Al-Kasf al-Jaliy ‘An Zhulumat Rabi’ al-Madkhali (4)

Di dalam bantahan ini, pembaca akan dapati Syed Qutb berlepas diri dari tuduhan yang dilontarkan oleh Dr. Rabi’, dan kebanyakan tuduhan tersebut pula sebagaimana yang akan jelas nanti insyaAllah, adalah semata-mata tuduhan yang tiada bukti. Dan kebanyakan apa yang diperkatakan oleh Syed Qutb bertentangan dengan tuduhan tersebut. (Sememangnya) Terdapat pada perkataan Syed Qutb RH sesuatu yang boleh menyokong tohmahan tersebut, akan tetapi terdapat juga dalam perkataan Syed Qutb yang menunjukkan beliau menarik balik perkataannya itu. Cumanya Dr. Rabi’, semoga Allah memberi hidayah kepadanya dan kita juga, beliau sengaja memberi tumpuan untuk membuat tohmahan kepada Syed Qutb, lalu beliau tidak mengendahkan perkataan Syed Qutb yang menjadikan beliau bebas dari tohmahan tersebut, sama juga dengan perkataan Syed Qutb yang boleh mewujudkan tohmahan, dalam masa yang sama tidak ada perkataan lain darinya yang menunjukkan beliau menarik balik perkataannya itu, perkara seumpama ini merupakan kesilapan-kesilapan yang berlaku kerana keuzuran yang banyak. Perkara sebegini pula hanya terhad (tidak banyak).

Bantahan ini juga akan menyentuh sejumlah kajian-kajian manhajiah dimana Dr. Rabi’ telah menyalahi Manhaj yang benar dalam al-Jarh wa al-Ta’dil, sehingga melayakkan manhaj beliau dinamakan sebagai al-Jarh wa al-Tajrih, manhaj ini adalah merbahaya, rumusannya iaitulah harus membongkar keaiban tokoh-tokoh, kitab-kitab dan golongan-golongan tertentu tanpa perlu menyebut kebaikan mereka dengan alasan-alasan yang lucu dan memeranjatkan. Memadailah pada permulaan ini kami bawakan satu contoh ayat al-Quran yang beliau (Dr. Rabi’) jadikan sokongan untuk menyokong mazhabnya. Kata Dr. Rabi’: “Allah Taala berfirman:

Mafhumnya: “1. binasalah kedua-dua tangan abu lahab, dan binasalah ia bersama! 2. hartanya dan Segala Yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. 3. ia akan menderita bakaran api neraka Yang marak menjulang. 4. dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. - 5. di lehernya sejenis tali, dari tali-tali Yang dipintal.” (al-Masad: 1-5)

(Dr. Rabi’ menyambung) Tidak diragukan lagi bahawa Abu Lahab dan isterinya memiliki banyak kebaikan, mereka termasuk keluarga yang memiliki kemuliaan dan keagungan, akan tetapi kekufuran dan pendirian buruk mereka terhadap Rasul SAW memusnahkan semua kebaikan-kebaikan mereka.

Demikian itu manhaj salah[1] yang menjadikan manhaj rabbaniy ini pula yang tidak adil, Maha Tinggi Allah dengan ketinggian yang bersangatan dari anggapan ini.” [al-Manhaj. Hal: 24-25)

Pada pandangan Dr. Rabi', dengan celaan Allah Azza wa Jalla terhadap Abu Lahab dan isterinya, dalam masa yang sama mereka memiliki beberapa kebaikan “tanpa diragukan lagi” – seperti yang beliau nyatakan -, maka membolehkan kita mencela “beberapa tokoh”, Kitab dan beberapa golongan, dan kita tidak perlu menyebut kebaikan mereka. Ini merupakan satu penyimpangan yang jauh, penyelewengan manhaj yang merbahaya, hairan bagaimana ia datang dari Dr. Rabi’.

KEKELIRUAN DR. RABI' JELAS DARI BEBERAPA SUDUT

Pertama: Yang menghukum Abu Lahab dan isterinya di dalam surah al-Masad bukanlah Dr. Rabi’, sebaliknya Allah SWT yang tidak akan tersilap. Bagaimana boleh dikiaskan Allah yang tidak akan tersilap dengan manusia yang boleh tersilap?! Bahkan boleh melakukan kesalahan?! Apakah boleh seseorang selain Allah untuk mencela seseorang yang lain lalu berkata: “Orang itu akan dibakar di dalam api neraka yang marak menyala.”

Sesungguhnya celaan sebegini khas merupakan hak Allah, tidak boleh dikiaskan dengan orang lain, bahkan anda sama-sekali tidak akan mampu untuk menghukum orang yang paling kufur sekalipun, kononnya ia akan masuk ke dalam neraka selagi orang itu masih hidup, kerana anda tidak tahu bagaimana penyudah hidupnya!

Kedua: Yang dicela oleh Allah azza wa jalla di dalam ayat dari surah al-Masad itu adalah seorang kafir. Maka bagaimana boleh dikiaskan dengan seorang muslim?! Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “Patutkah Kami menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang Yang berdosa (yang kufur ingkar)? Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?”

Ketahuilah bahawa termasuk keabaikan yang ada pada golongan Khawarij, apabila mereka menjadikan ayat yang diturunkan kepada orang-orang kafir, lalu dikenakan kepada orang-orang Islam. Alangkah jauhnya perbezaan antara seorang muslim yang mulia dengan seorang kafir yang berdosa.!

Ketiga: Sebab turun ayat surah al-Masad sedia diketahui dan masyhur. Ia turun sebagai bantahan kepada Abu Lahab yang mempermainkan Rasul SAW, dan dia cuba memalingkan orang ramai dari mendengar dakwah baginda SAW, dia berkata kepada Nabi SAW: “Apakah kerana ini anda menghimpunkan kami di sini, celakalah engkau!”

Maka kedudukan ayat dalam surah al-Masad ini adalah kedudukan penjelasan dosa dan jenayah Abu Lahab. Saya rasa tiada seorangpun yang Dr. Rabi’ khususkan untuk membantah bukunya berkata kepada orang ramai, jika anda semua hendak membuat bantahan kepada salah seorang musuh Islam, anda hendaklah jangan hanya menyebut kesalahannya sebaliknya sebutkanlah juga kebaikan-kebaikannya. Perkara seperti ini tidak akan diucapkan oleh seorang yang berakal, jika Dr. Rabi’ beranggapan sedemikian maka perkara itu lahir dari sangkaannya semata-mata.

Secara ringkasnya, Dr. Rabi’ telah melalui satu manhaj yang salah dalam menilai beberapa tokoh, demikian juga jalan yang salah dalam berhujjah untuk manhajnya, seperti manhaj beliau berada di arah barat dan beliau mendatangkan dalilnya dari arah timur. Seperti yang beliau lakukan dalam contoh sebentar tadi. Banyak lagi contoh yang sama. Tidak ada perbezaan antara dakwaan-dakwaan dan bukti-bukti yang disebut oleh Dr. Rabi’, bahkan perkataan-perkataan para imam yang dinukilkan oleh beliau juga tidak boleh menyokong.

Antaranya beliau menjadikan hujjah bagi manhajnya dengan berkata: “Sesungguhnya para imam umat Islam berbicara tentang Ahl al-Bid’ah dan para periwayat, mereka tidak mengisyaratkan sesuatupun yang menunjukkan wajib atau mereka mensyaratkan melakukan muwazanah. Mereka telah menulis beberapa kitab al-Jarh wa al-Ta’dil... (hingga ke akhir perkataannya)”[2] lalu Dr. Rabi’ menyebut beberapa tulisan para imam dalam ilmu tersebut, kemudian mengulangi bahawa mereka “Tidak mensyaratkan muwazanah ini (dalam melakukan kritikan).” Berikut beberapa pemerhatian ke atas perkataan Dr. Rabi’ ini:

bersambung ke siri 5...

 

[1] Beliau maksudkan manhaj yang memestikan menyebut perkara nagatif dan positif dalam menilai tokoh dan menghukum mereka berdasarkan apa yang layak mereka terima dari Jarh wa Ta’dil. Manhaj seumpama ini pada penilaian Dr. adalah manhaj yang salah, sebaliknya manhaj beliaulah yang benar, manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.
[2] Al-Manhaj. Hal: 40)


Cetak  
Wallahu a'lam