Ringkasan Fatwa al-Qaradhawi Tentang Kumpulan Ahbash

Penterjemah: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak (Bin Sahak)

Semenjak beberapa tahun yang lalu aku (Dr. Yusuf al-Qaradhawi) ada mendengar tentang satu jamaah yang zahir di Lubnan, ia menimbulkan masaalah kepada umat Islam di Lubnan dengan pandapat-pendapat yang pelik dan menyeleweng dan pandangan-pandangan yang merbahaya dalam persoalan aqidah, fiqh dan akhlak. Sehingga mereka menggugurkan kewajipan zakat bagi individu yang memiliki sampinan wang yang banyak dari matawang kertas yang digunakan pada hari ini, mereka juga mengharuskan wang tersebut berurusan dengan riba, mereka mendakwa matawang kertas bukanlah matawang yang syar'ie yakni bukan Emas dan Perak. Mereka mengharuskan orang yang memakan bawang atau meletakkannya di dalam poket tidak menunaikan solat Jumaat, dan mereka mengharuskan percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batas.

Dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dari kalangan umat Islam hari ini atau yang dahulu. Mereka mengkafirkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua orang tokoh ini seperti Mujaddid Tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, sepertimana mereka mengkafirkan ramai dari ulama semasa seperti al-'Allamah al-Syeikh 'Abdul 'Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya. Aku (al-Qaradhawi) telah menyebut di dalam buku-ku (al-Sofwah al-Islamiyyah Baina al-Juhud wa al-Tatorruf) bahawa terjatuh ke dalam lubang menghukum kafir adalah tanda-tanda yang paling serius terhadap pemikiran ekstrim dan melampau dalam beragama.

Golongan Ahbash yang pelampau dan penyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abi al-Hasan al-'Asy'ariy di dalam aqidah, dan mazhab al-Imam al-Syefie di dalam Fiqh, dan mengikut tarikat al-Rifa'iyyah di dalam berakhlak. Akan tetapi hakikatnya mereka mereka amat jauh dari manhaj para imam ini kesemuanya samaada dalam pemikiran, adab dan akhlak.

Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lubnan, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah mereka dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habashah berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baharu, yang hasrat utamanya ialah memecah belakkan kesatuan umat Islam, mengucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini.

Aku ingin memohon maaf dari saudara-saudara kita ahli Habashah yang lain dan kepada penghulu ahli Habashah Sayyidina Bilal r.a. Mereka (golongan Ahbash) telah merosakkan nama Habashah dan al-Ahbash yang sebenarnya. Mereka (golongan Ahbash) bukanlah dari ahli Habashah yang baik sedikitpun, mereka ahli Habashah berlepas diri dari kesalahan-kesalahan golongan Ahbash - yang telah membawa nama mereka secara salah - seperti berlepas dirinya serigala (dalam kisah saudara-saudara Nabi Yusuf) dari darah anak Nabi Ya'kub. Mereka (golongan Ahbash) sejauh-jauh manusia dari adab dan akhlak Bilal r.a.

Sesungguhnya, pada awalnya aku tawaqquf dari menyebut tentang mereka, dan aku tidak membenarkan setiap perkara yang aku dengar tentang mereka, aku juga menahan lidah dan pena-ku dari menyebut tentang mereka, aku tidak menyentuh mereka walau dalam satu kalimat. Sehinggalah jelas kepadaku kebenaran dan (seperti) jelasnya subuh bagi orang yang memiliki dua mata, dan tuduhan-tuduhan terhadap mereka diketahui dimerata tempat, maka tidak wajar aku senyap. lalu aku sentuh tentang mereka dalam beberapa kitabku yang kemudian dengan cara yang lembut dan aku kritik mereka dengan kritikan yang ringan. Aku juga menjawab dalam beberapa seminar kepada orang yang bertanya tentang sebahagian pendapat-pendapat mereka yang ganjil seperti pendapat mereka dalam keharusan merokok secara mutlak, keharusan bercampur antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan dan selainnya, sebagai menjelaskan kesalahan mereka dalam ijtihad-ijtihad mereka seperti ini, tanpa aku melontarkan tuduhan kafir dan fasiq kepada mereka, kerana cara itu bukanlah jalanku.

Akan tetapi, kritikan yang lembut dan ringan ini, seperti membunuh bagi mereka, menghentam dan menggilakan mereka, mereka datang kesemuanya dan mereka kerahkan pasukan-pasukan berkuda dan berjalan kaki (kiasan mereka kerahkan semua kekuatan mereka) yang berada dalam kelalaian, mereka hendak mengganggu program al-Syari'ah wa al-Hayah di siaran al-Jazirah di Qatar. Mereka juga menghalakan anak-anak panah mereka dari setiap arah. Apabila mereka tidak berjaya, mereka menghantar surat kepada Pengarah al-Jazirah, meminta diadakan perdebatan dengan aku (al-Qaradhawi). Kalaulah aku menerima cara ini, sudah tentu aku akan izinkan sebahagian anak murid kepada anak muridku untuk berdebat dengan mereka. Akan tetapi mereka (golongan Ahbash) terlaku kecil dan terlaku rendah untuk berdebat dengan mereka, mereka tidak memiliki nilai ilmu untuk mengizinkan mereka memasuki nilai perdebatan, walaupun untuk berdebat dengan murid yang paling rendah.

Sebahagian saudara-saudaraku dari kalangan ahli ilmu telah membaca surat yang mereka (Ahbash) hantarkan kepada al-Jazirah untuk memohon diadakan perdebatan tersebut, lalu mereka ceritakan setiap perkara (isi kandungan surat tersebut) termasuk penghinaan mereka, termasuk tuduhan mereka (Ahbash) yang mengatakan bahawasanya aku (al-Qaradhawi) telah terkeluar dari agama yang hanif ini, aku berlindung dengan Allah (dari tuduhan tersebut). Lalu saudara-saudaraku mengharapkan aku menjawab tuduhan-tuduhan tersebut yang mereka himpunkan di dalam surat tersebut yang berupa perkara-perkara utama kepada tuduhan dan kecaman mereka. Disebabkan harapan daripada saudara-saudara ku, aku menerima untuk menulis jawapan ini untuk mengendurkan kesamaran, menyatakan kebenaran dan melenyapkan kebatilan walaupun orang-orang yang berdosa tidak menyukainya.

Yang mengejutkan, mereka ini (Ahbash) menyibukkan diri mereka untuk mengganggu rancangan-rancangan ku di television dengan kecaman-kecaman dan pembohongan-pembohongan, sepertimana yang berlaku dalam program al-Syari'ah wa al-Hayah di siaran al-Jazirah dan program Syu'bu al-Imam di siaran satelit Qatar. Aku menghadapi adab buruk mereka dengan kelembutan, tidak mahu menjawab dan berpaling dari mereka seperti yang di firmankan oleh Allah swt: "(dan (orang-orang beriman itu) apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpalig daripadanya dan mereka berkata: "Bagi kami amalan-amalan kami dan bagimu amalan-amalanmu, kesejahteraan ke atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang yang jahil." (al-Qasas: 55)

Akan tetapi perbuatan mereka itu melampau dan berterusan, mereka bertambah agresif dan mereka menyangkakann kelembutan itu berupakan kelemahan, dan demi Allah ianya bukanlah kelemahan, akan tetapi aku tidak mahu menyempitkan/mensia-siakan waktu dan tumpuanku untuk menyemarakkan api perselisihan diantara umat Islam. Sedang mereka (Ahbash) paling fakir dari mahukan kesatuan dan keharmonian. Akan tetapi disebabkan mereka melampaui batas dan berterusan dan menyerang dengan cara yang batil, ia membuatkan aku menjawab tuduhan-tuduhan mereka , sedang perkara ini seperti aku nyatakan ianya tidak aku sukai, akan tetapi sepertimana firman Allah: "Telah difardhukan ke atas kamu semua peperangan sedangkan ianya tidak disukai olehmu, barangkali kamu tidak mengukai sesuatu sedangkan ianya baik untukmu dan barangkali kamu sukakan sesuatu sedangkan ianya tidak baik untukmu, dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah: 216)

Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini Wahhabi dan taasub dengan para imam Wahhabi, seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma' dalam persoalan ini dan itu, dalam masa yang sama ikhwah al-Wahabiyyun atau al-Salafiyyun mengedarkan beberapa edaran yang menyerangku di Jeddah, Riyadh dan lain-lain bandar di Saudi. Aku bukanlah hamba kepada seseorang melainkan kepada Allah semata-mata, aku tidak mengambil melainkan daripada al-Kitab dan al-Sunnah, dan aku sayangkan semua ulama yang mendalam ilmunya, akan tetapi aku tidak mensucikan mereka dan tidak mendakwa mereka memiliki ismah atau bersifat maksum.

Golongan Ahbash ini bersikap angkuh, mereka meminta aku berdebat dengan mereka, dan mereka mendesak dengan permintaan ini. Akan tetapi aku balingkan permintaan mereka ini ke dinding, dan bukanlah setiap permintaan itu ada nilainya - walau tanpa dengan kebenaran - aku menjawab: Aku tidak akan memperkenankan untuk berdebat secara lisan yang mereka inginkan itu kerana beberapa sebab:

1. Mereka hendak popular di siaran-siaran television atas namaku dan aku sama sekali tidak akan memberi peluang kepada mereka. bahkan aku katakan kepada mereka: "matilah kamu dengan kemarahanmu itu."

2. Mereka akan berkata kepada orang-orang yang sangsikan mereka: "Lihatlah kami telah berdebat dengan al-Qaradhawi."

3. Kebanyakan perkara yang mereka hendak berdebat dengan ku itu adalah perkara yang berkaitan persoalan-persoalan di dalam buku-buku ku. Perkara ini tidak perlu kepada perdebatan, bahkan memadai dijawab penulisan buku dengan buku yang seumpamanya jika mereka mampu.

4. Perdebatan sepatutnya terjadi diantara yang setanding, sedangkan mereka (golongan Ahbash) bukanlah setanding dengan-ku, tidak dari sudut usia, tidak juga dari sudut hasil ilmu. Barangkali aku akan menerima berdebat dengan mereka kalau aku melihat adanya faedah. Aku juga boleh memanggil mereka berdebat jika aku mahu dengan murid ku yang paling kecil, dan murid ku itu mampu - dengan bantuan daripada ALlah - untuk mematahkan hujah mereka dengan sekali pukulan sahaja.

5. Aku telah cuba dengan cara perdebatan, akan tetapi aku tidak mendapatinya bermanfaat, aku telah cuba dengan golongan sekularis, dan kami memenangi ke atas mereka alhamdulillah, akan tetapi mereka (golongan sekularis) tidak berganjak juga dengan pendirian mereka.

6. Aku akan berdebat dengan mereka (golongan Ahbash) dengan cara lain, iaitu dengan pena bukan dengan lisan, kerana itu aku menulis lembaran-lembaran ini, aku akan bongkarkan kejahilan murakkab mereka dan aku akan jelaskan pembohongan mereka. Aku hanya mengatakan seperti perkataan Nabi Syuaib: "Aku tidak bermaksud melainkan untuk pembaikan selama aku masih mampu, dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan pertolongan Allah, hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepadanya aku kembali." (Fatawa al-Muasarah. Cet ke-3 (2003), Dar al-Qalam, Jld 3, ms: 685-686)


Cetak  
Wallahu a'lam