BAHAYA PERHIMPUNAN KETIKA WABAK

Oleh: Dr. Nurah binti Zaid al-Rasyud
Penterjemah: Bin Sahak

Lihatlah apa yang berlaku kepada umat Islam di Damsyiq (Syiria) dan Kaherah, Mesir ketika mereka memutuskan untuk berhimpun bagi tujuan berdoa menolak wabak taun tanpa terlebih dahulu mendapatkan fatwa daripada para ulama. Mereka mahu menukar ibadah bersendirian dengan cara berdoa dengan penuh kerendahan diri kepada ibadah berbentuk perkumpulan kerana jahil tentang ketetapan-ketetapan syarak dan mengingkari hak Allah dalam menurunkan syariat dan bukan hak yang lain daripada-Nya.

Kata al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH:

فليس الدعاءُ برفعِ الوباءِ ممنوعاً ولامصادماً للمقدور من حيث هو أصلاً، وإنما الاجتماعُ له كما في الاستسقاءِ فبدعةٌ حدثت في الطاعون الكبير (سنة٧٤٩) بدمشق.
فقد قرأت في:(جزء المنبجي)، بعد إنكاره على جمع الناس في موضع، قال: فصاروا يدعون ويصرخون صراخاً عالياً، وذلك في (سنة ٧٦٤) لمّا وقع الطاعون بدمشق، فَذَكَرَ أنَّ ذلك حدث (سنة ٧٤٩) وخرج الناس إلى الصحراء ومعظمُ أكابرِ البلدِ فدعوا واستغاثوا، فعَظُمَ الطاعونُ بعد ذلك وكَثُرَ وكان قبلَ دعائِهم أخفُّ!!

Doa supaya dihilangkan bala’ tidak ditegah dan tidak juga bertentangan dengan ketentuan taqdir dari segi asalnya. Sebaliknya perhimpunan untuk berdoa (meniru) seperti perhimpunan (solat) al-Istisqa (permohonan meminta diturunkan hujan) adalah satu bid’ah yang direka dalam menghadapi wabak taun yang besar pada tahun 749H di Dimasyq (Syiria). Saya (Ibn Hajar) telah membaca di dalam Juz’ al-Manbiji, setelah beliau (al-Dahhak bin Hajwah al-Manbiji) mengingkari perhimpunan orang ramai di satu tempat (untuk berdoa menolak wabak taun yang berlaku di Dimasyq), beliau menegaskan:

“Mereka berdoa dan meraung dengan raungan yang kuat. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 764H ketika taun melanda Damsyiq (Syria).” Beliau menjelaskan peristiwa seumpama itu (wabak taun) juga berlaku pada tahun 749H. orang ramai dan pembesar-pembesar negara keluar ke padang pasir. Mereka berdoa dan meminta pertolongan. Namun wabak taun semakin parah selepas perhimpunan tersebut sedangkan sebelum perhimpunan itu wabak taun lebih ringan."

Tidak diragui lagi, ia (perhimpunan doa) merupakan punca berlaku percampuran antara orang sakit dengan orang sihat.

Saya (Dr. Nurah al-Rasyud) suka menyatakan bahawa penjelasan Ibn Hajar itu nampaknya berlaku pada zaman kita hari ini. Ketika berlaku serangan wabak taun pertama kali di Kaherah pada 27 Rabiulakhir 833H, jumlah yang terkorban hanya 40 org sahaja, tetapi orang ramai telah keluar ke padang pasir pada 4 Jamadilawwal tahun yang sama, setelah mereka diminta untuk berpuasa 3 hari terlebih dahulu sepertimana yang dilakukan untuk solat al-Istisqa (permohonan minta diturunkan hujan). Di tempat perhimpunan itu orang ramai berdoa dan berada di situ buat seketika waktu. Setelah itu mereka pulang. Belum sempat mereka keluar dari bulan tersebut (belum masuk bulan yang berikutnya) jumlah yang terkorban setiap hari di Kaherah melebihi seribu orang.

Ini berpunca daripada percampuran orang yang sakit dengan yang sihat sehingga wabak tersebut merebak sesama mereka.

Sehinggalah beliau (Ibn Hajar) berkata:

أنه لو كان مشروعاً فِعلُهم ماخفيَ على السلف ثم على فقهاء الأمصار وأتباعِهم في الأعصارِ الماضية، فلمْ يبلغْنا في ذلك خبرٌ ولا أثرٌ عن المحدِّثين، ولا فرعٌ مسطورٌ عن أحدٍ من الفقهاء

“Kalaulah perhimpunan seperti itu disyariatkan (untuk menghadapi wabak penyakit) sudah tentu perkara itu tidak akan tersembunyi terhadap generasi salaf, para fuqaha dan pengikut mereka di zaman-zaman terdahulu. Namun tidak pernah sampai kepada kita walau satu hadis mahupun athar dari para ulama hadis berkaitan perbuatan sedemikian itu, tiada juga walau satu baris dari tulisan mana-mana fuqaha.

Dari kitab: Hukum al-Tada’ie li Fi’l al-Ta’aat fi al-Nawazil wa al-Syada-id wa al-Mulimmat 17-21)


Cetak  
Wallahu a'lam