Hakikat Makam Kepala Husain RA Di Kaherah Mesir

Catatan Maulana Abu al-Hasan 'Ali al-Nadwi Tarikh: Februari 1951M / Rabiulakhir 1370H

HAKIKAT MAKAM KEPALA HUSSIEN DI KAHERAH MESIR

Perayaan Kelahiran Hussein RA

Dalam beberapa hari sekarang ini, Mesir menyambut hari kelahiran Hussein RA. Kaherah dipenuhi lampu, bunga, manisan dan pesta. Terdapat seorang lelaki yang mengagihkan roti kepada orang miskin. Orang ramai sama ada golongan miskin mahupun bukan miskin, tolak-menolak berebut-rebut untuk mendapatkannya. Di sini, dipenuhi dengan pesta yang dihiasi, kedai-kedai diperelokkan, jalan-jalan diterangi lampu. Di setiap kawasan di Kaherah, anda melihat perkumpulan orang ramai dan rombongan dari luar bandar, (dianggap) "Tetamu Saidina Hussein". Mereka datang untuk berseronok dan bersenang-senang dengan hari perayaan yang didakwa untuk seorang syahid yang dizalimi (Saidina Hussein). Dalam kalangan mereka ada yang datang untuk menziarahi tempat dikebumi kepala Saidina Husein. Mereka tidak peduli, bahkan kebanyakan ulama mereka juga tidak mempedulikan, bagaimana kepala Saidina Hussein boleh sampai di Kaherah?, Bila ia dibawa datang ke Kaherah? Siapa pula yang membawanya? Adakah kepercayaan yang tersebar luas ini mempunyai asal usul sejarah atau tidak? Mereka berasa cukup hanya dengan khabar angin yang tersebar luas, lalu mereka jadikannya sebagai asas amalan agama mereka. Bahkan mereka juga meriwayatkan satu kisah aneh, iaitulah kononnya seorang perempuan sanggup membunuh anaknya, dipenggal kepalanya, dan meletakkannya di jasad Hussein. Lalu membawa kepala Hussein yang sebenar ke Mesir untuk memuliakannya. Masyarakat Mesir mengiktiraf kemuliaan wanita ini. Mereka juga menziarahinya yang dikebumikan berhampiran dengan tempat yang didakwa dikebumikan kepala Saidina Hussain. (Muzakkirat Sa-ih Fi al-Syarq al-'Arabi, 59-60)


Cetak  
Wallahu a'lam