SDI 1355: Ujian DNA Untuk Pengesahan Status Anak

Wednesday, November 16, 2011

Soalan:

Salam ustaz, minta pendapat ustaz: Anak yang lahir kurang dari 6 bulan selepas ibunya berkahwin, tidak boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika suaminya itu mengaku. Bagaimana pula kalau kita melakukan ujian DNA ke atas suami itu dan ujian itu disahkan positif tetapi suami itu tetap tidak mahu mengaku. Mengapa perlu pengakuan suami jika DNA mengesahkan perkara tersebut.

Jawapan:

Sebagai maklumat kepada penanya, Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis Bil. 1/2009, berdasarkan keputusan majoriti memutuskan bahawa:

“Anak yang lahir kurang dari enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami.”

Keputusan ini bertajuk “HUKUM MENASAB ANAK ZINA KEPADA BAPA ZINA”. (sila semak di lamanweb rasmi Mufti Perlis: http://mufti.perlis.gov.my/) Hukum ini memaksudkan kepada pasangan yang telah terlanjur dan berzina, setelah itu mereka menyesal dengan perbuatan mereka dan ingin kembali menjalani hubungan yang dihalalkan oleh agama sebagai pasangan suami isteri yang sah. Dalam situasi sebegini, anak yang lahir kurang dari tempoh enam bulan perkahwinan ibu-bapanya yang telahpun terlanjur, boleh dibinkan kepada si suami, kecuali jika dinafikan oleh si suami.

Persoalan yang ditimbulkan: MENGAPA PERLU PENGAKUAN SUAMI?

Pengakuan si suami diperlukan bagi mengelak berlakunya kes menasab anak kepada bukan ayah sebenarnya. Seperti seorang wanita yang telah berzina dengan seorang lelaki, setelah itu dia berkahwin dengan lelaki lain. Sebelum cukup tempoh enam bulan, wanita ini melahirkan anak. Maka si suami wanita ini berhak menafikan anak tersebut bukan anaknya, ini merupakan hak seorang suami yang diperakui di dalam Islam, bertujuan memelihara nasab.

Pemeliharaan nasab merupakan perkara yang diberi penekanan di dalam agama. Perbuatan mencampur adukkan nasab mengundang ancaman besar dari Nabi SAW. Demikian juga terhadap lelaki yang menafikan anaknya yang sah. Abu Hurairah RA menceritakan, ketika turunnya ayat tentang al-Li’an, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ أَدْخَلَتْ عَلَى قَوْمٍ مَنْ لَيْسَ مِنْهُمْ فَلَيْسَتْ مِنْ اللَّهِ فِي شَيْءٍ وَلَنْ يُدْخِلَهَا اللَّهُ جَنَّتَهُ وَأَيُّمَا رَجُلٍ جَحَدَ وَلَدَهُ وَهُوَ يَنْظُرُ إِلَيْهِ احْتَجَبَ اللَّهُ مِنْهُ وَفَضَحَهُ عَلَى رُءُوسِ الْأَوَّلِينَ وَالْآخِرِينَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Mafhumnya: “Mana-mana wanita yang memasukkan (nasab secara dusta) sesiapa yang bukan dari kaum mereka (bukan sebenarnya salah seorang dari ahli keluarga mereka), maka tiada bagi wanita itu sesuatupun dari agama dan rahmat Allah, dan Allah sama sekali tidak akan memasukkannya ke dalam syurga. Dan mana-mana lelaki yang mengingkari anaknya (tidak mengaku anak itu anaknya), sedangkan dia melihat anak tersebut[1], Allah akan menghalang dan menjauhkannya dari rahmatNya (Rahmat Allah), dan Allah akan menghinakannya di hadapan manusia keseluruhannya pada hari kiamat.” (al-Nasa’ie, Abu Daud dan Ibn Majah. Hadis ini memiliki jalan periwayatan yang banyak, namun kebanyakannya Lemah |Dhoief|, dan sebahagiannya Sahih. Sila lihat: al-Arna’uth: Tahkik beliau terhadap al-Ihsan. Melalui: Majallah al-Jami’ah al-Islamiah, jilid: 16, bil: ke-2)

Sebagai melengkapkan jawapan ini, kami sertakan fatwa dari al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami |Jawatankuasa Fikah Islam| yang dilihat mempunyai kaitan dengan persoalan yang diajukan.

FATWA JAWATAN KUASA ISLAM TENTANG DNA (البَصْمَةُ الوَرَاثِيَّةُ) DAN RUANG MANFAATNYA

أولاً: لا مانع شرعاً من الاعتماد على البصمة الوراثية في التحقيق الجنائي، واعتبارها وسيلة إثبــات في الجرائم التي ليس فيها حد شرعي ولا قصاص؛ لخبر ( ادرؤوا الحدود بالشبهات ) ، وذلك يحقق العدالة والأمن للمجتمع ، ويؤدي إلى نيل المجرم عقابه وتبرئة المتهم ، وهذا مقصد مهم من مقاصد الشريعة. ثانياً: إن استعمال البصمة الوراثية في مجال النسب لابد أن يحاط بمنتهى الحذر والحيطة والسرية ، ولذلك لابد أن تقدم النصوص والقواعد الشرعية على البصمة الوراثية 0 ثالثاً: لا يجوز شرعاً الاعتماد على البصمة الوراثية في نفي النسب، ولا يجوز تقديمها على اللعان. رابعاً: لا يجوز استخدام البصمة الوراثية بقصد التأكد من صحة الأنساب الثابتة شرعاً ، ويجب على الجهات المختصة منعه وفرض العقوبات الزاجرة؛ لأن في ذلك المنع حماية لأعراض الناس وصوناً لأنسابهم. خامساً: يجوز الاعتماد على البصمة الوراثية في مجال إثبات النسب في الحالات الآتية : أ- حالات التنازع على مجهول النسب بمختلف صور التنازع التي ذكرها الفقهاء سواء أكان التنازع على مجهول النسب بسبب انتفاء الأدلة أو تساويها، أم كان بسبب الاشتراك في وطء الشبهة ونحوه. ب- حالات الاشتباه في المواليد في المستشفيات، ومراكز رعاية الأطفــال ونحوها ، وكذا الاشتباه في أطفال الأنابيب. ج- حالات ضياع الأطفال واختلاطهم ، بسبب الحوادث أو الكوارث أو الحروب ، وتعذر معرفة أهلهم ، أو وجود جثث لم يمكن التعرف علـى هويتها ، أو بقصد التحقق من هويات أسرى الحروب والمــفقـوديـن. سادساً: لا يجوز بيع الجينوم البشري لجنس ، أو لشعب ، أو لفرد ، لأي غرض، كما لا تجوز هبتها لأي جهة، لما يترتب على بيعها أو هبتها من مفاسد.

سابعاً: يوصي المجمع بما يأتي :

أ - أن تمنع الدولة إجراء الفحص الخاص بالبصمة الوراثية إلا بطلب من القضاء؛ وأن يكون في مختبرات للجهات المختصة ، وأن تمنع القطاع الخاص الهادف للربح من مزاولة هذا الفحص ، لما يترتب على ذلك من المخاطر الكبرى.

ب - تكوين لجنة خاصة بالبصمة الوراثية في كل دولة ، يشترك فيها المتخصصون الشرعيون ، والأطباء ، والإداريون ، وتكون مهمتها الإشراف على نتائج البصمة الوراثية ، واعتماد نتائجها 0 ج- أن توضع آلية دقيقة لمنع الانتحال والغش ، ومنع التلوث وكل ما يتعلق بالجهد البشري في حقل مختبرات البصمة الوراثية ، حتى تكون النتائج مطابقة للواقع ، وأن يتم التأكد من دقة المختبرات ، وأن يكون عدد المورثات ( الجينات المستعملة للفحص ) بالقدر الذي يـراه المختصون ضرورياً دفعاً للشك0 والله ولي التوفيق ، وصلى الله على نبينا محمد.

TERJEMAHAN: (Terima kasih kepada Y.Bhg Dr. Basit Abdul Rahman |http://www.abuanasmadani.com/|, Y.bhg Dr. Azwira Abdul Aziz dan Y.Bhg Ustaz Lokmanul Hakim |http://abuumair1.wordpress.com/| kerana sudi menyemak dan mengesahkan terjemahan Bin Sahak)

PERKARA PERTAMA: Tiada larangan agama untuk bergantung kepada DNA dalam siasatan kesalahan jenayah, dan mengambilnya sebagai satu jalan untuk mengthabitkan kesalahan yang tidak termasuk di dalam bab Hukum Had dan Qisas, berdasarkan hadis: ادْرَؤُوْا الْحُدُوْدَ بِالشُّبَهَاتِ |bermaksud: “Tolaklah hukuman hudud dengan syubhat”|. Demikian juga bertujuan memastikan keadilan dan keamanan di dalam masyarakat, dan membawa kepada penghukuman terhadap orang yang sememangnya bersalah dan pembebasan orang yang tidak bersalah daripada hukuman. Ini merupakan salah satu objektif utama dalam Syariat Islam.

PERKARA KEDUA: Penggunaan kaedah DNA dalam bidang penetapan nasab mesti ditangani dengan penuh berhati-hati, cermat dan kerahsiaan. Oleh yang demikian mestilah didahulukan nas-nas agama dan kaedah-kaedah syarak berbanding DNA.

PERKARA KETIGA: Tidak dibenarkan agama bergantung kepada DNA untuk menafikan nasab, dan tidak boleh juga mendahulukan DNA berbanding al-Li’an.

PERKARA KEEMPAT: Tidak boleh menggunakan DNA bagi tujuan memastikan kesahihan nasab yang telah thabit dari sudut agama. Pihak-pihak berkuasa wajib menghalang perkara ini berlaku dan mengenakan beberapa hukuman yang dapat menghalangnya. Larangan ini bertujuan menjaga dan memelihara maruah dan nasab orang ramai.

PERKARA KELIMA: Harus bergantung kepada DNA dalam persoalan menetapkan nasab untuk keadaan-keadaan di bawah:

  1. Bagi beberapa keadaan yang berlaku pertikaian ke atas anak yang tidak diketahui/diragui nasab (Majhul al-Nasab) dalam bentuk-bentuk pertikaian yang berbagai seperti yang disebut oleh para fuqaha, sama ada pertikaian tersebut disebabkan ketiadaan bukti-bukti (dari pihak yang berebut anak) atau bukti-bukti yang ada saling menyamai, ataupun disebabkan berlaku percampuran bagi kes persetubuhan syubhah dan seumpamanya.
  2. Ketika terjadi keraguan terhadap bayi-bayi (seiras) yang dilahirkan di hospital–hospital atau di pusat-pusat pemeliharaan kanak-kanak atau seumpamanya. Demikian juga ketika berlaku keraguan terhadap anak-anak (yang melalui proses) tabung uji.
  3. Ketika berlaku kehilangan atau percampuran bayi yang tidak dapat dibezakan disebabkan berlaku kemalangan, bencana atau peperangan yang menyebabkan tidak dapat dikenal-pasti ibu-bapa mereka, atau disebabkan kewujudan mayat yang tidak dapat dikenalpasti identitinya, atau bertujuan mengenal pasti identiti tawanan perang yang hilang.

PERKARA KEENAM: Tidak boleh menjual Human Genome (Gen Manusia) kepada mana-mana kumpulan, bangsa dan individu untuk sebarang tujuan, dan tidak boleh juga menghadiahkannya kepada mana-mana pihak kerana perkara ini akan mendatangkan keburukan.

PERKARA KETUJUH: Pihak Jawatankuasa menasihati:

  1. Kerajaan hendaklah menghalang sebarang perlaksanaan ujikaji khas DNA melainkan atas permintaan dari pihak penghakiman. Ia juga hendaklah dilakukan di makmal-makmal pihak berkuasa, dan kerajaan hendaklah menghalang pihak swasta yang bermatlamatkan keuntungan daripada melakukan ujikaji ini, kerana ia akan membawa risiko yang besar.
  2. Membentuk badan khas DNA di setiap negara yang dianggotai oleh pakar agama, pakar perubatan, dan pentadbiran, yang berperanan menyelia serta memantau keputusan-keputusan DNA, dan juga untuk menerima keputusan-keputusannya.
  3. Mewujudkan mekanisma yang teliti untuk menghalang sebarang penyelewengan, penipuan, cubaan untuk melakukan pencemaran terhadap DNA, dan segala usaha lain, di lokasi makmal-makmal DNA, agar keputusan-keputusan yang dikeluarkan adalah bertepatan dengan realiti, dan ketepatan ujikaji makmal dapat diyakini. Demikian juga gen yang digunakan dalam ujikaji hendaklah pada kadar yang diperlukan berdasarkan pandangan pakar bagi menghilangkan keraguan. (Lamanweb rasmi: http://http://www.themwl.org)

--------------------------------------------

[1] Kiasan dia mengetahui anak itu adalah anaknya


Cetak  
Wallahu a'lam