Bolehkah NGO Guna Sumbangan Palestin Untuk Tujuan Lain?

Soalan:

Ustaz, bolehkah NGO yang mengutip sumbangan orang ramai untuk rakyat Palestin menggunakan wang sumbangan untuk kos pengurusan?

Jawapan:

InsyaAllah sumbangan orang ramai yang diserahkan kepada NGO-NGO tertentu sampai kepada masyarakat islam di Palestin. Cuma di bawah ini beberapa nasihat agar sumbangan tersebut diuruskan sebaik mungkin dan dielakkan dari ia digunakan lari dari tujuan asal kutipan.

  • NGO yang menghimpunkan sumbangan untuk Palestin atau lainnya, jika wang yang diterima adalah dari sumber zakat, TIDAK BOLEH digunakan untuk kos pengurusan. Hal ini kerana wang zakat WAJIB diserahkan kepada asnaf yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan NGO bukan asnaf tersebut. NGO yang tidak dilantik sebagai amil oleh pemerintah, tidak boleh menjadi amil dengan sendirinya. Maka NGO bukan amil yang berhak mengambil bahagian zakat. Bahkan NGO adalah berfungsi sebagai wakil. Maka seorang wakil adalah seorang yang memegang amanah dari pihak pengeluar zakat. Wajib ke atas mereka menyerahkan kesemua zakat yang terkumpul kepada asnaf yang telah ditetapkan di dalam al-Quran.

Kata al-Imam al-Nawawi RH:

قال الشافعي والأصحاب رحمهم الله: إن كان مُفرِّق الزكاة هو المالك أو وكيله سقط نصيب العامل، ووجب صرفها إلى الأصناف السبعة الباقين إن وُجدوا، وإلا فالموجود منهم

Maksudnya: “Kata al-Syafi‘ie dan al-Ashab RH: Jika dia seorang yang mengagihkan zakat adalah pemilik asal wang tersebut atau wakilnya, maka gugur bahagian ‘amil (tiada bahagian amil dari harta zakat tersebut) dan wajib diserahkan kepada tujuh lagi asnaf yang baki jika ada. Jika tiada diserahkan kepada asnaf yang ada dari kalangan mereka.” (al-Majmu’ 6/185)

Kenyataan ini menunjukkan pemilik harta atau wakilnya bukan amil yang berhak mengambil bahagian zakat.

  • Jika wang yang dihimpunkan bukan dari sumber zakat, sebaliknya merupakan wang sumbangan orang ramai yang mewakilkan mereka atau mereka sendiri secara suka-rela menjadi wakil untuk menyalurkan sumbangan kepada pihak yang memerlukan, seperti rakyat Palestin, maka asal akad wakalah, seorang wakil WAJIB bertindak terhadap perkara yang diwakilkan kepada mereka berdasarkan keizinan pihak yang memberi wakil, iaitulah penyumbang. Jika sumbangan yang dikutip untuk rakyat Palestin, maka wajib wang tersebut disalurkan kepada rakyat Palestin, tidak boleh disalurkan ke jalan lain seperti membina bangunan untuk NGO dan seumpamanya. Selain itu, seorang wakil boleh menggunakan wang sumbangan menurut maslahah dalam hendak melaksanakan amanah tersebut. Wang tersebut tidak boleh digunakan untuk perkara yang lari dari tujuan asal sumbangan. Wang tersebut hendaklah digunakan dengan berhati-hati, jika tidak, berlakulah pengkhianatan terhadap amanah orang ramai.

Di dalam fatwa al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami Li Rabitah al-‘Alam al-Islami dinyatakan:

السؤال الثاني: هل يعطى القائمون بالعمل نسبة من الدخل، لا تزيد عن 15%، لغرض المعيشة، ومتابعة العمل؟

... قرر المجلس بالنسبة للسؤال الثاني ما يلي: أنه لا مانع من أخذ نسبة معينة، إلا أنه يرى ألا تحدد تلك النسبة، وإنما تكون أجرة المثل، أو أقل من أجرة المثل، وتدفع لهم بقدر عملهم، لأن هذا المال إنما هو لإعانة المنكوبين، وإغاثة الملهوفين، فلا يجوز صرفه إلا لمن بذل من أجله، واتصف بالوصف الذي بذل هذا المال من أجل الاتصاف به .وأما العامل عليه فإنه يعطى مقدار عمله، كما جاز ذلك في الأخذ من الزكاة المفروضة للعاملين عليها. وذلك بعد التأكد من أنه لا يوجد أشخاص- يمكن أن يقوموا بهذا العمل- متبرعين. كما أنه بناء على ما تقدم فإنه لابد من أن يقدر القائمون على أمر الجمعيات والمؤسسات الإسلامية حاجة أولئك العاملين إلى المال المذكور ولا يوكل ذلك إليهم أنفسهم. و يحدد ذلك من قبل مجالس الإدارة في الجمعيات والمؤسسات الإسلامية أو من قبل الجمعيات العمومية لها حسب نظام تلك الجمعيات.  

Maksudnya:  

Soalan: Apakah boleh diberikan kepada mereka yang melaksanakan kerja sesuatu nisbah dari sumbangan tidak lebih dari 15% untuk menampung kehidupan dan keberlangsungan kerja?

Jawapan: “tiada halangan dari mengambil nisbah tertentu (untuk itu), cumanya tidak perlu ditetapkan nisbah seperti itu (15%) sebaliknya ia menurut upah yang sepadan (dengan kerja yang dilakukan) atau kurang dari upah sepadan. Maka upah berdasarkan kerja yang dilakukan oleh mereka. Ini kerana harta yang dihimpun tersebut hanyalah untuk membantu golongan yang ditimpa musibah dan dizalimi. Maka sumbangan tersebut tidak boleh digunakan melainkan mestilah diserahkan kepada pihak yang dimaksudkan dengan sumbangan tersebut, dan pihak yang memiliki ciri-ciri tujuan sumbangan tersebut dilakukan. adapun untuk petugas atau pelaksananya, boleh diberikan upah berdasarkan kerja yang dilakukannya sepertimana telah diharuskan amil zakat mengambil bahagian zakat. Upah kepada petugas itu juga diambil setelah dipastikan tiada individu-individu lain yang bersedia melakukan kerja amal tersebut secara suka-rela. Demikian juga, hendaklah pihak bertanggungjawab ke atas NGO menentukan keperluan petugas terhadap upah dari wang yang dinyatakan. Tidak boleh serahkan kepada petugas sendiri untuk menentukan keperluan mereka. Penentuan itu dilakukan oleh badan pentadbiran NGO atau dari badan am berdasarkan peraturan yang sedia ada.”   (Mausu‘ah al-Qadhaya al-Fiqhiyyah al-Mu‘asirah wa al-Iqtisad al-islami, hal. 56-57. al-Ustaz Dr. ‘Ali Ahmad al-Salus. Cetakan ketujuh, Maktabah Dar al-Quran, Mesir dan Dar al-Thaqafah, Doha, Qatar)


Cetak  
Wallahu a'lam