Soalan:
Benarkan Al-quran Menolak Bumi Ini Bulat?
Jawapan:
- Al-Quran tidak pernah menolak bentuk bumi ini bulat bahkan al-Quran mensabitkannya bentuk bumi yang kebulatan.
- Cumanya, ketika al-Quran berbicara dengan manusia pada nisbah mereka berada di dunia, al-Quran akan menggunakan ungkapan yang boleh difahami oleh manusia berdasarkan apa yang jelas pada pemerhatian mereka di dunia. Seperti contoh firman Allah SWT:
أَفَلا يَنظُرُونَ إِلَى الإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ، وَإِلَى السَّمَاء كَيْفَ رُفِعَتْ، وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ، وَإِلَى الأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ
Maksudnya: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan, dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?” (al-Ghathiah: 17 – 21)
Ayat seperti ini berbicara kepada manusia menurut apa yang mereka dapat lihat dari kedudukan mereka di bumi. Menurut pemerhatian manusia dari arah bumi, jelas kelihatan bumi itu suatu yang terhampar dan terbentang luas di hadapannya dan bukan berbentuk bulat.
- Bentuk bumi yang bulat hanya dapat diperhatikan jika manusia berada di ruang angkasa dan melihat ke bumi. Kerana itu ketika al-Quran berbicara berkaitan alam keseluruhannya, bicara dan ungkapannya berbeza pula. Perhatikan ayat ini:
خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ بِالْحَقِّ يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِي لأَجَلٍ مُسَمًّى أَلا هُوَ الْعَزِيزُ الْغَفَّارُ
Maksudnya: “Dia (Allah) telah menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar; Dia yang menggulungkan malam atas (menggantikan) siang dan menggulungkan siang atas (menggantikan) malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berlegar menurut waktu yang ditentukan. Ingatlah Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (al-Zumar: 5)
Perhatikan ungkapan yukawwir yang diterjemahkan sebagai menggulungkan di dalam ayat ini. Ia jelas mengisyaratkan bumi ini berbentuk kebulatan. Kerana tiada sesuatu yang boleh digulung di atasnya melainkan ia berbentuk kebulatan. Penggunaan perkataan kawwara – yukawwiru dalam bahasa Arab antara kegunaannya seperti كّوَّرَ العَمَامَة yang merujuk perbuatan membelit atau menggulung serban di atas kepala. Kata Ibn ‘Uthaimin RH:
“Bumi itu berbentuk kebulatan dengan petunjuk-petunjuk al-Quran, realiti dan perkataan ulama. Adapun petunjuk al-Quran, firman Allah Taala: يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ (yang bermaksud) Dia (Allah) telah menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar; “Dia yang menggulungkan malam atas (menggantikan) siang dan menggulung siang atas (menggantikan) malam…” di mana (kalimah) al-Takwir ialah “menjadikan sesuatu seperti bergulung” seperti perkataan: كور العمامة yang bermaksud “menggulungkan serban (di atas kepala)”. Satu perkara yang sedia dimaklumi iaitulah malam dan siang itu silih berganti ke atas bumi ini. Ini menunjukkan bumi ini berbentuk kebulatan, kerana jika anda menggulungkan sesuatu di atas sesuatu yang lain. Maka bumi itulah yang digulung di atasnya (waktu malam dan siang), maka wajib bumi yang digulung di atasnya (malam dan siang) berbentuk kebulatan… para ulama juga berkata: “jika seseorang yang berada di timur meninggal dunia ketika tenggelam matahari. Manakala seorang lagi meninggal dunia ketika matahari terbenam dan dia berada di barat. Mereka berdua pula berada dalam jarak yang jauh. Maka yang meinggal dunia di barat ketika matahari tenggelam mewarisi harta orang yang meninggal dunia di timur ketika matahari terbenam jika mereka berdua adalah saling mewarisi harta (kerana orang yang berada di timur lebih awal melihat matahari tenggelam berbanding yang berada di barat). Ini menunjukkan (para ulama menyedari) bumi ini berbentuk kebulatan. Kalaulah bumi ini berbentuk terhampar semestinya tenggelam matahari dari semua sudut bumi berlaku pada waktu yang sama. Oleh itu tidak mungkin seseorang dapat mengingkari perkara ini ” (Fatwa Nur ‘Ala al-Darb)
Demikian juga pada terjemahan yang berbunyi: “Masing-masing (planet) itu berjalan menurut waktu yang telah ditentukan.” Dalam ayat lain: وكل في فلك يسبحون dan setiap satu di falak, semuanya berlegar.” Maka bagaimana bumi ini bergerak jika ia terhampar dan bukan bulat?
Selain itu, bentuk bumi yang bulat dapat dibuktikan lagi dari penggunaan kalimah dalam bentuk plural bagi mengisyaratkan arah. Seperti firman Allah SWT:
رب المشارق والمغارب
Maksudnya: “Tuhan kepada semua arah timur dan semua arah barat.” Di mana berbilang arah barat dan timur ini tidak terhasil melainkan terhadap sesuatu yang berbentuk bulat bukan mendatar.
- Nabi SAW menggunakan ungkapan “tergelincir matahari” ketika menerangkan waktu solat Zohor. Di mana tidak dikatakan tergelincir melainkan ia berupa isyarat kepada adanya pergerakan matahari ketika terbit menuju ke atas, kemudian turun atau tergelincir, yang mengisyaratkan bentuk bumi yang sfera bukan mendatar. Baginda SAW bersabda:
فصلى بي الظهرَ حين زالت الشمسُ
Maksudnya: “Dan Jibril mengimamkan aku solat Zohor ketika tergelincir matahari.”
PERKATAAN PARA ULAMA BERKAITAN MAKNA TERGELINCIR MATAHARI
Ketika menghuraikan maksud “tergelincir matahari”, di dalam hadis di atas:
- Ibn Qudamah RH berkata:
وَمَعْنَى زَوَالِ الشَّمْسِ: مَيْلُهَا عَنْ كَبِدِ السَّمَاءِ؛ وَيُعْرَفُ ذَلِكَ بِطُولِ ظِلِّ الشَّخْصِ بَعْدَ تَنَاهِي قِصَرِهِ؛ فَمَنْ أَرَادَ مَعْرِفَةَ ذَلِكَ فَلْيُقَدِّرْ ظِلَّ الشَّمْسِ، ثُمَّ يَصْبِرْ قَلِيلًا، ثُمَّ يُقَدِّرْهُ ثَانِيًا، فَإِنْ كَانَ دُونَ الْأَوَّلِ فَلَمْ تَزُلْ، وَإِنْ زَادَ وَلَمْ يَنْقُصْ فَقَدْ زَالَتْ
Maksudnya: “Makna tergelincir matahari iailah condong (bergerak menurun ke bawah) matahari dari sebelumnya berada di tengah langit…”
- al-Nawawi RH (W676H) berkata:
الزَّوَالُ هُوَ مَيْلُ الشَّمْسِ عَنْ كَبِدِ السَّمَاءِ بَعْدَ انْتِصَافِ النَّهَارِ؛ وَعَلَامَتُهُ: زِيَادَةُ الظِّلِّ بَعْدَ تَنَاهِي نُقْصَانه؛ وَذَلِكَ أَنَّ ظِلَّ الشَّخْصِ يَكُونُ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ طَوِيلًا مُمْتَدًّا، فَكُلَّمَا ارْتَفَعَتِ الشَّمْسُ نَقَصَ، فَإِذَا انْتَصَفَ النَّهَارُ وَقَفَ الظِّلُّ، فَإِذَا زَالَتِ الشَّمْسُ عَادَ الظِّلُّ إِلَى الزِّيَادَةِ، فَإِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَعْلَمَ هَلْ زَالَتْ؟ فَانْصِبْ عَصًا أَوْ غَيْرَهَا فِي الشَّمْسِ عَلَى أَرْضٍ مُسْتَوِيَةٍ وَعَلِّمْ عَلَى طَرْفِ ظِلِّهَا ثُمَّ رَاقِبْهُ؛ فَإِنْ نَقَصَ الظِّلُّ عَلِمْتَ أَنَّ الشَّمْسَ لَمْ تَزُلْ، وَلَا تَزَالُ تُرَاقِبُهُ حَتَّى يَزِيدَ؛ فَمَتَى زَادَ عَلِمْتَ الزَّوَالَ
Maksudnya: “waktu tergelincir ialah condong matahari (bergerak menurun ke bawah) setelah berada di tengah-tengah langit selepas waktu rembang. Tandanya iailah apabila bayang sesuatu telah berhenti dari berlaku pengurangannya. Demikian itu terjadi kerana bayang sesuatu pada awal hari adalah panjang. ketika mana matahari (bergerak) naik meninggi (dari arah timur), (bayang-bayang) semakin berkurangan. Bayang-bayang yang semakin berkurangan itu akan berhenti pergerakannya apabila waktu rembang (kerana matahari berada di tengah langit). Apabila matahari mula tergelincir (bergerak menurun ke arah barat), bayang-bayang akan kembali bertambah (ke sebelah timur)…”
PENYAKSIAN DARI ULAMA TENTANG BENTUK BUMI YANG SFERA
- Ibn Hazm RH (W456H/1064M) di dalam kitabnya al-Fasl Fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal 2/78 berkata:
“Para ulama telah menyatakan bahawa bukti-bukti telah tertegak menunjukkan bumi ini berbentuk kebulatan. Manakala orang awam mengatakan sebaliknya. Jawapan kami dengan kami mengharapkan taufiq dari Allah Taala bahawa tiada seorangpun dari kalangan imam umat Islam yang berhak dijadikan ikutan dalam ilmu mengingkari Takwir al-Ardh (malam dan siang menggulung bumi). Tidak diketahui satu kalimah bantahanpun dari seorang dari kalangan mereka. Bahkan bukti-bukti dari al-Quran dan al-Sunnah menunjukkan kebulatannya…”
- Fakhr al-Din al-Razi RH (W606H) di dalam Mafatih al-Ghaib ketika menafsirkan firman Allah SWT:
وَهُوَ الَّذِي مَدَّ الْأَرْضَ
Maksudnya: “Dialah tuhan yang membentang bumi…”
kata al-Razi:
“(ungkapan) al-Madd adalah al-Basth (hamparan) yang tidak diketahui atau diketemui penghujungnya. Firman-Nya: “Dialah tuhan yang membentang bumi…” mendatangkan kefahaman bahawa Dia (Allah) telah menjadikan bumi ini dengan saiz yang besar sehingga mata tidak dapat melihat penghujungnya. Ini kerana sekiranya bumi ini bersaiz kecil tidak dapatlah diambil manfaat dengannya. Dan bentuk bumi yang bulat apabila ia benar-benar bersaiz besar, maka setiap sudut bumi menampakkan ia seperti terhampar.”
- Ibn Taimiyyah RH (W728H) di dalam Majmu’ al-fatawa 25/195 berkata:
وأجمعوا على أن الأرض بجميع حركاتها من البر والبحر مثل الكرة ويدل عليه أن الشمس والقمر والكواكب لا يوجد طلوعها وغروبها على جميع من في نواحي الأرض في وقت واحد بل على المشرق قبل المغرب
Maksudnya: “Dan para ulama telah bersepakat bahawa bumi dengan seluruh pergerakannya terdiri dari daratan dan lautan adalah seperti bulatan. Buktinya ialah matahari, bulan dan bintang-bintang tidak timbul dan tenggelam di seluruh penjuru bumi yang berbeza pada satu waktu, bahkan semuanya bermula dari timur sebelum barat.”