RUU Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024 Terpengaruh Sisi Pemikiran Ekstrim Asya'irah?

RUU MUFTI (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 2024 TERPENGARUH SISI PEMIKIRAN EKSTRIM ASYA‘RAH?

               Satu perkara yang tidak dapat dinafikan pemikiran ekstrim ada di mana-mana, sama ada dari aliran Asya‘irah, Maturidiyyah mahupun Salafiyyah. Namun keadaan lebih parah apabila pemikiran ekstrim ini dianuti oleh sebahagian mereka yang berada di pihak berautoriti agama.

RUU Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024 kelihatan memiliki usaha mengeluarkan sekumpulan besar umat Islam yang memilih jalan berbeza dengan Asya‘irah dan Maturidiyyah dalam perbahasan akidah dari keluarga Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Pendekatan yang sebegini dibimbangi kerana terpengaruh dengan sisi ekstrim sebahagian tokoh Asya‘irah seperti Ibn Tumart dan lainnya. Lebih membimbangkan jika pemikiran ini berjaya mempengaruhi pihak berautoriti agama.

 

SISI EKSTRIM SEBAHAGIAN TOKOH ASYA‘IRAH

[1] Mengkafirkan sesiapa yang meiliki i’tikad berbeza dengan al-Asy‘ari.

Kata al-Syirazi RH dalam Syarh al-Luma’, halaman: 111, ketika membahaskan permasalahan keyakinan akidah, termasuk berkaitan pendalilan ke“huduth”an alam dan ke“azali”an Allah, al-Jism, al-‘Ardh, disusuli perkara-perkara yang wajib diyakini, antaranya beliau menyebut:

]في تكفير من كان على غير اعتقاد أهل الحق المنتسبين إلى الأشعري [

فمن اعتقد غير ما أشرنا إليه من اعتقاد أهل الحق المنتسبين إلى الإمام أبي الحسن الأشعري رضي الله عنه فهو كافر

Maksudnya: “[Berkaitan Mengkafirkan Sesiapa Yang Bukan Di Atas I’tikad Ahl al-Haq Yang Dinisbahkan Kepada al-Asy‘ari] Maka sesiapa yang beri’tikad selain dari apa yang telah kami nyatakan dari i’tikad ahlil hak yang dinisbahkan kepada al-Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari RA, maka orang itu kafir.”

[2] Sekumpulan al-Asya‘irah Mengkafirkan Orang Awam.

Antara tokoh yang mengkafirkan orang awam ialah al-Sanusi yang menjadi antara rujukan utama ‘Asya‘irah Malaysia. Hal ini berdasarkan perkataan Al-Bajuri RH dalam Tuhfah al-Murid, hal: 77 ketika membahaskan persoalan al-Taqlid Dalam Permasalahan Tauhid, beliau menyebut:

وحاصل الخلاف فيه أقوال ستة: الأول: عدم الاكتفاء بالتقليد بمعنى عدم صحة التقليد، فيكون المقلد كافرا، وعليه السنوسي في الكبرى.

Maksudnya: “Kesimpulannya terdapat enam perbezaan pandangan dalam permasalahan ini: Pandangan pertama ialah yang mengatakan tidak memadai dengan bertaqlid (dalam permasalahan tauhid) iaitulah tidak sah taqlid (tidak sah iman dengan bertaqlid dalam permasalahan tauhid), maka jadilah seorang yang bertaqlid (dalam permasalahan tauhid) adalah seorang kafir. Inilah yang dipegang oleh al-Sanusi dalam al-Kubra.”

               Pemikiran ekstrim yang ada dalam sekumpulan Asya‘irah ini diakui dan dibantah oleh seorang tokoh di zamannya Abu Ismail al-Harawi RH (W481H) yang berkata:  

وأبطلوا التقليد فكفروا آباءهم وأمهاتهم وأزواجهم وعوام المسلمين، وأوجبوا النظر في الكلام واضطروا إليه الدين بزعمهم فكفروا السلف

Maksudnya: “(Golongan Asya‘irah yang kemudian) telah membatalkan taqlid dan menghukum kafir bapa-bapa, ibu-ibu, pasangan mereka dan seluruh umat Islam. (kerana) mereka mewajibkan pemerhatian kepada ilmu kalam (untuk seluruh manusia) dan mereka mewajibkannya kepada agama dengan sangkaan mereka, sehingga menjadikan mereka mengkafirkan generasi awal umat Islam.” (Bayan Talbis al-Jahmiyyah Fi Ta’sis Bida‘ihim al-Kalamiyyah 4/414)

               Seorang tokoh Asya‘irah yang adil, al-Imam al-Qurtubi RH dalam tafsirnya 7/332 ketika menafsirkan ayat 185 dari surah al-A’raf, mengkritik pemikiran ekstrim yang ada dalam kumpulan Asya‘irah ini dengan katanya:

الثَّالِثَةُ- ذَهَبَ بَعْضُ الْمُتَأَخِّرِينَ وَالْمُتَقَدِّمِينَ مِنَ الْمُتَكَلِّمِينَ إِلَى أَنَّ مَنْ لَمْ يَعْرِفِ اللَّهَ تَعَالَى بِالطُّرُقِ الَّتِي طَرَقُوهَا وَالْأَبْحَاثِ الَّتِي حَرَّرُوهَا لَمْ يَصِحَّ إِيمَانُهُ وَهُوَ كَافِرٌ، فَيَلْزَمُ عَلَى هَذَا تَكْفِيرُ أَكْثَرِ الْمُسْلِمِينَ، وَأَوَّلُ مَنْ يَبْدَأُ بِتَكْفِيرِهِ آبَاؤُهُ وَأَسْلَافُهُ وَجِيرَانُهُ. وَقَدْ أُورِدَ عَلَى بَعْضِهِمْ هَذَا فَقَالَ: لَا تُشَنِّعُ عَلَيَّ بِكَثْرَةِ أَهْلِ النَّارِ. أَوْ كَمَا قَالَ. قُلْتُ: وَهَذَا الْقَوْلُ لَا يَصْدُرُ إِلَّا مِنْ جَاهِلٍ بِكِتَابِ اللَّهِ وَسُنَّةِ نَبِيِّهِ، لِأَنَّهُ ضَيَّقَ رَحْمَةَ اللَّهِ الْوَاسِعَةَ عَلَى شِرْذِمَةٍ يَسِيرَةٍ مِنَ الْمُتَكَلِّمِينَ، وَاقْتَحَمُوا في تكفير عامة المسلمين

Maksudnya: (Permasalahan) Ketiga: Sebahagian kumpulan yang akhir dan yang awal dari kalangan ahli kalam (al-Asya‘irah) berpandangan bahawa sesiapa yang tidak mengenali Allah Taala dengan jalan-jalan dan kajian-kajian yang ditempoh (oleh golongan Asya‘irah), tidak sah imannya dan dia seorang kafir. Perkara ini membawa hukum kafir kepada kebanyakan umat Islam (orang awam Islam).  Orang pertama yang dikafirkan ialah bapa-bapa mereka, mereka yang terdahulu dan mereka yang sekitarnya. Telah didatangkan kepada sebahagian mereka (Asya‘irah kemudian) perkara ini, lalu dia berkata: “Jangan menyalahkan aku dengan banyaknya ahli neraka.” atau perkataan yang seumpamanya. Lalu aku berkata: “Perkataan ini tidak keluar melainkan dari seorang yang jahilkan al-Quran dan Sunnah Nabinya, kerana dia telah menyempitkan rahmat Allah yang luas hanya untuk serpihan kecil dari kalangan ahli kalam (Asya‘irah) dan menceroboh masuk mengkafirkan seluruh umat Islam.”  

 

SIKAP ADIL DARI KUMPULAN YANG DINISBAHKAN SEBAGAI SALAFIYYAH

               Tidak dinafikan sememangnya ada beberapa individu yang dinisbahkan kepada Salafiyyah yang terpengaruh dengan pemikiran ekstrim. Itupun ketika individu-individu tersebut berada di era Hudatha’ al-Asnan, Sufaha’ al-Ahlam. Namun setelah mereka terjun ke medan dakwah, berjaya keluar dari kepompong mereka sahaja dan meneruskan pembacaan, menjadikan nukilan-nukilan ekstrim tidak kedengaran lagi, alhamdulillah.

Di samping itu, pihak autoriti yang dinisbahkan kepada Salafiyyah sentiasa bersikap terbuka dan menghormati perbezaan pendapat dalam berinteraksi dengan khazanah ulama umat Islam. Hal ini terbukti dengan keputusan yang telah diambil secara bersama dalam Persidangan Majlis Ilmuah Nusantara kali pertama yang diadakan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Sahabus Samahah Mufti Perlis antara lain memutuskan dalam Perkara 1. Pendirian Terhadap Perbezaan Dalam Akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama‘ah menyebut:

  • Aqidah yang wajib diikuti oleh umat Islam adalah aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamā'ah. Dalam masa yang sama kita mengakui wujud perbezaan tafsiran ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamā'ah dalam perkara-perkara furū’ (cabang) aqidah.
  • Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamā'ah yang dipilih untuk dijadikan pegangan adalah aliran Ahl al-Hadīth (أهل الحديث) atau Ahl al-Athar (أهل الأثر), kerana itu lebih mengikuti manhaj al-Salaf al-Ṣālih (السلف الصالح).
  • Dalam masa yang sama pendirian ini tidak menyesatkan apatah lagi mengkafirkan aliran/mazhab lain dalam aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamā'ah iaitu al-Asyā‘irah dan al-Māturīdiyyah. Pendirian ini tidak menghalang untuk kita berdiskusi secara harmoni dalam isu-isu furū’ aqidah tanpa permusuhan.
  • Kita hendaklah bermuamalat dengan pengikut aliran-aliran tersebut sebagai saudara seIslam dan sentiasa bekerjasama dalam perkara yang disepakati serta bertoleransi dalam perkara yang diperselisihkan.
  • Pendapat/ajaran yang jelas bertentangan dengan perkara-perkara prinsip aqidah (أصول العقائد) daripada pihak mana pun wajib ditolak dan dijelaskan kebatilannya, tanpa memandang latar belakang kelompok dan pengucapnya.
  • Ahl al-Sunnah wa al-Jamā'ah dengan kepelbagaian aliran sepatutnya dapat membangun ukhuwwah dan kerjasama yang lebih kuat dalam menghadapi pelbagai cabaran daripada aliran sesat dan ancaman terhadap umat.

Titik-titik persetujuan ini menggambarkan sikap toleransi yang diamalkan oleh mereka yang dinisbahkan kepada Salafiyyah.

 

TOKOH RUJUKAN SALAFIAH TIDAK MENGKAFIRKAN UMAT ISLAM HANYA KERANA WUJUD PERBEZAAN

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH dalam Majmu’ Fatawanya 5/134 berkata:

أن عَامَّةَ أَهْلِ الصَّلَاةِ مُؤْمِنُونَ بِاَللَّهِ وَرَسُولِهِ؛ وَإِنْ اخْتَلَفَتْ اعْتِقَادَاتُهُمْ فِي مَعْبُودِهِمْ وَصِفَاتِهِ؛ إلَّا مَنْ كَانَ مُنَافِقًا يُظْهِرُ الْإِيمَانَ بِلِسَانِهِ وَيُبْطِنُ الْكُفْرَ بِالرَّسُولِ؛ فَهَذَا لَيْسَ بِمُؤْمِنِ

Maksudnya: “Bahawa seluruh ahli Solat (mereka yang menunaikan solat dari kalangan orang awam) adalah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, sekalipun keyakinan-keyakinan mereka berbeza (dalam permasalan cabang akidah) terhadap sembahan mereka (tuhan mereka), melainkan mereka yang bersikap munafiq yang menzahirkan keimanan pada lidah dan menyembunyikan kekafiran terthadap rasul, orang seperti ini bukan seorang yang beriman.”

Di tempat lain dalam kitab yang sama 13/96 beliau berkata:

وَقَدْ ذَهَبَ كَثِيرٌ مِنْ مُبْتَدِعَةِ الْمُسْلِمِينَ: مِنْ الرَّافِضَةِ وَالْجَهْمِيَّة وَغَيْرِهِمْ إلَى بِلَادِ الْكُفَّارِ فَأَسْلَمَ عَلَى يَدَيْهِ خَلْقٌ كَثِيرٌ وَانْتَفَعُوا بِذَلِكَ وَصَارُوا مُسْلِمِينَ مُبْتَدِعِينَ وَهُوَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَكُونُوا كُفَّارًا

Maksudnya: “Ramai ahli bidaah dari kalangan umat Islam terdiri dari golongan Rafidhah, Jahmiyyah dan lainnya yang pergi ke negara-negara kuffar, sehingga ramai (dari kalangan kuffar) yang memeluk Islam dan mereka mendapat manfaat dengan (penghijrahan ahli bidaah) tersebut, sehingga ramai dari kalangan mereka (mereka yang dahulunya kuffar) menjadi umat Islam yang memiliki bidaah. Hal ini lebih baik dari mereka kekal dalam kekufuran.”

Kata al-Imam al-Zahabi RH:

شَيْخُنَا ابْنُ تيمِيَّة فِي أَوَاخِرِ أَيَّامه يَقُوْلُ: أَنَا لاَ أَكفر أَحَدًا مِنَ الأُمَّة، وَيَقُوْلُ: قَالَ النَّبِيُّ ﷺ: «لاَ يُحَافِظُ عَلى الْوضُوء إِلاَّ مُؤْمِنٌ»، فَمَنْ لاَزَمَ الصَّلَوَاتِ بوضوء فهو مسلم

Maksudnya: “Syeikh kami Ibn Taimiyyah ketika hari-hari akhir hayatnya menyebut: “Daku tidak mengkafirkan seorangpun dari kalangan umat Islam.” Beliau berkata: “Nabi SAW telah bersabda: “Tidak memelihara wudhu melainkan seorang yang beriman.” Oleh itu sesiapa yang melazimi solat dengan berwudhu, maka dia seorang muslim.”  


Cetak  
Wallahu a'lam