Soalan:
Salam ust, heboh kebelakangan ini berkaitan mengambil berkat dengan rambut Nabi SAW. Ada ustaz yang mendakwa Sayyidina Khalid bin al-Walid memperolehi kemenangan dalam semua peperangan kerana rambut Nabi SAW yang diselitkannya di dalam serban? Benarkah cerita ini? Mohon penjelasan dari Ustaz.
Jawapan:
Pertama: Tidak dinafikan, para sahabat sememangnya ada mengambil berkat dari rambut Nabi SAW, bahkan dari wudhu baginda juga dan lain-lain lagi. Perkara ini dibolehkan sehinggalah ke hari kiamat, itupun jika dapat dipastikan rambut tersebut benar-benar dari Nabi SAW, ini persoalannya, siapakah yang dapat memberi jaminan tersebut?
Kerana itu DR. Nasir al-Jadii’ di dalam bukunya al-Tabarruk, Anwa’uhu wa Ahkamuhu. 256-260 berkata:
“Mustahil dapat dipastikan apa-apa barang peninggalan yang dinisbahkan kepada Nabi SAW yang ada pada hari ini, bahkan kebanyakannya (peninggalan-peinggalan dari Nabi seperti rambut dan lain-lain) telah lenyap sekian lama sama ada disebabkan hilang, atau disebabkan beberapa peperangan dan fitnah yang berlaku. Apa-apa yang didakwa oleh sebahagian Negara akan adanya beberapa helai rambut Nabi SAW yang dipelihara, diletakkan dihotel-hotel di dalam bekas-bekas yang dibalut dengan sutera, dipamer dan diadakan sambutan setahun sekali, semua ini memerlukan (usaha) penthabitan. Perkara ini amat sukar.”
Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-ALbani pula di dalam bukunya al-Tawassul hal: 146 berkata:
“Dan kita sedia maklum bahawa peninggalan-peninggalan Rasul SAW terdiri dari baju, rambut dan perkara-perkara lain telah hilang. Dan bukan kemampuan seseorang untuk dapat memastikan kewujudan sesuatu dari peninggalan-peninggalan tersebut secara pasti dan yakin.”
Kedua: Adapun berkaitan cerita yang mendakwa Sayyidina Khalid bin al-Walid menyelitkan rambut Nabi SAW di dalam serban atau kopiahnya adalah berdasarkan riwayat, antaranya:
Bahawa Khalid bin al-Walid pernah kehilangan kopiahnya (Qalansuah) pada hari peperangan Yarmouk, lalu beliau berkata:
اطلبوها، فوجدوها فإذا هي قلنسوة خلقة، فقال خالد: اعتمر رسول اللَّه صلّى اللَّه عليه وسلم فحلق رأسه فابتدر الناس جوانب شعره، قال: فسبقتهم إلى ناصيته، فلم أشهد قتالا وهي معي إلا رزقت النصر.
Maksudnya: “Carikannya (kopiah yang hilang itu), setelah itu mereka menjumpainya, iatulah sebuah kopiah yang telah lusuh. Lalu Khalid berkata: “Rasulullah SAW pernah melaksanakan umrah, lalu baginda mencukur rambut baginda, menyebabkan orang ramai bersegera mendapatkan rambut baginda.” Kata beliau: “Daku mendahului mereka semua dan mengambil rambut baginda bahagian hadapan. Dan belum pernah daku menyertai peperangan dalam keadaan rambut itu bersama dengan aku melainkan aku direzekikan kemenangan.”
Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim di dalam Dala’il Abi Nu’aim, Bab Sya’r al-Rasul al-Maujud fi Qalansuah Khalid hadis bilangan 367. al-Hakim juga menyebut riwayat ini di dalam al-Mustadrak 3/338-339, Kitab Ma’rifah al-Sahabah, Zikr Manaqib Khalid bin al-Walid RA, hadis bil: 5299. al-Hafidz al-Zahabi berkata di dalam al-Talkhis: "(Sanad hadis ini) Munqati’ (tergolong dalam hadis dhoief)".
Selain itu, kisah yang sama diriwayatkan juga oleh al-Hafidz Ibn Hajar di dalam al-Matolib al-‘Aliah daripada Khalid bin al-Walid yang berkata:
اعتمرنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في عمرة اعتمرها فحلق شعره، فسبقت إلى الناصية، فاتخذت قلنسوة فجعلتها في مقدمة القلنسوة، فما وجهت في وجهة إلا فتح لي
Maksudnya: “Kami pernah menunaikan umrah bersama Rasulullah SAW dalam salah satu umrah baginda. Maka ketika baginda mencukur rambut, aku mendahului orang lain mengambil rambut bahagian ubun-ubun baginda. Aku selitkan rambut itu di bahagian hadapan qalansuah (kopiah), dan tidaklah aku menyertai mana-mana peperangan melainkan dikurniakan kemenangan kepadaku.”
Al-Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad Zuqail berkata:
“Khabar ini tidak thabit. Ia diriwayatkan oleh al-Hakim 3/299 dan beliau menilainya sebagai Sahih, dan khabar ini dikritik oleh al-Zahabi dengan katanya: “Munqati’ (sanadnya terputus). Iaitulah terputus di antara Jaafar bin ‘Abdullah bin al-Hakam bin Rafi’ dan Khalid al-Walid, di mana Jaafar tidak sempat bertemu dengan Khalid bin al-Walid RA.
Diriwayatkan juga oleh al-Tabaraniy di dalam al-Kabir (4/104, bil: 3804), al-Haithami berkata di dalam al-Majma’: "Diriwayatkan oleh al-Tabaraniy seumpamanya, dan Abu Ya’la, dan rijal mereka berdua adalah rijal yang Sahih. Jaafar telah mendengar dari sekumpulan sahabat, tetapi saya tidak ketahui apakah dia mendengar dari Khalid ataupun tidak.”
Seterusnya syeikh al-Zuqail menyambung:
“Dan yang hairannya, pentahkik kepada kitab Siyar A’lam al-Nubala’ (1/375) tidak menukilkan I’lal (hukuman illah atau hukuman wujud kecacatan pada sanad) dari al-Zahabi bagi hadis ini ketikamana dia (pentahkik) melakukan takhrijnya di bahagian Hasyiah, sekalipun beliau mengaitkannya kepada al-Hakim, dan hanya berpada dengan nukilan daripada al-Busyiriy dengan katanya: "Diriwayatkan oleh Abu Yaala dengan Sanad yang Sahih."
Al-Syeikh Sa’ad Ali Humaid berkata di dalam Tahkiknya kepada Mukhtasar al-Mustadrak oleh Ibn al-Mulaqqin (4/1954):
“Hadis ini didiamkan oleh al-Hakim. Al-Zahabi pula menganggapnya ber’illah (bermasalah) dengan inqita’ (jaluran sanad terputus), kerana jaafar bin Abdullah bin al-Hakam bin Rafi’ bin Sinan al-Ansoriy tidak mendengar dari Khalid bin al-Walid. Seperti yang jelas dari pengenalan kepadanya di dalam al-Tahzib (2/99, bil: 147), di mana Khalid bin al-Walid RA meninggal dunia ketika pemerintahan ‘Umar RA seperti yang terdapat di dalam al-Isobah (2/256). Adapun Jaafar pula tidak meriwayatkan melainkan dari kalangan sahabat-sahabat yang lewat atau terkemudian seperti Anas RA, dan Sighar sahabah seperti Mahmud bin Lubaid. Kerana itu al-Zahabiy menghukum riwayatnya sebagai inqita’ (terputus), beliau pula (al-Zahabi) merupakan rujukan penting bagi mengenali sejarah para periwayat, dan tidak saya dapati ada yang berbeza dengannya.”