Hukum Muzik Termasuk Dalam Khilaf Yang Muktabar (3): Respon Bin Sahak kepada Ustaz Dar Al-Kutawi

 
Saya mengira status "nota penting" kepada Dato' Mufti dari Ustaz Dar Al-Kutawi (UDK) telah selesai. Di mana nota penting itu tidak kena sasarannya dan tidak ada keperluannya langsung. Kerana apa yang UDK "notakan" tak kena dengan apa yang Dato' Mufti "statuskan". Inilah tujuan asal status saya sebelum ini yang kemudiannya direspon oleh UDK. Mudah-mudahan dikurniakan keikhlasan kepada saya dan UDK.
 
Di bawah ini jawapan saya kepada beberapa perkara yang dibangkitkan oleh UDK:
 
1. Keberadaan Ibrahim bin Sa'ad sebagai seorang thiqah yang gemar berlagu seperti yang saya sebut sebelum ini adalah kenyataan daripada al-Imam alZahabi di dalam kitabnya Siyar A'lam alNubala. Kitab alSiyar ini antara kitab terakhir beliau. Ia memiliki keistimewaan-keistimewaan tersendiri berbanding kitab-kitab tarajim yang lain. Antara keistimewaan yang ada ialah pada ta'qib dan ta'lik oleh alZahabi terhadap Akhbar, Athar dan hadis dengan kritikan yang banyak jika ianya tidak sahih. Dalam persoalan Ibrahim bin Sa'ad menyanyi ini alZahabi berkata sebagai ta’liq daripada beliau:
قلت
yang bermaksud: "Aku katakan" tanpa sebarang pengingkaran. Saya datangkan perkataan beliau di sini:
 
قلت : كان ممن يترخص في الغناء على عادة أهل المدينة ، وكأنه ليم في ذلك ، فانزعج على المحدثين ، وحلف أنه لا يحدث حتى يغني قبله ، فيما قيل.
 
Maksudnya: “Aku katakan, adalah beliau (Ibrahim bin Sa’ad) dari kalangan mereka yang membolehkan berlagu berdasarkan kebiasaan penduduk Madinah. Dan beliau seperti dipandang rendah kerana perkara itu dan menjadikan para muhaddith tidak selesa. Beliau juga mengatakan bahawa beliau tidak akan menyampaikan hadis sehinggalah seseorang menyanyi sebelumnya, berdasarkan apa yang dikatakan.”
 
Saya tekankan bahawa saya berkeyakinan persoalan menyanyi adalah persoalan yang mana para ulama berbeza pandangan. Perbezaan yang ada adalah muktabar. Justeru sesiapa yang mengharamkan lagu dan nyanyian, maka dia berhak dengan pandangannya itu. Demikian juga sesiapa yang berpegang dengan pandangan keharusan lagu dan nyanyian, dia juga berhak dengan pandangannya itu. Kedua-dua pandangan ini dinukilkan dari para ulama salaf. oleh itu janganlah menjadikan perbezaan dalam masalah seperti ini untuk menjatuhkan orang itu dan orang ini.
 
Oleh itu fokus saya dalam nukilan-nukilan yang dibuat dalam tulisan ini adalah kepada wujudnya ulama yang thiqah lagi alim yang berlagu dan menyanyi. Adapun pengingkaran ulama lain terhadap nyanyian suatu yang biasa dalam persoalan khilaf. Dalam isu talak tiga dalam satu lafaz sahaja, al-Qadhi Abu Bakr Ibn al-'Arabi nak menyembelih mereka yang berbeza dengannya yang mengatakan tidak jatuh tiga. Harap boleh faham.
 
2. Suka berlagunya Ibrahim bin Sa'ad ini kata alZahabi adalah sepertimana kebiasaan ahli madinah. Di dalam ta’liq al-Zahabi ini beliau ithbathkan dua perkara:
 
i) Ibrahim bin Sa’ad seorang yang suka menyanyi.
ii) menyanyi itu adalah kebiasaan penduduk Madinah.
 
Saya tekankan sekali lagi, kenyataan ini disebut oleh alZahabi tanpa sebarang ta'aqqub sepertimana yang biasa beliau lakukan pada riwayat yang tidak sahih. Kerana itu saya amat-amat sangsi, apakah alZahabi yang mudah termakan dengan kononnya “khabar angin” seperti dakwaan UDK atau bagaimana?
 
Lebih pelik “khabar angin” yang didakwa oleh UDK ini, beliau sendiri mengiktirafnya sebagai mazhab (pandangan) Ahli Madinah yang diminta ditinggalkan oleh al-Imam al-Auza’ie. Ini satu pertentangan yang amat jelas dalam respon UDK. 
 
Sebenarnya nukilan Ibrahim bin Sa'ad suka berlagu adalah suatu yang masyhur. Kata alHafidz alZabidi tentang Ibrahim bin Sa'ad di dalam Ithaf alSadah alMuttaqin 6/455, maksudnya:
 
“Beliau (Ibrahim bin Sa’ad) adalah salah seorang syeikh (guru al-Imam) al-Syafi’ie, beliau menyanyi dan mendengar nyanyian adalah perkara yang masyhur daripadanya. Tiada yang brrbeza nukilan dalam perkara ini. Para fuqahaa' menghikayatkan hal ini di dalam kitab-kitab mereka. Mereka berbeza pandangan dengan beliau. AlSyafi'e menghikayatkan di dalam kitabnya (perkara ini) dan telah bersepakat ahli sejarah menisbahkan (pandangan boleh berlagu) tersebut kepada beliau. Beliau juga tidak akan memperdengarkan hadis kepada para pelajarnya sehingga terlebih dahulu beliau memperdengarkan kepada mereka lagu sebagai nasyid dan kecergasan.”
 
3. Perlu diingat bahawa para muhadithin membezakan riwayat yang disandarkan kepada Nabi SAW dengan riwayat yang disandatkan kepada selain baginda. Bahkan muhaddith membezakan juga antara riwayat dari baginda dalam persoalan akidah dan hukum-hakam dengan riwayat dalam persoalan adab dan kelebihan. Malangnya apabila ada pihak yang tidak meneliti sudut ini.
 
Lihatlah alKhatib alBaghdadi dalam kitabnya alJami' Li Akhlaq alRawi Wa Adab alSami', terdapat bab yang beliau nyatakan sebagai:
 
ما لا يفتقر كتْبُه إلى إسناد
 
Maksudnya: "Apa-apa yang tidak memerlukan penulisannya kepada Isnad"
 
Antara yang dinyatakan oleh al-Khatib ialah:
 
وأما أخبار الصالحين ، وحكايات الزهاد والمتعبدين ، ومواعظ البلغاء ، وحكم الأدباء = فالأسانيد زينة لها ، وليست شرطا في تأديتها
 
Maksudnya: "Dan adapun perkhabaran-perkhabaran orang soleh, hikayat-hikayat para zahid dan ahli ibadah, peringatan-peringatan, kata-kata hikmah, maka Isnad-isnad adalah perhiasan kepadanya, bukan satu syarat dalam menyampaikannya."
 
Timbul masalah dan kekalutan apabila sebahagian orang tidak membezakan perkara ini. Lalu mereka menyaring kesemua maklumat sejarah berdasarkan saringan ulama hadis. Hasilnya tertolak dan menjadi dusta lagi palsulah sejumlah besar khazanah sejarah umat Islam.
 
Mereka tidak mencontohi ulama Muhaqqiq. Lihatlah Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam al-Fath, beliau menolak riwayat Muhammad bin Ishak dengan ‘an-’an yang tidak dijelaskan secara al-Tahdith (التحديث), demikian juga dengan riwayat al-Waqidiy yang seorang Matruk di sisi ulama al-Jarh wa al-Ta’dil. Namun beliau menjadikan riwayat-riwayat mereka sebagai syawahid dan dalil dalam perincian-perincian sejarah. Ini menunjukkan bukan semua yang ditolak dalam periwayat hadis nabawi ditolak juga dalam sirah, bukan semua yang tidak diterima riwayatnya di dalam persoalan hukum-hakam, ditolak juga di dalam sirah. Di dalam Tabaqaat al-Mudallisin ketika memberi komentar tenttang Muhammad bin Ishak, al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:
 
“Beliau Imam di dalam al-Maghazi, seorang Saduq dan melakukan tadlis."
 
Tentang al-Waqdiiy belaiu berkata di dalam al-Taqrib: “seorang yang Matruk, dalam masa yang sama seorang yang luas ilmunya.”
 
Tentang Saif bin ‘Umar al-Tamimiy, di dalam Taqrib al-Tahzib Ibn Hajar berkata: “Seorang Dhoief dalam hadis, Umdah (sandaran utama) di dalam al-Tarikh.”
 
Inilah jalan yang ditempoh oleh para muhaqqiqin ulama seperti Ibn Hajar. Kerana itu jangan pelik apabila al-Zahabi tidak melakukan sebarang ta’qib kepada riwayat Ibrahim bin Sa’ad mendengar nyanyian sepertimana kebiasaan penduduk Madinah. Yang sepatut dihairankan apabila orang hari ini mencampur-adukkan saringan nukilan antara ilmu yang berbeza yang seteruskan akan membawa kepada memusnahkan khazanah ilmu yang besar umat Islam. Jika sebegini cara menerima semua maklumat, maka tertolak dan menjadi palsulah antaranya riwayat al-Imam al-Bukhari sampai ke Baghdad, lalu para ulama hadis di Baghdad berkumpul kepadanya dan menterbalikkan 100 sanad dan matan hadis sebagai menguji hafalan beliau. Ada beranikah UDK atau syeikh ikutan beliau untuk mengkritik riwayat ini?
 
4. Isu menyanyi dan mendengar muzik adalah isu khilaf yang muktabar dalam kalangan ulama. Buatkan penjelasan jika anda mengatakan ia haram, jawablah hujah orang yang berbeza dengan anda dengan baik. Insyaallah saya juga akan membuat penjelasan untuk membuktikan ia harus. Tak perlulah disentuh perkara-perkara yang tidak ada keperluan dan sampingan sehingga membantah perkara yang tidak dimaksudkan.

Cetak  
Wallahu a'lam