhumnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta, dan melakukan perbuatan yang dilarang, maka tiada makna di sisi Allah dari dia meninggalkan makanan dan minumannya.”
Daripada Anas bin Malik ra katanya:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفطر قبل أن يصلي على رُطبات فإن لم تكن رطبات فتمرات فإن لم تكن تمرات حسى حسوات من ماء
Mafhumnya: “Dahulunya Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum baginda menunaikan solat (Maghrib) dengan beberapa butir buah Rutob, jika tiada Rutob, baginda akan berbuka dengan beberapa butir Tamar, jika tiada, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” (Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi)
DOA SETELAH BERBUKA PUASA
Daripada Ibn ‘Umar ra katanya, Rasulullah saw apabila berbuka akan membaca:
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَ ابْتَلَّتِ الْعُرُوْقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ
Mafhumnya: “Telah hilang dahaga, dan telah basah urat tekak, dan semoga memperolehi pahala, insyaAllah.” (Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)
PAHALA ORANG YANG MEMBERI MAKAN ORANG BERBUKA
Nabi saw bersabda:
من فطر صائما كان له مثل أجره ، غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Mafhumnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, untuknya pahala seperti orang yang berpuasa, dan tidak dikurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.” (Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi)
GALAKAN BERSAHUR
Bersahur ialah makan dan minum pada penghujung malam kerana niat berpuasa.
Nabi SAW bersabda:
فصل ما بين صيامنا وصيام أهل الكتاب أكلة السحور
Mafhumnya: “Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan puasa Ahli Kitab adalah dengan makan sahur.” (Muslim)
تسحروا فإن في السحور بركة
Mafhumnya: “Bersahurlah kamu semua,kerana sesungguhnya pada sahur itu adanya keberkatan.” (Muslim)
WAKTU SAHUR
Zaid bin Thabit ra berkata:
تسحرنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ثم قام إلى الصلاة، فقلت: كم كان بين الأذان والسحور؟ قال: قدر خمسين آية
Mafhumnya: “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW, setelah bersahur baginda bangun untuk menunaikan solat. Saya bertanya: Berapa jarak di antara azan dan sahur? Beliau menjawab: dalam kadar 50 ayat (al-Quran).” (al-Bukhari)