Al-Kasf al-Jaliy ‘An Zhulumat Rabi’ al-Madkhali (5)

Antaranya beliau menjadikan hujjah bagi manhajnya dengan berkata: “Sesungguhnya para imam umat Islam berbicara tentang Ahl al-Bid’ah dan para periwayat, mereka tidak mengisyaratkan sesuatupun yang menunjukkan wajib atau mereka mensyaratkan melakukan muwazanah. Mereka telah menulis beberapa kitab al-Jarh wa al-Ta’dil... (hingga ke akhir perkataannya)”[2] lalu Dr. Rabi’ menyebut beberapa tulisan para imam dalam ilmu tersebut, kemudian mengulangi bahawa mereka “Tidak mensyaratkan muwazanah ini (dalam melakukan kritikan).” Berikut beberapa pemerhatian ke atas perkataan Dr. Rabi’ ini:

Pertama: Perkataan para imam dalam perkara-perkara bid’ah dan ahli bid’ah tidak sepertimana manhaj Dr. Rabi’. Sebaliknya para ulama melakukan pertimbangan antara kebaikan-kebaikan dan kesalahan-kesalahan mereka yang tiada keuzuran. Ketikamana kesalahan-kesalahan yang tiada keuzuran itu yang terserlah, maka dikeluarkan hukum kepada mereka sebagai hukum bid’ah. Setelah itu anda tidak bersalah jika menyebut salah seorang dari mereka kerana salah satu sebab dari sebab-sebab yang dibenarkan, dimana anda tidak menyebut melainkan aib mereka bertujuan memberi peringatan kepada orang ramai dari orang tersebut atau agar mereka tidak tertipu dengan mereka. Sebaliknya Dr. Rabi’ tidak menjadikan tajuk khas untuk ahli bid’ah, sebaliknya beliau memilih untuk mengkritik tokoh-tokoh secara mutlak. Beliau juga tidak mengkhususkan mengkritik golongan-golongan sesat sebaliknya kumpulan-kumpulan umum.

Kedua: Apa yang dikatakan terhadap ahli bid'ah, terdapat di dalam al-Dhuafa' (kitab senarai nama-nama perawi yang dhoief). Para ulama juga tidak melahirkan para periwayat yang lemah (dhuafa') di dalam kitab mereka (al-dhuafa'), dan tidak menghukum mereka sebagai dhoief, melainkan setelah dinilai dengan timbangan yang adil – bukan hanya dengan sebelah timbangan – setelah itu, jika yang terserlah adalah kelemahan dan kesalahan, barulah mereka tergolong dalam Dhu’afa’.

Ketiga: Selain itu, nama-nama yang tersenarai dalam kitab-kitab al-Dhu’afa, bukanlah semestinya tercela secara mutlak. Sebaliknya yang tercela itu adalah riwayat mereka, kebiasaannya para ulama menyentuh al-Jarh wa al-Ta’dil dari sudut ini. Kadang-kala mereka adalah orang-orang yang saleh dari sudut agama, hanya lemah dari sudut periwayatan. Kerana itu perbincangan kitab-kitab al-Dhu’afa adalah khas dari sudut periwayatan. Bukanlah suatu yang pelik apabila pemilik kitab-kitab al-Dhu’afa akan hanya tertumpu pada membicarakan apa-apa yang ada kaitan dengan periwayatan seperti perkataan mereka: "Orang itu Mungkar al-Hadis", "bukan seorang yang kuat" dan seumpamanya. Inilah dia titik hukum yang diberikan kepada seseorang periwayat oleh pemilik sesuatu kitab al-Dhu’afa.

Akan tetapi perkataan Dr. Rabi’ mewujudkan kesamaran kepada pembaca, (kononnya) nama-nama yang tercatit di dalam kitab-kitab Dhu’afa dan Majruhin telah melalui manhaj yang diserunya. Sama sekali tidak, bahkan mereka telah melalui peringkat al-Muwazanah, setelah itu mereka gagal (sekalipun telah melalui proses muwazanah). [ambil satu contoh: seperti yang terdapat di dalam Dhu’afa oleh al-Zahabi ketika beliau memperkenalkan Jisr bin al-Hasan al-Kufi. Al-Zahabi berpada dengan menyebut: “al-Nasaie telah melemahkannya.” Mengapa? Kerana al-Zahabi telah melakukan timbangan di dalam bukunya al-Mizan, beliau menyebut: “al-Nasaie telah melemahkannya.” Al-Jauzajani pula berkata: “Wahiy al-Hadis.” Berkata Ibn Ma’ien: “Tiada apa-apa.” Berkata Abu Hatim: “Tidak aku melihat masalah padanya.” Maka kitab al-Mizan yang ditulis oleh al-Zahabi terdapat di dalamnya pemeriksaan/penilaian, maka ia merangkumi al-Jarh wa al-Ta’dil, ketikamana terserlah al-Jarh, maka tidak disyaratkan diistishabkan al-Tauthiq (pengekalan penthiqahan), maka dimanakah Dr. Rabi’ dari manhaj seumpama ini?], di samping terdapat juga selain mereka yang berjaya (melalui proses muwazanah), sehingga melayakkan nama-nama mereka tersenarai di dalam kitab al-Thiqat, yang tidak dinyatakan oleh Dr. Rabi’ sesuatupun tentang mereka, seolah-olah tiada sebarang rasa lunak antara beliau dan mereka.

Keempat: sekalipun kitab-kitab yang menyebut para perawi dhoief (Dhu’afa’) yang disebut oleh beliau (Dr. Rabi’), beliau tidak memberi sebahagian contoh, apakah benar di dalamnya membuktikan dakwaan Dr. Rabi’ kononnya para Imam tidak menyebut selain dari keaiban dan keburukan? Sama sekali tidak, bahkan kitab-kitab al-Dhu’afa’ sekalipun, ada dinyatakan di dalamnya al-Ta’dil dan al-Tajrih, untuk pembaca sebahagian contoh yang telah disembunyikan oleh Dr. Rabi’:

Pertama: Kitab al-Mughniy fi al-Dhu’afa’ oleh al-Zahabi

o JABIR BIN YAZID AL-JU’FI – Beliau merupakan salah seorang dari ketua-ketua ahli bid’ah – telah ditohmah dengan tohmahan-tohmahan yang besar, dalam keadaan sedemikian, ketika memperkenalkannya al-Zahabi berkata: “Seorang yang masyhur dan ‘Alim, Thu’bah, al-Thauriy dan selainnya telah menghukum beliau sebagai Thiqah.” Abu Daud pula berkata: “(Beliau) tidaklah kuat di sisiku”. Al-Nasaie pula berkata: “(beliau seorang) Matruk.” dan sebahagian ulama lain pula telah menghukum beliau sebagai seorang perawi dusta. Berkata Ibn Ma’in: “Tidak ditulis hadis darinya.” Beliau mati pada tahun 128 H.”

Kedua: Kitab al-Kamil fi Dhu’afa’ al-Rijal oleh Ibn ‘Adiy.

o AL-HARITH BIN HASIRAH AL-AZDIY, ABU NUKMAN AL-KUFIY. Ibn ‘Adiy berkata: “Jika al-Kuffiyun (orang-orang Kufah) meriwayatkan darinya, secara umumnya riwayat al-Kufiyyin darinya tentang kelebihan Ahl al-Bait. Apabila meriwayatkan darinya ‘Abd al-Wahid bin Ziyad dan al-Basriyun (orang-orang Basrah), mereka meriwayatkan daripadanya riwayat-riwayat yang berbagai, beliau (al-Harith bin Hasirah) pula tergolong dari orang-orang yang cenderung kepada Syi’ah. Bersama dengan kelemahannya itu, ditulis juga hadis darinya. Ibn Ma’in berkata: “al-Harith bin Hasirah, seorang Khasyabiy Thiqah (خشبي ثقة).” Abu Ahmad al-Zubairiy pula berkata: “Harith bin Hasirah dan Uthman Abu al-Yaqzan beriman dengan al-Raj’ah.”

Ketiga: al-Majruhin oleh Ibn Hibban.

o Al-JARRAH BIN MALIH BIN 'ADIY, ABU WAKI' AL-KUFIY. Berkata Ibn Hibban: “Beliau seorang yang membalik-balikkan sanad, dan menjadikan hadis Mursal sebagai Marfu’. Yahya bin Ma’in menganggapnya sebagai pemalsu hadis. Abu al-Walid Hisyam bin ‘Abd al-Malik dan Abu Daud menthiqahkannya, demikian juga Yahya bin Ma’in berdasarkan riwayat ‘Abbas al-Duriy daripadanya. Abu Hatim al-Raziy pula berkata: “Ditulis hadis daripadanya, dan tidak dijadikan hujjah dengannya.” Berkata pula al-‘Ijliy: “Tidak mengapa dengannya, anaknya lebih mulia (أنبل) darinya.” Berkata pula al-Azdiy: “Ada perkataan ulama terhadapnya, beliau bukanlah seorang yang direstui di sisi para ulama.” Berkata pula Muhammad bin ‘Abdillah bin ‘Ammar al-Mausiliy: “(Beliau) seorang yang lemah.” Al-Nasaie pula berkata: “Tidak mengapa dengan beliau.” Berkata pula al-Daraqutniy: “Tiada apa-apa, beliau seorang yang banyak kesamaran, dan tidak diambil iktibar dengannya.”

Memadailah kami sertakan kitab-kitab ini yang mengandungi Anzal al-Maratib di dalam al-Jarh. Dalam masa yang sama tidak terkecuali di dalamnya disebut juga kebaikan-kebaikan (para periwayat yang dilemahkan) – sekalipun ia bukanlah suatu yang mesti untuk disebut kebaikan-kebaikan tersebut – ini semua menjadi bukti bagaimana jauhnya Dr. Rabi’ dari manhaj Ahli Ilmu, menzahirkan juga beliau menjadi seolah-oleh kebudakan (متطفل tiada nilai/tidak diundang) di medan para ulama.

bersambung...


Cetak  
Wallahu a'lam