Al-Kasf al-Jaliy ‘An Zhulumat Rabi’ al-Madkhali (1)

الكشف الجلي عن ظلمات ربيع المدخلي
Al-Kasf al-Jaliy ‘An Zhulumat Rabi’ al-Madkhali
Penulis: الشيخ أبو بلال عبد القادر منير المزدغي العزابي
Penterjemah: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Pendahuluan

Kitab ini mengandungi kritikan terhadap apa yang terdapat di dalam kitab Adhwa' Islamiah 'ala 'Aqidah Syed Qutb wa Fikrih yang ditulis oleh Rabi' bin Hadiy al-Madkhaliy, semoga Allah memberi hidayah kepadanya dan memberi keampunan kepada kita dan beliau. Telah dibuka kepadanya syahwat memakan daging-daging manusia terutamanya daging-daging para pendakwah dan ulama. Di dalam kitab ini juga Syed Qutb dikenakan sejumlah tuduhan, dinisbahkan juga kepadanya sejumlah penyelewengan yang amat banyak dan bahaya. Penelitian segera kepada tajuk-tajuk babnya yang mencapai 17 tajuk melihatkan Syed Qutb telah ditohmah dengan seteruk-teruk tohmahan dan seteruk-teruk bid'ah. Dr Rabi' al-Madkhali menganggap Syed Qutb memiliki keganjilan dalam menafsirkan kalimah Tauhid, mengabaikan Tauhid Ibadah, orang yang bercakap tentang Khalq al-Quran (Kemakhlukan al-Quran), Wahdatul Wujud, mengkafirkan masyarakat Islam, mengharuskan membuat peraturan yang menyalahi syariat Allah, berfahaman sosialis kebendaan, dan lain lagi yang menjadikan Syed Qutb termasuk dalam bid'ah dan pembuat bid'ah. Maka Islam apa yang berbaki bagi orang yang mengharuskan manusia membuat peraturan dari dirinya sendiri, sedangkan Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: "Hukum itu hanyalah milik Allah." (Yusuf: 40)

Firman ALlah SWT lagi:

Mafhumnya: "Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka merekalah orang-orang yang kafir." (al-Maidah: 44)

Timbul persoalan dan kita bisikkan ke telinga Dr. Rabi', iaitulah dimanakah ulama Islam selama lebih 20 tahun, terutama apabila beliau menyatakan di muqaddimah bukunya, termasuk di dalam sebab-sebab yang mendorong beliau menulis buku tersebut: "Berdiam diri dari kemungkaran Syed Qutb, setelah mengetahuinya adalah termasuk sebesar-besar pendusataan dan khianat terhadap Islam dan umat Islam."

Tidak diragukan lagi, ramai (di kalangan para ulama) yang memuji Syed Qutb dan menyanjungnya, terutamanya yang senyap dan tidak menyebut sesuatu (masalah) terhadapnya, apakah mereka semua termasuk dalam kalangan pendusta-pendusta dan pengkhianat-pengkhianat terhadap Islam dan umatnya? Sama-sekali tidak, terutamanya di kalangan mereka (yang memuji Syed Qutb) terdapat seorang tokoh yang diberkati, seorang al-Syeikh yang mulia 'Abd al-'Aziz bin Baz, Mufti Kerajaan 'Arab Saudi yang telah mendoakan kerahmatan ke atas Syed Qutb, dan mensifatkannya sebagai seorang yang memiliki keluasan ilmu dan pemerhatian. Syeikh Bin Baz tidak pula menisbahkan kepada Syed Qutb seperti apa yang dikatakan oleh Dr. Rabi'.

Amat malang dan benar-benar mengecewakan, apabila kebanyakan tuduhan-tuduhan yang dikenakan kepada Syed Qutb adalah tidak benar dan tidak menghampiri kebenaran. kebanyakannya pula Dr. hanya melontarkan tuduhan kepada Syed Qutb tanpa sebarang bukti, kemudian beliau berpaling dengan menukilkan perkataan-perkataan Ahli Ilmu, maka jadilah dakwaan Dr. kebanyakannya lebih luas berbanding bukti, kadang-kala pula dakwaannya langsung tiada nilai bukti sama-sekali, sekalipun kami akan membentangkan perkara ini secara terperinci dalam bantahan ini, tidak mengapa jika kita mengambil satu contoh secara ringkas yang bersesuaian dengan pendahuluan ini.

Dr. Rabi' berkata: "I'tiqad Syed Qutb mempercayai ruh adalah azali yang terpisah dari zat Allah."


Cetak  
Wallahu a'lam