Anak Tak Sah Taraf Di'bin'kan Kepada Bapanya (6)

Hadis alWalad Li alFirasyh: Menasabkan Anak Zina Kepada Bapa Bailoginya BUKAN Amalan Jahiliyyah
 
'Aisyah RA berkata:
 
Sa’d ibn Abi Waqqash dan Abd bin Zam’ah berebut seorang anak. Sa’d berkata: "Wahai Rasulallah, anak ini adalah anak saudaraku ‘Utbah ibn Abi Waqqash, dia sampaikan kepadaku bahwasanya ia adalah anaknya, lihatlah miripnya." ‘Abd ibn Zam’ah juga berkata: “Anak ini saudaraku wahai Rasulullah, ia lahir dari hamba (firasy) ayahku." Lalu Rasulullah SAW melihat rupa anak tersebut dan baginda melihat mirip yang jelas dengan ‘Utbah, lalu Rasul bersabda: “Anak ini saudaramu wahai ‘Abd ibn Zum’ah. Anak itu adalah milik Sahib firash perempuan yang melahirkan (firasy) dan bagi pezina, dia tidak memperolehi apa-apa hak dari anak tersebut, dan berhijablah darinya wahai Saudah Binti Zam’ah." Aisyah berkata: "ia (anak itu) tidak pernah melihat Saudah sama sekali." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
 
Hadis lain yang diriwayatkan oleh 'Amr bin Syu'aib daripada bapanya daripada datuknya yang berkata:
 
"(satu hari) bangun seorang lelaki dan berkata: "wahai Rasulullah, anak itu adalah anakku, aku telah berzina dengannya ketika jahiliyyah." Sabda Rasulullah SAW: "Tiada dakwaan (anak hasil zina dengan wanita yang dimiliki) di dalam Islam, tiada lagi cara jahiliyyah. Anak itu adalah milik suami wanita tersebut, penzina itu tìdak memiliki apa-apa."
 
Dua hadis ini perlu difahami sebaik mungkin. Agar tidak berlaku salah faham yang akhirnya membawa seseorang mencela para ulama Salaf dalam kalangan Tabi'ien dan Atba' alTabi'ien. Semata-mata menasabkan anak tak sah taraf kepada bapa biologi BUKANLAH amalan jahiliyyah, seperti yang didakwan oleh sebahagian pihak.
 
Bagaimana boleh dikatakan amalan Jahiliyyah? Sedangkan inilah pandangan 'Urwah bin alZubair (anak saudara 'Aisyah isteri Nabi SAW) Sulaiman bin Yasar (salah seorang dari tujuh orang pakar rujuk di Madinah), alHasan alBasri, alNakha'ie demikian juga pandangan Imam Abu Hanifah.
 
Amalan jahiliyyah yang ditolak dan dibatalkan oleh Nabi SAW, bukanlah amalan menasabkan anak kepada bapa zinanya semata-mata. Bahkan yang ditolak dan dibatalkan itu adalah perbuatan orang Arab jahiliyyah yang menasabkan anak yang dilahirkan kepada penzina sekalipun wanita yang melahirkan anak tersebut memiliki suami ataupun dimiliki oleh seseorang tuan (kes klasik perhambaan).
 
Arab jahiliah dahulu-kala mengambil dan menyimpan para hamba, mereka mengenakan bayaran ke atas para hamba tersebut, ini menjadi sebab para hamba yang mereka miliki itu melacurkan diri untuk mendapatkan bayaran. Apabila seseorg anak dilahirkan, anak itu akan dinasab dan diserahkan kepada lelaki yang mengaku berzina dengan hamba tersebut.
 
Ibn Hajar alAsqalani RH ketika mensyarahkan hadis alWaladu Li alFirash, antara yang dinyatakan oleh beliau ialah: "Kata alKhattabi, alQadhi 'Iyadh dan alQurtubi:
 
Maksudnya: "Dahulunya orang-orang jahiliyyah, menjaga para hamba dan mereka mengenakan ke atas hamba-hamba tersebut beberapa bayaran, menjadikan para hamba itu bekerja dengan melakukan zina. Lalu mereka (orang-orang jahiliyyah) menasabkan anak yang dilahirkan oleh para hamba kepada lelaki yang berzina apabila dia mendakwa anak itu anaknya sama seperti dinasabkan seorang anak melalui pernikahan. Zam'ah dahulunya memiliki seorang hamba, namun 'Utbah pernah berzina dengannya, apabila hamba itu hamil, 'Utbah bin Abi Waqqas merasakan kandungan itu adalah anaknya, lalu dia ceritakan kepada saudaranya Sa'ad bin Abi Waqqas untuk menasabkan anak itu kepadanya. Maka 'Abd bin Zam'ah mempertikaikannya, Sa'ad berkata: "Anak itu anak saudaraku" kerana menurut kebiasaan arab jahiliyyah (yang menasabkan bayi yang dilahirkan oleh hamba kepada lelaki yang mengaku berzina dengannya). Manakala 'Abd pula berkata: "Anak itu adalah adikku", kerana menurut peraturan Islam. Lalu Nabi SAW membatalkan hukum Jahiliyyah, baginda menasabkan anak itu kepada Zam'ah..."
 
Oleh itu, dinyatakan sekali lagi bahawa persoalan anak zina dinasabkan kepada bapa biologinya atau ibunya adalah persoalan khilafiah. Ramai ulama semasa yg memilih pandangan boleh menasabkan anak zina kepada bapa biologinya.
 
Kata Dr 'Adil Musa 'Iwadh:
 
"Kadang-kala ada wanita yang tergelincir sehingga melakukan kesalahan zina sehingga hamil anak di luar nikah. Maka kepada siapakah anak luar nikah ini hendak dibinkan? Jika wanita yang terlanjur ini seorang isteri kepada lelaki lain atau ia dimiliki oleh seseorang tuan (kes klasik), kemudian dia melahirkan anak, maka anak itu tidak diserahkan kepada bapa zinanya sekalipun bapa zina itu membuat tuntutan, dan anak itu juga tidak dinasab (dibinkan) kepada bapa zinanya. Sebaliknya anak itu dinasabkan kepada suami ibunya (yang sah), sekalipun sianak tidak serupa warna kulit dan rupa-parasnya dengan bapanya, anak itu tidak ternafi dari bapanya dengan tuntutan bapa zinanya, melainkan jika bapanya (suami ibunya) membuat penafian dengan melakukan li'an. Oleh itu aku berpandangan boleh menasabkan anak zina kepada bapanya yang anak itu dilahirkan dari benihnya, apabila sibapa mengakui dan menyatakannya, dan apabila ibunya tidak bersuami. Ini kerana, pandangan ini dapat menutup (keaiban) dua penzina (bapa dan ibunya) dan dapat mendorong mereka untuk bertaubat dan tetap di atas agama, demikian juga menggalakkan silelaki yang berzina mengahwini wanita yang berzina dengannya dan menjadikan perempuan itu dapat memelihara dirinya, dapat menutup (aib) keluarga perempuan, dan anaknya. Padanya terdapat cara penyelesaian bagi permasalahan anak-anak yang dilahirkan dari hubungan zina, sehingga mereka tidak merasakan yang mereka dilahirkan dalam keadaan haram dan diliputi kegelapan, agar mereka tidak berasa tertekan dan dizalimi kesan dari perkara yang menimpa mereka. Mereka membesar dalam suasana pembesaran yang baik bersama kawan-kawan lain yang dilahirkan melalui pernikahan yang sah, mereka memiliki keluarga dan berusaha menjaga nama baik keluarga, menjaga ketinggian dan kemuliaan keluarga. Sesunggunya telah diriwayatkan dariopada Abu Hanifah RH yang berkata:
 
"Apabila seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan sehingga hamil. Tidak mengapa lelaki itu berkahwin dengan perempuan tersebut yang sedang hamil, dan menutup malu perempuan tersebut. Anak yang dilahirkan itu adalah anaknya." (Kertas kajian di dalam Nadwah Athar Mutaghaiyirat alAsr Fi Ahkam alHadanah, alMajma' alFiqhi al-Islamiy Rabithah alAlami alIslamiy)
 

Cetak  
Wallahu a'lam