Hukum Membid'ahkan Persoalan Ijtihadiyyah: Muqaddimah

Muqaddimah Penulis
Hukum Membid’ahkan Persoalan-Persoalan Ijtihad

حكم التبديع في مسائل الإجتهاد

Penulis: al-Ustaz Dr. Muhammad bin Husain al-Jizaniy

Penterjemah: al-Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Muqaddimah Penulis

Segala pujian untuk Allah Tuhan Sekelian Alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia para nabi dan rasul (Nabi Muhammad Sallallah ‘Alaih wa Sallam). Amma ba’d:

Sesungguhnya membid’ahkan persoalan-persoalan ijtihad merupakan hukum agama. Maka sewajarnya hukum ini dikaji permasalahan-permasalahannya dan dikenali garis-garis ketetapannya.

Termasuk dalam perkara yang menghairankan, anda akan dapati kebanyakan orang dalam persoalan-persoalan ijtihad dia berhati-hati untuk mengeluarkan hukum kafir (kepada orang yang berbeza dengannya) disebabkan kemerbahayaan dan besar kesannya, sebaliknya dia – amat malang dan sedih sekali – menganggap mudah hukum membid’ahkan (orang yang berbeza dengannya dalam persoalan ijtihad) dan pada pandangannya kesannya adalah ringan.

Dari sini jelas menunjukkan, menutup pintu menghukum bid’ah dalam persoalan-persoalan ijtihad dan memberi peringatan tentang kemerbahayaannya, termasuk dalam perkara yang lebih utama untuk diberi perhatian berbanding persoalan menjauhi dan menghindari dari mengeluarkan hukum kafir terhadap perbezaan dalam persoalan-persoalan ijtihad.

Tidak wajar juga hanya semata-mata meninggalkan dari menghukum bid’ah dalam persoalan-persoalan ijtihad, bahkan yang dituntut ialah agar ia (persoalan ijtihad) berperanan sebagai permulaan atau pintu masuk kepada dialog yang bermanfaat dan kritikan yang membina, di samping ia juga berperanan sebagai sebab yang dapat membawa golongan-golongan yang berbeza pandangan ini untuk terus berpegang-teguh dengan al-Thawabit dan tetap memelihara perkara yang al-Muhkamat, dan agar mereka saling bantu-membantu dalam perkara-perkara yang baik dan taqwa.

Betapa banyak kebaikan dari sudut agama dan maqasidnya yang diperolehi oleh orang-orang yang beriman dari larangan membid’ahkan sesama mereka, termasuklah hati dan jiwa mereka akan saling dekat dan terasa lunak, mereka juga akan memperolehi rasa kasih sayang dan belas kasihan sesama mereka .

Kerana itu, perkara ini meninggalkan kesan kepada saya, untuk saya mengkhususkan kajian dalam perkara Hukum Membid’ahkan Persoalan-Persoalan Ijtihad, dalam keadaan saya memohon kepada al-Maula Jalla Sya’nuhu agar Dia memberikan taufik dan tasdid kepada saya.

Saya susun kajian ini kepada satu bahagian pendahuluan dan enam bahagian tajuk seperti penjelasan berikut:

- Pendahuluan yang mengandungi: pengertian bid’ah, pengertian ijtihad, garis-garis panduan persoalan-persoalan ijtihadiah.

- Persoalan Pertama: Larangan membid’ahkan persoalan-persoalan ijtihad.

- Persoalan Kedua: Dalil-dalil larangan membid’ahkan persoalan-persoalan ijtihad.

- Persoalan Ketiga: Kedudukan ijtihad dalam bab bid’ah.

- Persoalan Keempat: Bila dibolehkan menghukum bid’ah dalam bab ijtihad?

- Persoalan Kelima: Hukum membid’ahkan mujtahid.

- Persoalan Keenam: Kaedah-kaedah Usul dan kaedah-kaedah Fiqh yang ada hubungan.

Saya juga adakan tambahan satu bab penutup yang mengandungi kesimpulan dalam kajian ini, demikian juga terdapat al-Masadir, al-Maraji’ dan isi kandungan.

Saya memohon kepada Allah untuk menjadikan usaha saya ini ikhlas kepadaNya, dan agar Dia merezkikan kepada kita ilmu yang bermanfaat dan amalan yang saleh. Dan akhir seruan kami ialah pengakuan segala puji-pujian itu adalah milik Allah tuhan sekelian alam.

Pendahuluan

Mengandungi tiga persoalan:

1. Persoalan Pertama: Pengertian Bid’ah

2. Persoalan Kedua: Pengertian Ijtihad

3. Persoalan Ketiga: Garis-garis Ketetapan Persoalan Ijtihad


Cetak  
Wallahu a'lam