Hukum Membid'ahkan Persoalan Ijtihadiyyah: Persoalan Pertama: Pengertian Bid'ah

PERSOALAN PERTAMA: PENGERTIAN BID’AH

Kalimah bada’a (بَدَعَ) digunakan dari sudut bahasa[1] dengan maksud: الشَيْءُ الْمُخْتَرَعُ عَلى غَيْرِ مِثَالٍ سَابِقٍ iaitulah: Sesuatu yang direka tanpa contoh terdahulu, seperti firman Allah Ta’ala:

Mafhumnya: “Katakanlah: "Aku bukanlah rasul yang pertama di antara rasul-rasul…"[2] (al-Ahqaf: 9)

Dari sudut syarak pula, ia bermaksud:

مَا أُحْدِثَ فِيْ الدِّيْنِ مِنْ غَيْرِ دَلِيْلٍ

Mafhumnya: “Apa yang direka di dalam agama tanpa ada dalil.”[3]

Pengertian ini mengandungi tiga ciri-ciri khusus bagi bid’ah, sesuatu itu tidak menjadi bid’ah pada pertimbangan agama melainkan jika terkandung di dalamnya ketiga-tiga ciri ini, iaitulah:

1. Mengadakan rekaan

2. Disandarkan rekaan itu kepada agama

3. Tidak disandarkan perbuatan mengadakan rekaan itu kepada asas syarak, dengan jalan khas atau umum

Ketiga-tiga ciri ini disimpul dari al-Sunnah al-Mutahharah (Sunnah Nabi Sallallah ‘Alaih Wa Sallam), kerana itu baginda Sallallah ‘Alaih Wa Sallam bersabda:

وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُوْرِ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Mafhumnya: “Hindarilah kamu semua dari perkara-perkara yang direka, kerana sesungguhnya setiap perkara rekaan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu adalah satu kesesatan.”[4]

Baginda Sallallah ‘Alaih Wa Sallam juga bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِيْ أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Mafhumnya: “Sesiapa yang mengadakan rekaan di dalam urusan kami ini, apa yang bukan darinya, maka perkara itu tertolak.”[5]

Berikut adalah huraian bagi ketiga-tiga ciri yang dimaksudkan:

Pertama: Mengadakan Rekaan (الإِحْدَاثُ)

Dalil bagi ciri yang pertama ini ialah sabdaan Nabi Sallallah ‘Alaih Wa Sallam: مَنْ أَحْدَثَ (sesiapa yang mengadakan rekaan) dan كُلّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ (Setiap perkara rekaan itu adalah bid’ah).

Yang dimaksudkan dengan mengadakan rekaan ialah: mendatangkan perkara baharu yang direka, yang tidak ada contoh terdahulu. Maka ia merangkumi semua perkara yang direka, samada yang tercela atau terpuji, dalam urusan agama mahupun dalam urusan lainnya.

Dengan ciri ini, ia mengeluarkan perkara yang tiada rekaan pada asalnya, seperti syiar-syiar agama umpama solat-solat fardhu, puasa bulan Ramadhan, dan seperti melakukan sesuatu dari urusan-urusan keduniaan yang telah terbiasa seperti makan, minum, berpakaian dan seumpamanya.

Apabila mengadakan rekaan ini, kadang-kala boleh berlaku dalam urusan dunia, dan kadang-kala dalam urusan agama, ia mesti dibataskan dengan dua ciri-ciri yang berikut:

Kedua: Disandarkan Rekaan Itu Kepada Agama

Dalil bagi ciri yang kedua ini ialah hadith baginda Sallallah ‘Alaih Wa Sallam: فِيْ أَمْرِنَا هَذَا (di dalam urusan kami ini) yang dimaksudkan dengan urusan di sini ialah: agama dan syarak yang baginda bawa.[6]

Oleh itu, yang dimaksudkan dengan bid’ah: mengadakan rekaan dengan dinisbahkan kepada syarak dan disandarkan kepada agama dalam apa-apa bentuk.

Dengan ciri ini, ia mengeluarkan rekaan-rekaan yang bersifat al-Madiaah dan keduniaan yang tidak ada hubungan dengan urusan agama. Demikian juga dengan perkara maksiat dan kemungkaran yang direka yang belum ada sebelumnya. Perkara ini tidak termasuk di dalam bid’ah, melainkan jika ia dilakukan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah (al-Taqarrub), atau ia merupakan jalan hingga disangkakan perkara itu dari agama.

Ketiga: Tidak disandarkan perbuatan mengadakan rekaan itu kepada asas syarak, dengan jalan khas atau umum

Dalil bagi ciri yang ketiga ini ialah sabdaan Nabi Sallallah ‘Alaih Wa Sallam: مَا لَيْس مِنْهُ (apa yang bukan darinya).

Dengan ciri ini ia mengeluarkan rekaan-rekaan yang berhubung-kait dengan agama yang ada asas di dalam syarak, samada secara umum atau khusus. Termasuk dalam perkara yang direka di dalam agama, dan ianya bersandarkan kepada dalil syarak yang umum iaitulah perkara yang thabit berdasarkan al-Masalih al-Mursalah[7], seperti perbuatan Sahabat RadhiyalLah ‘Anhum menghimpunkan al-Quran. Termasuk dalam perkara yang direka di dalam agama, dan ianya bersandarkan kepada dalil syarak yang khusus iaitulah mengadakan solat Tarawih secara berjemaah di zaman ‘Umar RadhiyalLah ‘Anh. Contoh yang lain seperti menghidupkan beberapa sunnah yang telah ditinggalkan.

Berikut disertakan perkataan-perkataan para ulama terhadap ketiga-tiga ciri ini:

Ibn Rajab[8] berkata:

فَكُلُّ مَنْ أَحْدَثَ شَيْئًا وَنَسَبَهُ إِلَى الدِّيْنِ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ أَصْلٌ مِنَ الدِّيْنِ يُرْجَعُ إِلَيْهِ، فَهُوَ ضَلَالَةٌ، وَالدِّيْنُ مِنْهُ بَرِيْءٌ

Mafhumnya: “Setiap orang yang mengadakan sesuatu rekaan dan dia menisbahkan rekaan tersebut kepada agama, sedangkan perkara rekaan itu tidak ada asalnya dari agama sebagai sumber, maka ia adalah kesesatan, dan agama pula berlepas diri darinya.”

Katanya lagi:

وَالْمُرَادُ بِالْبِدْعَةِ: مَا أُحْدِثَ مِمَّا لَا أَصْلَ لَهُ فِيْ الشَّرِيْعَةِ يَدُلُّ عَلَيْهِ، فَأَمَّا مَا كَانَ لَهُ أصْلٌ مِنْ الشَّرْعِ يَدُلُّ عَلَيْهِ فَلَيْسَ بِبِدْعَةٍ شَرْعًا، وَإنْ كَانَ بِدْعَةٌ لُغَةً

Mafhumnya: “Dan yang dimaksudkan dengan bid’ah: (iaitulah) apa yang direka dari perkara yang tidak ada asal dari syariat yang menunjukkannya, adapun apa yang memiliki asal dari syarak yang menunjukkannya, maka ia bukanlah bid’ah dari sudut syarak, sekalipun ia merupakan bid’ah dari sudut bahasa.”[9]

Ibn Hajar berkata:

وَالْمُرَادُ بِقَوْلِهِ: "كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ" مَا أُحْدِثَ وَلَا دَلِيْلَ لَهُ مِنْ الشَّرْعِ بِطَرِيْقٍ خَاصٍّ وَلَا عَامٍ

Mafhumnya: “Dan yang dimaksudkan dengan sabdaan baginda Sallallah ‘Alaih Wa Sallam: “Setiap bid’ah itu adalah kesesatan” (iaitulah) apa yang direka dan tidak memiliki dalil baginya dari syarak dengan jalan khusus mahupun umum.”[10]

Beliau berkata lagi:

وَهَذَا الْحَدِيْثُ ]يَعْنِيْ حَدِيْثَ: "مَنْ أَحْدَثَ فِيْ أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ"[ مَعْدُوْدٌ مِنْ أُصُوْلِ الْإِسْلَامِ وَقَاعِدَةٍ مِنْ قَوَاعِدِهِ، فَإِنَّ مَنْ اخْتَرَعَ فِيْ الدِّيْنِ مَا لَا يَشْهَدُ لَهُ أَصْلٌ مِنْ أُصُوْلِهِ فَلَا يُلْتَفَتُ إِلَيْهِ

Mafhumnya: “Hadith ini [iaitulah hadith: “Sesiapa yang mengadakan rekaan di dalam urusan kami ini, apa yang bukan darinya, maka perkara itu tertolak.”] termasuk dari asas-asas Islam dan satu kaedah dari kaedah-kaedahnya, maka sesungguhnya sesiapa yang mengadakan rekaan di dalam agama yang tidak ada sokongan dari asas-asas agama, maka janganlah dihiraukan perkara tersebut (jangan terpengaruh dengannya).”[11]

Al-Hafidz al-Hakimi berkata:

وَمَعْنَى الْبِدْعَةِ هُوَ شَرْعٌ مَا لَمْ يَأْذَنِ اللهُ بِهِ، وَلَمْ يَكُنْ عَلَيْهِ أْمْرُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ وَلَا أَصْحَابُهُ

Mafhumnya: “Dan makna bid’ah ialah pensyariatan yang tidak diizinkan oleh Allah, dan perkara itu juga tidak termasuk di dalam perbuatan Nabi SallalLah ‘alaih wa Sallam dan para Sahabat baginda.[12]

Ibn ‘Uthaimin pula memberikan takrifan bid’ah dengan berkata:

مَا أُحْدِثَ فِيْ الدِّيْنِ عَلَى خِلَافِ مَا كَانَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ وَأَصْحَابُهُ مِنْ عَقِيْدَةٍ أَوْ عَمَلٍ

Mafhumnya: “(Bid’ah) ialah apa yang direka di dalam agama dan ia berbeza dengan apa yang berada di atasnya Nabi Sallallah ‘Alaih Wa Sallam dan para sahabat baginda samada dari perkara akidah atau amalan.”[13]

[1] Sila lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar: 1/106,107, dan Mukhtar al-Sihah: 43,44, dan al-Misbah al-Munir: 38, dan al-I’tisom: 1/36.

[2] Tambahan penterjemah: Iaitulah Nabi SallalLah ‘alaih wa Sallam bukanlah rasul yang pertama, sebaliknya sebelum pengutusan baginda telah ada beberapa orang Rasul lain yang dilantik oleh Allah Subhanahu wa Taala.

[3] Sila lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam: 2/128, dan Fath al-Bari: 13/254, dan Ma’arij al-Qabul: 2/426, dan Syarh Lum’ah al-I’tiqad: 23.

[4] Dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya dan lafaz hadith ini adalah lafaz darinya (4/201) bilangan 4607. Ibn Majah (1/15) bilangan 42. Al-Tirmizi (5/44) bilangan 2676 dan dia berkata: “Hadith ini Hasan Sahih”. Hadith ini juga telah dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Zilal al-Jannah fi Takhrij al-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Asim (17) bilangan 27.

[5] Dikeluarkan oleh al-Bukhari (5/301) bilangan 2697. Muslim (2/16), dan lafaz hadith ini adalah lafaz dari beliau.

[6] Lihat: Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam (1/177)

[7]

[8] Tambahan penterjemah:

[9] Ibid (2/127)

[10] Fath al-Bari (13/254)

[11] Fath al-Bari (5/302). Lihat juga: Ma’arij al-Qabul (2/426), dan Syarh Lum’ah al-‘Itiqad (23).

[12] Ma’arij al-Qabul: 2/426

[13] Syarh Lum’ah al-I’tiqad: 23

 


Cetak  
Wallahu a'lam