Bila kita sebut tentang ekstrem, dalam bahasa Arab ada beberapa perkataan yang merujuk kepada ekstrem, antaranya ghulu, tatharruf, al-‘Unf, alTasyaddud dan seumpamanya. Walaupun ada perbezaan sedikit tetapi semuanya merujuk kepada مجاوزة الحد tindakan yang melampaui batas dari yang sebenarnya. Itu ekstrem.
Ekstrem ada di mana-mana, jika ditanya bagaimana menhadapai pemikiran ekstrem, maka wallahu a’lam, caranya ialah antaranya dengan melaksanakan nasihat sesama orang Islam, sepertimana yang diperintahkan oleh Nabi SAW الدين النصيحة agama itu nasihat, iaitulah kita perlu ada kemurnian jiwa, iaitulah kita hendakkan kebaikan untuk orang lain sepertimana kita hendakkan kebaikan untuk diri kita.
Maka jika kita dapati kawan kita ada berfikir dan bertindak secara ekstrem, maka tanggungjawab kita adalah menasihatinya dan mengendurkan dia. Ini kerana Islam itu sentiasa wasat atau wasatiah, ia sentiasa pertengahan dan terbaik, sentiasa di antara dua sisi, ifrat dan tafrit. Inilah agama Islam dan inilah pemikiran ahli sunnah wal jamaah. Kita akan dapati pemikiran ahli sunnah pertengahan antara dua pemikiran, antara pemikiran melampau dan satu lagi pemikiran cuai. Itu ahli sunnah wal jamaah.
Apabila kita sedar yang kita perlu memberi nasihat sesama umat Islam, maka antara perkara yang perlu kita beri perhatian terutamanya orang-orang agama, iaitulah kita perlu berdakwah secara tawazun atau keseimbangan. Di dalam al-Quran, Allah SWT apabila menceritakan tentang nikmat syurga, maka akan datang selepasnya cerita tentang azab neraka. Di dalam surah al-Naba’, Allah mencerita tentang neraka jahanam beberapa ayat إن جهنم كانت مرصادا، للطاغين مئابا، لا يذوقون فيها بردا ولا شراب، إلا حميما وغساقا..., setelah itu menceritakan tentang syurga beberapa ayat إن للمتقين مفازا، حدائق وأعنابا، وكواعب أترابا، وكأسا دهاقا Cerita tentang neraka, kemudian cerita tentang syurga. Demikian juga Nabi SAW ada menyebut tentang nikmat syurga, ada juga cerita tentang neraka. Semua ini menunjukkan manusia ini perlukan keseimbangan.
Kalau tidak seimbang, hatta dalam bab memahami agama, maka kita akan terpesong. Cuba lihat mengapa boleh timbul pemikiran khawarij yang ekstrem? Jawapannya kerana mereka terlalu memberi fokus kepada ayat-ayat azab, lalu bagaimana yang halang manusia dari melanggar tegahan Allah? Jawapannya kena beri ancaman berat. Lalu membawa mereka kepada kefahaman sesiapa yang melakukan dosa besar, hukumnya kafir. Perkara ini berlaku kerana mengabaikan keseimbangan.
Di pihak lain timbul pula murjiah yang berpandangan, seorang beriman yang melakukan apa-apa dosa sekalipun, iman mereka setaraf dengan iman Abu Bakar al-Siddiq dan Umar RA. Pemikiran ini juga berlaku kerana mengabaikan keseimbangan. Mereka hanya memberi fokus kepada ayat tentang keampunan Allah, keluasan rahmat Allah. Akhirnya melahirkan golongan yang beranggapan melakukan dosa dan maksiat bagaimanapun tidak menjejaskan iman.
Kerana itu para ustaz, pada saya, perlu ambil perhatian berkaitan keseimbangan ini. Kalau kita melihat masyarakat terlalu longgar dalam berpegang dengan agama. Maka tidak patut kita banyak bercerita tentang ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis tentang keampunan. Sebaliknya kita kena ketengahkan ayat dan hadis tentang azab. Demikianlah jika kita melihat masyarat terlalu keras dan ketat dalam beramal. Peranan para pendakwah perlu ketengahkan ayat al-Quran dan hadis berkaitan keampunan dan rahmat. Tujuannya supaya kefahaman masyarakat seimbang.
Hari ini, kita lihat sebahagian umat Islam ada kecenderungan mewujudkan pendekatan ghulu dan melampau terhadap Nabi SAW. Sehingga di ketengahkan sekarang ini pandangan yang menyatakan selawat ke atas Nabi SAW tidak memerlukan ikhlas dan boleh riak. Ada juga pelajar-pelajar agama yang mengatakan selawat kepada Nabi SAW itu lebih mulia daripada Istighfar. Ini antara perkara yang berlaku kerana tiada keseimbangan. Sepatutnya apabila kita hendak ajak masyarakat berselawat ke atas Nabi SAW, dalam masa yang sama perlu terangkan juga berkaitan zikir-zikir lain yang disyariatkan di dalam Islam. Bahkan al-Imam al-Syafie RH menyatakan zikir yang paling afdhal secara itlaq adalah membaca al-Quran seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’.
Tiba-tiba hari ini orang mendakwa mengikut dan sayang kepada Imam Syafie membuat dakwaan yang berbeza sehingga menyatakan zikir yang paling afdhal adalah selawat ke atas Nabi, sedangkan di dalam al-Quran terdapat bukti yang menunjukkan sebaliknya. Allah SWT berfirman: وبالأسحارهم يستغفرون “(Ahli syurga itu) dahulunya pada waktu sahur mereka sering beristighfar.” Menunjukkan beristighfar pada waktu sahur merupakan zikir yang paling afdhal berbanding selawat.
Kita perlukan ilmu dan penjelasan yang benar. Selawat ke atas Nabi SAW itu di mana tempat dan kedudukan yang paling afdhal, istigahfar pula di mana kedudukan dan waktu yang paling afdhal dan demikianlah zikir-zikir yang lain.
Tetapi apabila ada golongan yang membawa pendekatan ekstrem dalam memuliakan Nabi, timbullah masalah-masalah yang lain.
Dalam isu selawat tidak perlu kepada ikhlas dan boleh riak, perkataan-perkataan ini saya tidak nafikan ada dinyatakan oleh beberapa fuqaha’, seperti al-Qalyubi di dalam hasyiahnya. Tetapi ulama dan fuqaha bukan al-Qalyubi seorang sahaja. Ramai lagi ulama dan fuqaha yang membantah pandangan al-Qalyubi itu. Mereka juga memberi alasan-alasan yang kuat. Antara alasan tersebut iaitulah dengan kalilmah tauhid, yang lebih mulia dan utama berbanding selawat. Seseorang tidak boleh masuk ke dalam Islam dengan mengucapkan selawat. Sebaliknya untuk masuk ke dalam Islam mesti dengan dua kalimah syahadah. Jika kalimah syahadah yang diucapkan secara nifaq atau berpura-pura, apakah islamnya diterima di sisi Allah? Jawapannya tidak diterima! Bukti tidak diterima syahadah yang tidak ikhlas ialah dengan wujudnya golongan munafiq. Jika kalimah yang lebih mulia dan besar berbanding selawat ini memerlukan niat yang betul. Apakah boleh diterima selawat tidak memerlukan niat yang betul? Perkara ini mustahil. Bahkan selawat juga memerlukan niat yang betul untuk memperolehi pahala dari Allah SWT. Kerana itu kita akan dapati ramai ulama yang menolak pandangan yang kata selawat tak perlu kepada ikhlas termasuk ulama-ulama sufi.
Jadi ada dua perkara yang saya tekankan. Pertama nasihat sesama orang Islam dan keduanya perlunya keseimbangan dalam berdakwah. Kalau berkaitan dengan zikir, jangan sampai kita menjadikan seolah-olah zikir itu hanya satu iaitulah berselawat kepada Nabi SAW sahaja.