SDI 1191: Jawapan Bin Sahak Kontra Dengan Ustaz Azhar Idrus Tentang Sambut Maulid?

Soalan:

Apa pandangan ustaz dengan jawapan di bawah:

KISAH ABU LAHAB DIRINGANKAN AZAB KERANA SAMBUT KELAHIRAN NABI SAW

SOALAN :

Saya ada terbaca dalam satu artikel menyebut kisah Abu Lahab didalam neraka dia diberikan keringanan kerana pernah bersedekah kerana menyambut kelahiran Nabi Muhammad.

Adakah kisah ini sahih?

JAWAPAN :

Kisah ini adalah sahih.

Telah diriwayatkan daripada Ummu Habibah binti Abu Sufyan r.a. katanya Urwah bin Zubair r.a. telah berkata :

وثُوَيْبَةُ مَوْلَاةٌ لأبِي لَهَبٍ: كانَ أبو لَهَبٍ أعْتَقَهَا، فأرْضَعَتِ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فَلَمَّا مَاتَ أبو لَهَبٍ أُرِيَهُ بَعْضُ أهْلِهِ بشَرِّ حِيبَةٍ، قالَ له: مَاذَا لَقِيتَ؟ قالَ أبو لَهَبٍ: لَمْ ألْقَ بَعْدَكُمْ غيرَ أنِّي سُقِيتُ في هذِه بعَتَاقَتي ثُوَيْبَةَ.

Artinya : “Dan Tsuwaibah itu ialah bekas hamba bagi Abu Lahab dan adalah Abu Lahab telah memerdekakannya. Maka Tsuwaibah telah menyusukan Nabi saw. Maka ketika mati Abu Lahab telah diperlihatkan akan sebahagian keluarganya akan Abu Lahab di dalam mimpi. Berkata ia kepada Abu Lahab : Apakah (kebaikkan) yang kamu dapat? Jawab Abu Lahab : Aku tidak mendapati suatu apa (kebaikkan) selepas aku meninggalkan kamu sekelian melainkan sungguhnya aku diberi minum sekadar ini (titik air di hujung jari) dengan sebab aku memerdekakan Tsuwaibah.”

Kisah ini telah dikeluarkan oleh Imam Bukhari didalam Sahihnya : hadith bernombor 5101.

Tsuwaibah ialah hamba yang telah dimerdekakan oleh Abu Lahab kerana Abu Lahab sangat gembira apabila mendengar berita yang dibawa oleh Tsuwaibah yaitu kelahiran Nabi saw.

Terbut pada Kitab Madarij As-Su’ud :

وأرضعته صلى الله عليه وسلم أمه أياما ثم أرضعته ثويبة الأسلمية التى أعتقها أبو لهب والصحيح ان أبالهب أعتقها فى الحال عتقا منجزاثم جعلها ترضعه صلى الله عليه وسلم فخفف الله عنه من عذابه كل ليلة اثنين جزاء لفرحه فيها بمولده صلى الله عليه وسلم أوجزاء لامره لها بارضاعه صلى الله عليه وسلم

Artinya : “Nabi saw telah disusukan oleh bondanya beberapa hari kemudian menyusukannya pula oleh Tsuwaibah Al-Aslamiyah yang telah dimerdekakan oleh Abu Lahab. Dan yang sahih sungguhnya Abu Lahab telah memerdekakannya pada ketika itu juga sebagai merdeka penuh jadilah ia menyusukan Nabi saw lalu Allah memberi ringan daripada Abu Lahab akan azab pada setiap hari isnin sebagai balasan kegembiraannya padanya dengan kelahiran Nabi saw atau balasan kerana perintahnya bagi Tsuwaibah supaya menyusukan Nabi saw.”

Berkata Imam Zarqani :

وَقَدْ رُوِيَ أَنَّ أَبَا لَهَبٍ رُؤِيَ بَعْدَ مَوْتِهِ فِي النَّوْمِ ، فَقِيْلَ لَهُ : مَا حَالُكَ ، فَقَالَ فِي النَّارِ ، إِلَّا أَنَّهُ يُخَفَّفُ عَنِّيْ كُلَّ لَيْلَةِ اثْنَيْنِ وَأَمُصُّ مِنْ بَيْنَ أَصْبُعِيْ مَاءً بِقَدْرِ هَذَا – وَأَشَارَ إِلَى نُقْرَةِ إِبْهَامِهِ – وَأَنَّ ذَلِكَ بِإِعْتَاقِيْ لِثُوَيْبَةَ عِنْدَمَا بَشَّرَتْنِيْ بِوِلَادَةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبِإِرْضَاعِهَا لَهُ

Artinya : “Maka sungguhnya telah diriwayatkan bahawa Abu Lahab dilihatkan selepas kematiannya di dalam tidur lalu dikatakan kepada Abu Lahab : Bagaimana keadaan kamu? Jawab Abu Lahab : Di dalam neraka melainkan bahawa diberi ringan ke atasku setiap hari isnin dan aku mengisap di antara dua jariku akan air sekadar ini sahaja sambal menunjukkan ibu jarinya. Dan adalah yang demikian itu ialah sebab aku memerdekakan Tsuwaibah ketika diberitahu khabar gembira buatku dengan kelahiran Muhammad saw dan dengan sebab menyusukan Tsuwaibah akan Nabi saw.” (Sharah al-Mawahib al-Ladunniyyah)

Telah berkata As-Suhaili dan lainnya :

إن الرائي له هو أخوه العباس وكان ذلك بعد سنة من وفاة أبي لهب بعد وقعة بدر ، وفيه أن أبا لهب قال للعباس : إنه ليخفف علي في مثل يوم الاثنين قالوا : لأنه لما بشرته ثويبة بميلاد ابن أخيه محمد بن عبد الله أعتقها من ساعته فجوزي بذلك لذلك

Artinya : “Bahawasanya lelaki keluarga Abu Lahab yang melihat di dalam mimpi itu ialah Al-Abbas. Adalah kejadian itu setahun selepas kematian Abu Lahab di Badar. Dan didalam mimpi itu Abu Lahab berkata kepada Al-Abbas sungguhnya diringankan ke atasku pada setiap hari isnin. Berkata mereka itu : Yang demikian itu adalah kerana pada ketika Tsuwaibah membawa khabar gembira kepada Abu Abu Lahab tentang kelahiran Nabi saw anak Abdullah lalu Abu Abu Lahab memerdekakan Tsuwaibah pada saat itu juga lalu dibalas yang demikian itu sebab memerdekakannya itu.”

Maka pengajaran yang dapat diambil dari kisah ini ialah apabila seorang musuh Nabi yang paling benci kepada dakwah Nabi pun diberi balasan kerana gembira menyambut kelahiran Nabi maka bayangkanlah balasan yang akan diberikan kepada umat Islam diseluruh dunia yang sayangkan Nabi yang memperingati Nabi saw pada hari kelahirannya.

Berkata Imam Al-Hafiz Syamsudin bin Nasirudin Ad-Dimasyqi :

قد صح أن أبا لهب يخفف عنه عذاب النار في مثل يوم الاثنين لإعتاقه ثويبة سرورا بميلاد النبي صلى الله عليه وسلم ثم أنشد:
إذا كان هذا كافرا جاء ذمه * وتبت يداه في الجحيم مخلدا
أتى أنه في يوم الاثنين دائما * يخفف عنه للسرور بأحمدا
فما الظن بالعبد الذي طول عمره * بأحمد مسرورا ومات موحدا

Artinya : “Sungguhnya telah sah bahawa Abu Lahab diringankan darinya azab neraka pada setiap hari isnin kerana dia memerdekakan Tsuwaibah kerana sangat gembira dengan hari kelahiran Nabi saw kemudian beliau bernasyid :

Apabila adalah Abu Lahab yang kafir ini yang datang celaannya dalam Quran menyebut kecelakaan dua tangannya yang kekal dia di dalam neraka jahim.

Berlaku kepadanya setiap hari isnin selamanya diringankan darinya azab kerana kegembiraannya dengan Nabi Muhammad.

Maka apakah sangkaan kamu dengan hamba-hamba yang sepanjang umurnya gembira dengan Nabi saw yang mati ia dialam iman.” (Kitab Maurid As-Shodi Fi Maulid Al-Hadi)

wallahua’lam
ustaz azhar idrus

Jawapan:

Ada beberapa point yang saya setuju dengan jawapan Ustaz Azhar Idrus. Ada juga beberapa perkara yang saya berbeza dengan jawapan Ustaz Azhar Idrus:

1. Riwayat tersebut bukan hadis atau perkataan Nabi SAW. Bukan juga mimpi baginda. Sebaliknya mimpi dari salah seorang ahli keluarga Abu Lahab. Mimpi tersebut berdasarkan riwayat alBukhari adalah daripada riwayat 'Urwah bin alZubair yang merupakan seorang tabi'ien, bukan seorang sahabat. Justeru dari sudut periwayatan riwayat ini Mursal, kerana 'Urwah tidak menyebut siapa yang menceritakan kepadanya.

2. Dalam riwayat tidak dinyatakan Abu Lahab diberikan setitik air kerana menyambut maulid. Kesimpulan ini datang dari Ustaz Azhar Idrus kerana mengambil maklumat dari pihak yang mempertahankan sambutan khusus sempena maulid. Berdasarkan zahir riwayat menyebut, kerana Abu Lahab memerdekakan Thuwaibah, yang juga telah menyusukan Nabi SAW.

3. Ada riwayat yang membuktikan yang bermimpi itu adalah al'Abbas seperti dalam jawapan awal saya (dalam Whatsapp Group Fekah Bersama Ustaz). Hal ini berdasarkan pernyataan alSuhaili yang mengatakan al'Abbas RA pernah berkata:

لما مات أبو لهب رأيته في منامي بعد حول في شر حال فقال : ما لقيت بعدكم راحة , إلا أن العذاب يخفف عني كل يوم اثنين , قال: وذلك أن النبي صلى الله عليه وسلم ولد يوم الاثنين , وكانت ثويبة بشرت أبا لهب بمولده فأعتقها 

Maksudnya: "Ketikamana Abu Lahab mati, aku melihatnya di dalam mimpiku selepas setahun (kematiannya) berada dalam keadaan yang buruk dan dia berkata: "Tidak aku dapati kerehatan setelah meninggalkan kamu semua, melainkan azab yang dikenakan ke atas aku diringankan sedikit pada setiap hari Isnin." Katanya: "Demikian itu kerana Nabi SAW dilahirkan pada hari Isnin dan Thuwaibah telah memberi khabar gembira kepadanya dengan kelahiran Nabi SAW, lalu dia memerdekahkan Thuwaibah."

al'Abbas memeluk Islam berdasarkan pandangan Ibn 'Abd alBarr dalam kitabnya alIsti'ab, sebelum pembukaan Khaibar pada tahun ke-7 Hijriyyah dan beliau menyembunyikan keislamannya. Beliau menzahirkan islamnya pada peristiwa Fath Mekah, tahun 8 Hijriyyah. Manakala Abu Lahab mati beberapa hari selepas peperangan Badar yang berlaku pada tahun ke-2 Hijriyyah. Ini bermakna mimpi al'Abbas itu dilihatnya ketika beliau masih seorang kafir. Persoalan: apakah mimpi seorang yang masih kafir boleh menjadi hujah dan dijadikan sandaran dalam amalan agama???

Kerana itu, pandangan yang lebih jelas dan kuat dalam persoalan ini pada pandangan saya ialah, tiada anjuran khusus menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW. Kerana itu jawapan awal saya berbunyi:

"Ada riwayat hal itu, jika ia sahih sekalipun , ia hanya berupa mimpi salah seorang ahli keluarga Abu Lahab sebaik sahaja Abu Lahat mati. Dikatakan mimpi itu adalah mimpi al'Abbas RA."

Di dalam mimpi itu Abu Lahab hanya diberi minum setitis air di hujung jarinya kerana memerdekakan Thuwaibah, hambanya. 

Namun mimpi sebegini tidak boleh dijadikan hujjah untuk membuat hari khusus sambutan kelahiran Nabi, kerana jika benar ada kelebihannya, sudah tentu Nabi SAW akan memberi tahu kepada kita kelebihan menyambut hari lahir baginda.

Apabila nabi SAW tidak pernah menyuruh atau menyatakan kelebihan menyambut hari lahir baginda, maka ia menunjukkan tiada sebarang kelebihan melakukannya."


Cetak  
Wallahu a'lam