Soalan:
Assalamu 'alaiklum wbt....
1. Saya ingin bertanya adakah dibenarkan untuk kita sebagai umat islam mengucapkan selamat menyambut perayaan agama lain kepada kawan-kawan yang non-muslim contoh seperti selamat menyambut hari Gawai, Marry Christmas, gong xi fa chai dll....
2. Adakah kita dbenarkan menziarahi mereka ketika hari perayaan tersebut sebagai tanda menghargai persahabatan & perpaduan antara kita?
Apakah hukum kedua2 persoalan tersebut? sekian terima kasih.
Jawapan:
Bagi menjawab soalan ini, kami terjemahkan fatwa dari Majlis Fatwa dan Kajian Eropah yang bertajuk: Ucapan Tahniah Untuk Orang Bukan Islam Pada Perayaan Mereka.
Keputusan Majlis Fatwa adalah seperti berikut:
Persoalan ini termasuk persoalan yang amat penting dan sensitive, terutamanya bagi umat Islam yang menetap di Barat. Telah sampai kepada kami banyak soalan dari saudara-saudara kita yang tinggal di sana, mereka hidup bersama keluarga mereka yang bukan orang Islam, wujud juga ikatan sesama mereka seperti ikatan kejiranan, rakan sekerja, rakan belajar, sehingga seseorang muslim dapat merasakan kebaikan dari pihak rakannya yang bukan muslim dalam beberapa keadaan, seperti seseorang yang bukan muslim menjadi penyelia dalam membantu pelajar muslim dengan ikhlas, seorang doktor yang merawat pesakit muslim dengan ikhlas dan seumpamanya.
Maka apakah pendirian seseorang muslim terhadap orang bukan muslim yang tidak memusuhi, memerangi dan menghalau mereka disebabkan agama mereka?
Sesungguhnya al-Quran al-Karim telah meletakkan kaedah hubungan antara umat Islam dengan bukan Islam pada dua ayat di dalam al-Quran dari surah al-Mumtahinah. Ayat tersebut telah diturunkan berkaitan dengan para penyembah berhala (Musyrikin Wathaniyyin). Firman Allah Taala:
لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين إنما ينهاكم الله عن الذين قاتلوكم في الدين وأخرجوكم من دياركم وظاهروا على إخراجكم أن تولوهم ومن يتولهم فأولئك هم الظالمون
Mafhumnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang Yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa Yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.” (al-Mumtahinah: 8-9)
Ayat ini meletakkan perbezaan antara yang tidak memerangi dan yang memerangi.
GOLONGAN YANG PERTAMA, iaitulah yang tidak memerangi umat Islam, ayat al-Quran tersebut membenarkan kita berbuat البِرّ dan القِسْطُ terhadap mereka. Berikut dijelaskan maksud beberapa kalimah:
القِسْطُ membawa maksud berlaku adil,
البِرّ membawa maksud berbuat baik.
اَلْفَضْلُ pula ialah suatu yang melebihi berbuat adil (اَلْعَدْلُ).
Manakala اَلْعَدْلُ ialah kamu mengambil hak kamu.
اَلْبِرُّ juga bermaksud kamu beralah terhadap sebahagian hak kamu.
Adapun العدل atau القِسْطُ iaitulah kamu memberi seseorang akan haknya tanpa dikurangkan.
Selain itu البر juga boleh membawa maksud kamu melebihkan pemberian haknya sebagai suatu kelebihan dan berbuat baik.
GOLONGAN YANG KEDUA pula iaitulah golongan yang dilarang di dalam ayat al-Quran tersebut untuk berbuat baik kepada mereka. Iaitulah golongan yang memusuhi dan memerang umat Islam dan berusaha mengusir umat Islam dari negeri mereka tanpa cara yang benar melainkan kerana umat Islam mengucapkan: Tuhan kami adalah Allah, seperti yang diperlakukan oleh orang-orang Quraisy Musyrikin Mekah terhadap Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.
Sesungguhnya al-Quran telah memilih kalimah البر berkaitan hubungan dengan orang-orang yang tidak memerangi umat Islam, ketika Allah berfirman:
أن تبروهم
Mafhumnya: “Untuk kamu berbuat baik terhadap mereka (orang-orang bukan Islam).” Kalimah ini merupakan kalimah yang digunakan terhadap golongan yang paling mulia haknya ke atas manusia, selepas hak Allah Taala iaitulah بر الوالدين berbuat baik kepada kedua ibu dan bapa. (maka kalimah yang sama digunakan dalam persoalan hubungan antara umat Islam dan bukan Islam)
Selain itu, Al-Bukhari dan Muslim juga telah meriwayatkan daripada Asmaa binti Abu Bakr RA yang telah bertemu dengan Nabi SAW dan berkata:
يَا رسول الله، إِنَّ أُمِّيْ قَدِمَتْ عَلَيَّ وَهِيَ مُشْرِكَةٌ، وَهِيَ رَاغِبَةٌ أَفَأَصِلُهَا؟ قال: "صِلِيْ أُمَّكِ
Mafhumnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku datang bertemu denganku, dia seorang musyrik, dia juga bersungguh-sungguh hendak menjalinkan hubungan denganku, apakah aku wajar menyambungkan hubungan dengannya?” Jawab baginda: “Jalinkan hubungan dengan ibumu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Ini berkaitan hubungan dengan orang musyrik. Dan telah dimaklumi bahawa pendirian Islam terhadap Ahli Kitab adalah lebih ringan berbanding dengan orang musyrik penyembah berhala. Sehinggakan al-Quran telah menghalalkan makanan dan musaharah dengan mereka dengan maksud boleh memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka seperti firman Allah di dalam surah al-Maaidah:
وطعام الذين أوتوا الكتاب حل لكم وطعامكم حل لهم والمحصنات من المؤمنات والمحصنات من الذين أوتوا الكتاب من قبلكم
Mafhumnya: “Dan makanan orang-orang yang dikurniakan kitab (Yahudi dan Kristian) adalah halal untuk kamu semua (umat Islam), demikian juga makanan kamu semua halal pula untuk mereka. Dan halal juga untuk kamu para wanita yang baik dari kalangan umat Islam dan para wanita yang baik dari kalangan mereka yang dikurniakan kitab (Yahudi dan kristian) sebelum dari kamu.” (al-Maaidah: 5)
Sudah tentu, dari perkahwinan akan melahirkan rasa kasih sayang antara suami dan isteri, seperti firman Allah:
ومن آياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجاً لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة
Mafhumnya: “dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (al-Ruum: 21)
Oleh yang demikian, bagaimana mungkin seorang lelaki tidak mengasihi isteri (sekalipun isterinya itu seorang ahli kitab) yang merupakan suri rumahnya, pasangan hidupnya dan ibu kepada anak-anaknya? Allah SWT juga telah berfirman menjelaskan hubungan antara suami dan isteri:
هن لباس لكم وأنتم لباس لهن
Mafhumnya: “Para isteri itu umpama pakaian bagi kamu semua (para suami), dan kamu pula umpama pakaian bagi mereka.” (al-Baqarah: 187)
Selain itu, termasuk dalam kemestian dari perkahwinan dan hasilnya ialah mewujudkan perhubungan al-Musaharah antara dua keluarga. Al-Quran menyatakan:
وهو الذي خلق من الماء بشرا فجعله نسباً وصهراً
Mafhumnya: “dan Dialah Tuhan Yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikan untuknya (mempunyai) titisan baka dan petalian keluarga (persemendaan).” (al-Furqan: 54)
Sudah semestinya isteri (sekalipun seorang Ahl al-Kitab) memiliki hak sebagai ibu ke atas anaknya yang diiktiraf di dalam Islam. Apakah termasuk dalam erti-kata berbuat baik kepadanya dan bergaul dengannya secara makruf, apabila datang hari raya besarnya, anaknya tadi tidak mengucapkan sebarang tahniah kepadanya? Bagaimana pula pendirian anak itu dengan sanak-saudara emaknya yang ahli kitab seperti datuk dan nenek, bapa saudara dan emak saudara, demikian juga para sepupu? (sudah tentu) Mereka semua tetap memiliki hak al-Arham dan al-Qurba. Allah SWT berfirman:
وأولوا الأرحام بعضهم أولى ببعض في كتاب الله
Mafhumnya: “Dan yang memiliku hubungan al-Arham itu lebih berhak berbanding sebahagian yang lain di dalam kitab Allah.” (al-Anfaal: 75)
firmanNya lagi:
إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذي القربى
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; (al-Nahl: 90)
Jika demikian hak keibuan dan qarabah, yang menuntut seorang muslim atau muslimah menghubungkan hubungan al-Rahim sebagai bukti akhlak baik dari seorang muslim, kelapangan dadanya dan menjalinkan hubungan dengan keluarganya. Maka hak orang lain juga menuntut seseorang muslim untuk menzahirkan unsur keinsanan yang memiliki akhlak yang baik. Rasulullah SAW telah berpesan kepada Abu Zar dengan bersabda:
اتق الله حيثما كنت، وأتبع السيئة الحسنة تمحها، وخالق الناس بخلق حسن
Mafhumnya: “Bertakwalah kamu kepada Allah walau dimana sahaja kamu berada, susuli kejahatan dengan melakukan kebaikan, ia akan menghapus kejahatan itu, dan berakhlaklah dengan orang ramai dengan akhlak yang baik.” (HR Ahmad, al-Tirmizi, al-Darimi dan al-Hakim. Kata al-Tirmizi Hadis Hasan Sahih. Al-Hakim jugak menilai hadis ini sebagai Sahih)
Demikian juga Nabi SAW menganjurkan berlemah-lembut dalam berinteraksi bersama orang yang bukan Islam, baginda juga melarang bersikap kasar dan keras dalam hubungan tersebut. Ketika sebahagian orang-orang Yahudi menemui baginda SAW dan berkata:
السام عليك يا محمد
Mafhumnya: “Kecelakaan dan kematian untuk mu wahai Muhammad.” Ucapan mereka ini didengari oleh ‘Aisyah RA. Lalu beliau membalas:
وعليكم السام واللعنة يا أعداء الله
Mafhumnya: “Ke atas kamu semua juga kecelakaan, kematian dan laknat wahai para musuh Allah.” Lalu baginda menegur ‘Aisyah, menyebabkan ‘Aisyah berkata: “Tidakkah anda mendengar apa yang mereka ucapkan wahai Rasulullah?” baginda menjawab: “Aku dengar. Dan aku telah jawab, ke atas kamu semua juga. Wahai ‘Aisyah, Allah menyukai kelunakan dalam semua urusan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Lebih ditekankan bolehnya mengucapkan tahniah, terutamanya apabila mereka (orang-orang yang bukan Islam) akan mengucapkan tahniah kepada umat Islam apabila tiba perayaan kita, bukankah kita telah diarahkan untuk membalas kebaikan dengan kebaikan, dan menjawab ucapan tahniah dengan ucapan yang lebih baik atau setidak-tidaknya dengan ucapan yang sama. Bahkan yang sepatutnya umat Islam adalah orang yang lebih baik akhlaknya seperti hadis Nabi SAW:
أكمل المؤمنين إيماناً أحسنهم خلقاً
Mafhumnya: “Orang beriman yang lebih sempurna imannya adalah orang yang lebih baik akhlaknya.” (HR Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Darimi dari Abu Hurairah. Kata al-Tirmizi Hadis Hasan Sahih) baginda juga bersabda:
"إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Mafhumnya: “Sesungguhnya daku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (HR Ahmad, al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad, al-Bazzar. Dinilai Sahih oleh Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid)
Perkara ini juga lebih ditekankan apabila kita hendak menyeru dan mendekatkan mereka kepada Islam, dan menjadikan mereka sayang kepada umat Islam. Hal inisatu kewajipan ke atas kita semua, perkara ini tidak mewujudkan jurang antara kita dan mereka, sebaliknya dengan perhubungan yang baik.
Baginda Nabi SAW seorang yang berakhlak baik dan mulia pergaulan baginda dengan orang-orang musyrikin quraisy selama baginda berada di Mekah, sekalipun orang-orang musyrikin Mekah menyakiti dan memusuhi baginda dan para sahabat, lalu menjadikan orang-orang musyrikin Mekah meletakkan kepercayaan kepada baginda, sehingga mereka sanggup meninggalkan barang-barang berharga mereka untuk dijaga oleh baginda SAW. Lalu apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda meninggalkan barang-barang berharga tersebut kepada ‘Ali untuk diserahkan semula kepada pemiliknya.
Oleh yang demikian, tiada larangan untuk seseorang muslim, atau sesuatu pusat Islam mengucapkan tahniah sempena perayaan orang bukan Islam, sama ada secara lisan atau dengan kad ucapan yang bebas dari sebarang unsur syiar atau ayat-ayat keagamaan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti terdapat Salib (pada kad ucapan tersebut), kerana Islam menolak pemikiran Salib itu sendiri, Al-Quran menyebut:
وما قتلوه وما صلبوه ولكن شبه لهم
Mafhumnya: “Dan tidaklah mereka (orang-orang Kristian) membunuh dan menyalibnya (Nabi Isa), akan tetapi yang mereka bunuh itu adalah orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka.” (al-Nisaa: 157)
Maka ucapan-ucapan tahniah yang biasa sempena perayaan yang tidak mengandungi pengakuan kepada agama mereka atau meredhai kekufuran yang ada di dalam agama mereka, sebaliknya hanyalah berbentuk ucapan Mujamalah (mewujudkan hubungan baik) yang telah terbiasa di kalangan orang ramai.
Demikian juga tiada halangan dari menerima hadiah dari mereka (orang bukan Islam) dan membalasnya. Nabi SAW pernah menerima hadiah dari orang bukan Islam sepeti hadiah yang diberi oleh al-Muqauqis pembesar orang-orang Qibti Mesir dan selainnya, dengan syarat hadiah tersebut bukan perkara yang diharamkan seperti hadiah arak dan daging babi.
Kami juga tidak terlupa untuk menyatakan bahawa sebahagian para fuqaha seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya al-‘Allamah Ibn al-Qayyim, dengan keras telah membantah mengambil bahagian dalam persoalan perayaan orang-orang kafir dan Ahl al-Kitab. Kami bersama dengan mereka dalam persoalan tidak bolehnya umat Islam menyambut perayaan keagamaan orang-orang musyrik dan perayaan Ahl al-Kitab, seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam yang lalai sehingga menyambut Krismas sama seperti mereka menyambut perayaan ‘Ied al-Fitri dan Adha, kadang-kalanya lebih meriah lagi. Hal seperti ini tidak sewajarnya berlaku. Kita (umat Islam) memiliki perayaan kita sendiri, dan mereka (orang bukan Islam) ada perayaan mereka yang tersendiri. Namun kita berpandangan tidak mengapa jika sekadar mengucapkan tahniah kepada perayaan kaum agama lain bagi mereka yang ada hubungan kekeluargaan, kejiranan, atau rakan atau seumpamanya yang terdiri dari hubungan kemasyarakatan yang menuntut hubungan baik terjalin, demikian juga pergaulan lunak yang diperakui bersama secara sihat.
Adapun perayaan kebangsaan dan kemasyarakatan, seperti perayaan kemerdekaan, hari kanak-kanak, hari ibu dan seumpamanya. Tiada apa-apa halangan untuk seseorang muslim mengucapkan tahniah, termasuk bersama menyambutnya kerana mengambil kira dia juga salah seorang rakyat Negara tersebut, disamping dia perlu menjauhi perkara-perkara haram yang terdapat dalam perayaan tersebut.
Sekian
*** Salah seorang ahli Fatwa tidak bersetuju dengan Keputusan ini. Beliau ialah Dr. Muhammad Fuad al-Barazi. Beliau menyebut: “Saya tidak bersetuju bolehnya ucapan tahniah untuk perayaan keagamaan bukan Islam, demikian juga memusuhi mereka dengan perayaan mereka.”