Soalan:
Ust mohon ulas komen oleh Zulkifli Zakaria ttg mahar Fatimah kena ikut nilai harga kambing yg boleh dibeli dgn 480 dirham di zaman Nabi. Ini komennya: Adalah lebih baik jika 480 dirham dinilai apa yg boleh dibeli pada zaman tersebut i.e. berapa ekor kambing?. Kemudian nilaikan semula harga kambing2 tersebut pada hari ini. Ini adalah disebabkan harga emas dan perak ditekan pada masa sekarang supaya wang kertas (riba) terus diterima. Maaf jika saya terkhilaf dalam pandangan ini. Tujuannya ialah utk mendapat nilaian yg sebenar bukan utk merendahkan sesiapa.
Jawapan:
Dr Syarif Hatim alAwniy antara yang meletakkan nilai mahar Saidatuna Fatimah binti Rasulillah mengikut nilai Perak semasa. Namun jika ditanya berapakah harga seekor kambing di zaman Rasulullah SAW?
Maka saya jawab:
Untuk mengetahuinya kita perlu lihat nisab zakat bagi kambing. Para ulama semasa, antara mereka ialah Dr Muhammad Syawqi alFanjari (محمد شوقي الفنجري) menyatakan nisab zakat, sama ada zakat ternakan, zakat emas dan perak adalah menurut had (perbelanjaan) yang cukup bagi sebuah keluarga selama setahun. Maka nisab emas adalah apabila mencecah 20 mithqal. Nisab Perak 200 Dirham dan nisab kambing ialah apabila mencecah 40 ekor.
Kesemua nisab ini, sama dari sudut nilai, iaitulah nilai yang cukup untuk menampung keluarga selama setahun. Dalam ertikata lain 40 ekor kambing adalah sama dengan 200 dirham Perak. Ini menunjukkan harga seekor kambing di zaman Nabi SAW adalah sebanyak 5 Dirham. (Lihat Majalah alYamamah alSa'udiah. Bil: 802/ 8 Syaaban 1404H)
Namun terdapat hadis riwayat Imam Bukhari yang dapat difahami harga seekor kambing di zaman Nabi SAW ialah 10 Dirham. Hadis tersebut ialah:
من بلغت عنده من الإبل صدقة الجذعة ، وليست عنده جذعة ، وعنده حقة - فإنها تقبل منه ومعها شاتان ، أو عشرين درهم
Maksudnya: "Sesiapa yang memiliki unta sehingga sampai wajib zakat seekor Jaza'ah, namun dia tidak memiliki seekor Jaza'ah, dia hanya memiliki seekor Hiqqah, maka diterima seekor Hiqqah darinya bersama dua ekor kambing atau 20 Dirham."
Perkataan Nabi SAW: "...dua ekor kambing atau 20 Dirham." dapat difahami harga seekor kambing di zaman baginda SAW adalah 10 Dirham.
Kembali kepada soalan saudara Zulkifli Zakaria, maka 480 dirham mampu membeli sebanyak 48 ekor kambing. Jika harga kambing hari ini antara 600 - 700 seekor, maka jumlahnya ialah:
48 × 700 = RM33,600
Jumlah ini tidak mungkin nilai mahar Fatimah binti Rasulullah, ia sudah tentu bertentangan dengan anjuran Islam supaya memudahkan perkahwinan.