Fatwa al-Majma’ al-Fiqhiy al-Islamiy: Hukum Pemindahan Darah Dari Seorang Wanita Kepada Kanak-Kanak Bawah Umur Dua Tahun. Apakah Hukumnya Sama Dengan Hukum Susuan

Hukum Pemindahan Darah Dari Seorang Wanita Kepada Kanak-Kanak Bawah Umur Dua Tahun. Apakah Hukumnya Sama Dengan Hukum Susuan, Bolehkah Juga Diambil Bayaran Dari Pemberian Darah tersebut?

Sumber: al-Majma’ al-Fiqhiy al-Islamiy

Persidangan Ke-11 : 20/7/1409H bersamaan 26/2/1989M

Teks Fatwa diterjemahkan oleh Mohamad Abdul Kadir bin Sahak:

“Pemindahan darah tidak menjadikan hubungan susuan, hubungan susuan terjadi khusus dengan penyusuan. Adapun hukum mengambil balasan (bayaran) dari darah yang diberikan dengan kata lain: Jual-beli Darah. Maka Jawatankuasa berpandangan: Perkara tersebut tidak dibenarkan, kerana ia termasuk di dalam perkara yang diharamkan yang telah dinyatakan di dalam al-Quran al-Karim, diharamkan bersama bangkai dan daging babi. Oleh kerana itu tidak boleh menjual dan mengambil bayaran darinya. Telah Sahih hadis yang menyatakan:

إن الله تعالى إذا حرم شيئا حرم ثمنه

(Mafhumnya:) “Sesungguhnya Allah Taala apabila mengharamkan sesuatu, Dia haramkan juga harganya.”

Demikian juga telah sahih bahawa baginda melarang dari jual-beli darah. Melainkan dalam keadaan-keadaan darurat untuk tujuan-tujuan perubatan, dimana tidak terdapat sesiapa yang sudi mendermakan darah melainkan mesti di beri balasan (bayaran). Hal ini demikian kerana “Perkara-Perkara Dharurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang” dalam kadar menghilangkan dharurat tersebut, maka ketika itu dibenarkan member balasan (bayaran), dan dosa hanya dikira kepada orang yang meminta bayaran dan mengambilnya. Dalam masa yang sama tiada larangan untuk diberikan wang sebagai hadiah atau ganjaran sebagai perangsang kepada kerja kebajikan dan kemanusian ini, kerana ia termasuk dalam bab tabarru’ dan bukan saling tukar-menukar (jual-beli).” - Tamat Fatwa -


Cetak  
Wallahu a'lam