Soalan:
> wanmeen:
Assalamualaikum wbt ustaz,
🔴Bagaimana status/hukum orang yang dalam majlis bidaah eg tahlil, zikir ,baca quran beramai2 then dia meninggal dunia sedang membaca Quran.
Basically mati dlm husnul khotimahkah sebab sedang membaca Quran sedangkan itu dlm majlis bidaah ?
( ada terjadi dlm fmly~stressed & trauma dibuatnya)
Syukran ustaz.
Jawapan:
> Bin Sahak Sahak:
🎤 Voice message
Pertama sekali, bukan semua orang yang berada di dalam majlis tahlil itu ahli bidaah. Atau boleh juga kita katakan, bukan semua majlis tahlil itu bidaah dalam ertikata sepakat semua ulama mengatakan ia bidaah. Apatah lagi dalam kita berinteraksi dengan masyarakat hari ini, dalam keadaan maklumat agama yang bercampur-aduk, sehingga memenatkan orang yang belajar agama, apatah lagi orang awam yang rata-rata tidak ada maklumat yang cukup berkaitan agama.
Kalau seseorang menganjurkan atau berada dalam majlis tahlil kerana dia mendengar ustaz yang diikutinya itu mengatakan majlis tahlil adalah sunat, maka kita tidak boleh mengatakan orang sebegini sebagai ahli bidaah, kerana dia melakukan perkara itu bukan kerana membenci sunnah Nabi SAW dan mahu melakukan bidaah. Sebaliknya dia lakukan kerana menyakini perkara itu dibenarkan dan tidak menyalahi sunnah. Maka orang sebegini tidak boleh masukkan ke dalam kumpulan ahli bidaah.
Perkara sebenar yang perlu dilakukan ialah, kita yang memahami perkara yang dilakukannya itu adalah bidaah, hendaklah memberi nasihat dengan cara yang baik atas dasar persaudaraan Islam. Antara kita dengan mereka ada tanggungjawab yang besar iaitulah saling menasihati dalam suasana ukhuwah persaudaraan Islam. Mereka lakukan amalan tersebut yang pada sangkaan atau kefahaman kita ia bidaah, manakala pada mereka tidak bidaah. Perkara ini perlu diteliti dan difahami sebaik mungkin.
Setiap umat Islam wajib berusaha menjaga kesatuan umat Islam, namun dalam masa yang sama, bila kita kata kena jaga kesatuan umat Islam, bukanlah bermakna, kita biarkan kesilapan dan kesalahan yang berlaku berterusan. Bukan ini maksud saya. Sebaliknya kita kena tahu, asas hubungan kita dengan umat Islam lain yang tidak sependapat dalam beberapa perkara adalah di atas asas ikatan yang kuat iaitulah ikatan persaudaraan Islam.
Kerana itu kesalahan dan kesilapan, perkara yang sebahagian orang kata bidaah, sebahagian yang lain tidak menganggapnya bidaah, perlu ditangani secara harmoni. Kita juga kena tahu, kita tidak tidak dipertanggungjawabkan memastikan semua orang ikut kita dan faham setiap perkara sepertimana yang kita fahami. Kita hanya diperintahkan menyampaikan apa yang kita faham, kita berdailog, berbincang dalam suasana ukhwah persaudaraan Islam. Mereka terima atau tidak, itu bukan tanggungjawab kita. Asalkan kita telah berusaha menasihati mereka.
Oleh kerana itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, berkaitan orang yang meninggal dunia dalam majlis yang kita anggap sebagai bidaah, tidak mustahil di kalangan mereka itu ada yang mati dalam keadaan husnul khatimah. Iaitulah mereka yang ikhlas, dan berkeyakinan majlis yang mereka adakan itu adalah majlis yang dibenarkan di dalam syarak.
Oleh itu saya, ulang sekali lagi, tanpa ragu, ada di kalangan orang yang dianggap berada dalam majlis bidaah, mati dalam majlis yang dianggap bidaah oleh sekumpulan umat Islam, orang itu mati dalam keadaan husnul khatimah, kerana dia memenuhi syarat untuk mendapat husnul khatimah seperti seorang yang benar-benar saleh dan ikhlas.
Sama juga, tidak mustahil ada orang yang mati di dalam majlis sunnah, seperti dalam majlis kuliah atau seumpamanya, dia mati dalam keadaan buruk atau su-ul khatimah disebabkan niat buruk yang ada di dalam dirinya. Kerana neraca ukuran bukan semata-mata luaran, sebaliknya dalaman adalah lebih penting di sisi Allah SWT. Apatah lagi dalam suasana hari ini yang begitu rencam maklumat agama, sehingga ramai di kalangan orang awam yang keliru antara kebenaran yang kebatilan. Justeru mustahil untuk dihukumkan kepada orang awam sebagai ahli bidaah dengan dia terlibat dalam perkara bidaah pada anggapan sebahagian pihak, dalam masa yang sama ada pula pihak lain yang menganggap perkara tersebut tidak bidaah.
Satu perkara yang penting juga untuk disebut di sini, iaitulah tak boleh kita katakan majlis membaca al-Quran beramai-ramai sebagai bidaah? sedangkan Nabi SAW pernah meminta seorang sahabat membacakan al-Quran di dalam majlis orang ramai, baginda dan sahabat lainnya mendengar bacaan tersebut untuk diambil pengajaran daripadanya, sehinggalah apabila sampai pada ayat tertentu, nabi SAW menyebut kepada sahabat yang membacakan ayat al-Quran tersebut: Øسبك، Øسبك, cukuplah, cukuplah. Bila sahabat yang membaca ayat al-Quran itu mengangkat kepalanya, dia melihat Nabi SAW menangis kerana mentadabburi ayat yang dibacanya.
Kerana itu saya nasihatkan, tidak nafikan banyak perkara yang dianggap bidaah oleh kita, tetapi tidak dianggap bidaah oleh orang lain. Dalam isu seperti ini hendaklah ditangani dengan cara berdailog, berhujah dan berdebat dalam suasana persaudaraan Islam. Sekalipun kadang-kala agar kasar dan bertegas, tetapi tidaklah itu menjadikan kita saling bermusuhan. Tidak boleh juga menghukum bidaah dan mati dalam su-ul khatimah kepada orang yang berbeza.