Dakwaan ini telah dijadikan salah satu tajuk pada fasal ke-12 oleh Dr. di dalam bukunya al-Adhwa. Maka apakah bukti beliau terhadap dakwaannya yang besar dan tuduhan yang merbahaya ini? dalil beliau ialah teks yang dijadikan pendahuluan dalam fasal tersebut, iaitulah dengan katanya:
"Berkata Syed Qutb: "Sesungguhnya Allah telah berfirman kepada para Malaikat:
Mafhumnya: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang dibentuk. Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya ruhKu, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud." (al-Hijr: 28-29)
Sesungguhnya ini merupakan firman Allah, maka firman ALlah ta'ala adalah suatu kehendak, yang mewujudkan makluk yang dimaksudkan, dan kita tidak berhak untuk bertanya bagaimana bergabungnya tiupan Allah yang azali dan kekal dengan tanah liat kering yang diciptakan dengan bersifat fana. Maka perbahasan seumpama ini adalah suatu yang mensia-siakan akal, dan mengeluarkannya dari ruang-lingkup yang dapat dicapai sebab-sebab gambaran, pengetahuan dan hukum, maka setiap sesuatu yang menyemarakkan perbahasan sekitar persoalan ini, hanyalah kerana jahil dengan tabiat akal manusia, pengkhususan dan had sempadannya, dan memasukkan ke dalam akal suatu yang bukan medannya bagi mengukur perbuatan pencipta kepada pengetahuan-pengetahuan manusia, ia merupakan suatu kebodohan dalam mencurahkan keupayaan akal, dan merupakan kesalahan dalam manhaj dari asasnya, iaitulah pertanyaan bagaimana bergabungnya Tuhan Yang Maha Kekal dengan makhluk yang fana, bagaimana pula bergabungnya Tuhan Yang Azali dengan makhluk yang baharu, kemudian perlu dibantah, atau dithabitkan, atau diadakan illah! Dalam masa yang sama, akal manusia bukanlah diseru secara asalnya untuk menjelaskan persoalan ini, kerana Allah berfirman: “Sesungguhnya ini telah berlaku, dan tidak difirmankan: bagaimana ia berlaku”[?], maka perkara ini suatu yang thabit, akal manusia tidak mampu untuk menafikannya, demikian juga akal manusia tidak dapat menthabitkannya secara terperinci, selain dari menerima apa yang dinyatakan oleh Nas, kerana akal tidak memiliki wasail hukum, kerana akal adalah baharu, dan yang baharu tidak memiliki wasail hukum terhadap Tuhan yang Azali ZatNya, tidak juga bergabung Tuhan Yang Azali dengan makhluk yang baharu. Penerimaan akal pada permulaan perkara yang jelas ini, iaitulah yang baharu tidak memiliki wasail hukum terhadap Yang Azali dalam apa sahaja bentuk, adalah memadai bagi menghalang akal mengeluarkan keupayaan secara sia-sia dalam perkara yang bukan tugasnya.”
Inilah teks yang disertakan oleh Dr. Rabi' sebagai bukti terhadap dakwaannya yang telah dijadikan salah satu tajuk fasalnya. Beliau juga membuat penegasan selepas perkatan Syed Qutb dengan menyatakan:
“Teks ini menyatakan kalam Allah adalah kehendakNya, dan ia merupakan satu Ta'til kepada sifat kalam, maha tinggi Allah dari perkara tersebut," [akan didatangkan penerangan terperinci dalam perkara ini, akan jelas nanti bahawa Syed Qutb kadang-kala mentakwilkan sifat, dan kadang-kala menempuh mazhab salaf dalam persoalan sifat, beliau sendiri telah mengakui kesilapannya yang lalu, dan berjanji akan menyemaknya kemudian, akan tetapi ajal menghalangnya. Saya tidak tahu apakah Dr. Rabi' membaca atau tidak pengakuan dari Syed Qutb ini?!], ia merupakan i'tikad Syed Qutb bahawa ruh adalah azali bukan makhluk, iaitulah ruh merupakan satu juzuk daripada Allah, Maha Tinggi ALlah dari perkataan ini dengan ketinggian yang agung."
Setelah itu Dr. Rabi’ berpaling dengan menyebut nukilan dari Ibn al-Qayyim RH akan perkataan ulama tentang Keazalian Ruh, dan Dr. Rabi’ mengakhiri fasal tersebut dengan berkata: “Alangkah peliknya Syed Qutb yang telah menetapkan bahawa Ruh itu adalah azali!, sedangkan telah berlaku ijmak di kalangan Ahl al-Sunnah bahawa ruh adalah makhluk bersandarkan kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.” (al-Adhwa’: 179)
Ini merupakan contoh perbuatan Dr. Rabi’ pada kebanyakan bab di dalam bukunya, bahkan ini merupakan contoh gambaran kecil apa yang terdapat di dalam bukunya tersebut.
Hakikatnya, ketika saya membaca teks yang diketengahkan oleh Dr. Rabi' sebagai bukti atas dakwaan-dakwaannya (terhadap Syed Qutb), Ketika awalnya saya menjadi terkejut, saya ulangi bacaan beberapa kali untuk mendapatkan bukti kesamaran yang ada hubungkait dengan dakwaan, saya kembali dalam keadaan tidak memperolehi sesuatu (صِفْرَ اليدين), saya tertanya-tanya tentang kebarangkalian berlakunya keciciran ketika nukilan, ketikamana saya merujuk semula perkataan asal dari kitab al-Zilal, saya tidak ketemui sesuatu keciciran tersebut, ia sama seperti yang dinukilkan.
(Oleh itu) dari manakah Dr. Rabi' memahami iktiqad Syed Qutb dengan Keazalian Ruh?! Persoalan yang benar-benar membingungkan. Di dalam teks, kalimah Azali hanya terdapat sebanyak empat kali, iaitulah:
- ... tiupan Allah al-Azali al-Baqiy.. (نفخة الله الأزلي الباقي)
- dan... bagaimana bergabung al-Azali dengan al-Hadis (و...كيف يتلبس الأزلي بالحادث)
- dan... bukan atas al-Azali dalam pergabungannya dengan al-Hadis.. (و...لا على الأزلي في تلبسه بالحادث)
- dan... bahawa al-Hadis tidak memiliki wasail hukum ke atas al-Azali dalam apa jua bentuk-bentuknya.. (و... أن الحادث لا يملك وسائل الحكم على الأزلي في أي صورة من صوره)
(Sebenarnya) Syed Qutb di dalam tulisannya mensifatkan insan sebagai hadis (yang baharu), dan Allah Taala sebagai Azali. Adapun Ruh, beliau tidak mensifatkannya sebagai Azali. Bahkan jika dikatakan: Beliau (Syed Qutb) telah mensifatkan Ruh sebagai yang baharu, maka ini lebih hampir dengan bukti berbanding (dakwaan) Dr. Rabi', tambahan pula seseorang insan – adalah terdiri dari ruh dan jasad – dan beliau (Syed Qutb) telah mensifatkan Insan sebagai yang baharu beberapa kali. Amat malang sekali apabila ada orang yang membuat tuduhan dan tohmahan hanya berdasarkan fatamorgana dan sangkaan, terutamanya orang-orang yang diberi kemuliaan dengan mengajar anak generasi! Apakah ini yang dikatakan sebagai kebenaran yang hendak dijelaskan oleh Dr. Rabi', dan menjadikannya sebagai salah satu sebab penulisan bukunya al-Adhwa’, apakah ini juga yang ditetapkan oleh Allah kepada anda (wahai Dr. Rabi') untuk dibongkarkan?!