Tak Perlu Jadi Penasihat Undang-Undang Tak Bertauliah tuan Dr. Hapiz Kodiang

Asal persoalan ialah:

“Apakah imam di setiap negeri wajib ikut peraturan negeri atau tak wajib ikut peraturan? sebaliknya boleh ikut kehendak sendiri?”

Alhamdulillah soalan ini telah dijawab oleh Dr. Hapiz Kodiang, iaitulah:

SEMUA RAKYAT TERMASUK PARA IMAM WAJIB MENTAATI SEMUA PANDANGAN DAN FATWA NEGERI YANG TELAH DIWARTAKAN.

Cuma yang peliknya dengan Dr. Hapiz Kodiang, setelah mengakui hal ini, beliau yang asalnya orang Kedah, bertugas pula di Pulau Pinang, dengan rasa yakin mengangkat dirinya sendiri untuk menafsirkan enakmen-enakmen pentadbiran agama negeri Perlis.

Tuan Dr, sepertimana ilmu-ilmu Islam ada pakar dan rujukannya. Maka demikian juga undang-undang ada pakar dan rujukannya. Undang-undang negeri dan enakmen-enakmen pentadbiran negeri ada penasihat undang-undangnya tersendiri. Ada majlis fatwa negeri yang bertanggungjawab menafsirkannya. Jangan memandai-mandai sehingga terlajak keluar dari bidang Tuan Dr. sendiri.

Begitu mudah Dr. menafsirkan enakmen negeri bagi menghalalkan tohmahan yang telah Dr. buat kepada Perlis, dua Mufti Perlis dan pihak berkuasa agama Perlis.

Dr. mengaku para imam WAJIB mematuhi arahan tuanku raja melalui JAIPs. Setelah itu Dr. terkeliru dalam memahami undang-undang tubuh kerajaan Perlis yang mematerikan manhaj Ahli Sunnah Waljamaah yang tidak terikat dengan apa-apa juga mazhab fikah.

Berbekalkan kekeliruan itu, Dr. menafsirkan sendiri, sebagai bermaksud mengiktiraf semua mazhab utk diamalkan atas alasan semua mazhab juga mengikut sunnah. Justeru pemecatan imam adalah tidar wajar, Atas kefahaman yg keliru ini Dr. "jaga tepi kain Perlis" seterusnya mentohmah apa yg Dr. telah tohmahkan.

Undang-undang tubuh kerajaan Perlis dan enakmen2 pentadbiran agamanya tidak boleh dibaca sebegitu wahai tuan Dr. Ia perlu dibaca menyeluruh dengan dirujuk kepada rujukan2nya yang betul. Sama juga dalam pengajian Islam tak boleh main ikut tafsiran sendiri ikut selera yang tuan Dr. kehendaki. Tersesat jalanlah jawabnya.

Suatu yang amat penting untuk Dr. sedar, tiada siapapun pernah mengangkat Dr. untuk menafsirkan enakmen2 pentabdiran Islam Perlis. Yang ni tuan Dr. mau ingat.

“Tidak terikat dengan mana-mana mazhab” seperti yang termaktub bukan bermaksud mengiktiraf dan mengamalkan semua mazhab dalam sesuatu isu. Fikirkanlah wahai tuan Dr. bagaimana nak diamalkan semua mazhab dalam sesuatu isu???

Tidak terikat dengan mana-mana mazhab itu bermaksud Perlis melalui fatwanya menerima semua mazhab ahli sunnah untuk dirujuk dan diselidiki. Setelah itu fatwa berhak memilih salah satu pandangan dari pandangan-pandangan mazhab yang ada untuk diamalkan. Salah satu sahaja tuan Dr. bukan semua sekali untuk diamalkan dalam sesuatu isu.

Tafsiran ini dijelaskan oleh Jawatankuasa Syariah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di dalam fatwanya yang telahpun diwartakan. Fatwa ini juga dikeluarkan sebelum dua orang mufti yang Hapiz Kodiang “Jaki”kan sangat, sehingga mentohmah dan menfitnah mereka. Fatwa tersebut menyebut bahawa:

“Pengertian Ahli Sunah Waljamaah ialah kumpulan orang Islam yang berpegang pada al-Quran, al-Sunnah dan pendapat para sahabat yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata daripada Kitab Allah dan Sunah Rasulullah SAW.”

Penjelasan ini menunjukkan pegangan Negeri Perlis adalah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah yang tidak terikat kepada mana-mana mazhab fikah tertentu. Sebarang pandangan mazhab fikah diterima berpandukan kesahihan dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang dibawa oleh mazhab tersebut.

Sambungan dari fatwa yang sama dinyatakan:

“mazhab-mazhab fikah ialah aliran hukum syarak yang sah didasarkan di atas tafsiran tertentu terhadap nas-nas syarak oleh ulama mujtahidin mengikut kaedah istinbath yang muktabar. Majlis tidak terikat kepada mana-mana satu mazhab tertentu. Dalam mazhab manapun yang jelas dan nyata pendapat mereka itu daripada Kitabullah atau sunah Rasulullah SAW atau Jemaah Sahabat Rasulullah SAW, maka majlis sedia menerima dari beramal dengannya. Adapun mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafii dan Hambali pada pandangan rasmi Majlis adalah terhitung dalam mazhab yang muktabar yang tergolong dalam istilah Ahli Sunah Waljamaah. Majlis Agama Islam Perlis memang berpandukan kepada mazhab itu dan mengambil pendapat-pendapat mereka yang ada alasan daripada al-Quran, sunah dan Jemaah Sahabat Rasulullah SAW.”

Oleh itu, dalam fekah, Kerajaan Perlis bersepakat untuk berpegang pada al-Quran dan sunah sebagai sumber rujukan utama, merujuk kepada mazhab-mazhab yang muktabar dan menggalakkan ijtihad dalam perbagai isu semasa dan menolak taklid buta. Inilah ruh yang dikehendaki dari ungkapan “Tidak terikat dengan mana-mana mazhab tertentu” bukan seperti kefahaman tuan Dr. yang terkeliru itu. Inilah juga maksud titah DYMM Tuanku Raja Perlis yang menyebut: “menerima semua mazhab”. Sila dirujuk juga tujuh amanat DYMM Tuanku Raja Perlis.

Oleh yang demikian juga, segala andaian Hapiz Kodiang terhadap pihak berkuasa agama Perlis ternyata meleset dan tertolak.

Masalah utama bukan pada Perlis yang kononnya menghujah orang itu dan orang ini sebagai tidak sunnah. Orang itu dan orang ini sebagai pembuat bidaah. Sebaliknya masalah utama ialah wujudnya orang-orang berpendidikan agama yang fanatik dengan amalan sendiri seperti Dr. Hapiz Kodiang lalu berhukum bersandarkan maklumat yang tidak cukup dan cerita orang semata-mata.

Satu lagi masalah besar pada Hapiz Kodiang ialah beliau terkeliru dalam membuat kesimpulan mudah dengan menganggap apabila seseorang imam ditamatkan atau tidak disambungkan lagi jawatan imamnya, maka ini bermakna Perlis menghukum sesat dan ahli bidaah kepada imam terbabit.

Tamatkan jawatan imam tidak semestinya bermaksud menghukum sesat dan bidaah. Sebaliknya ia adalah hak pemerintah. Ia sama seperti kes Umar bin al-Khattab RA tamatkan khidmat Khalid bin al-Walid RA. Ia bukan sebab Umar menghukum khalid sebagai sesat, tetapi ia adalah polisi dan ijtihad berbeza.

Untuk pengetahuan Dr. Hapiz Kodiang juga sehingga hari ini belum ada kes pendakwaan di mahkamah Perlis ke atas mereka yang mengamalkan mazhab Syafie.

Lebih hebat, tokoh-tokoh agama dari luar yang tak sealiran dengan Perlis dan tidak melanggar adab-adab Islam masih dibiarkan berceramah dan berkala di dalam negeri Perlis termasuk bekas mufti Kedah, Dato’ Badaruddin Hj Ahmad, sedangkan Mufti Perlis tidak pergi ke Kedah untuk mengadakan kuliah berkala beliau.

----------------------
Saya nyatakan, coretan Hapiz Kodiang: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2228104980547548&id=100000442026372
mengandungi tohmahan dan fitnah yang menuntut penjelasan dan bukti dari beliau. Saya telah sebutkan di sini: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1124595097723040&id=492407374275152

Jika beliau sedar yang beliau terkeliru, beliau sepatutnya segera memohon maaf atas tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas tersebut. Jika orang politik di era Malaysia baru ini sanggup menarik balik keterlanjuran cakap. Maka orang agama lebih-lebih lagi. Akhir kata saya mempunyai 3 nasihat kepada Dr Hapiz:

1. Ingatlah pesan Nabi sallallah alaih wasallam yang berbunyi:

ولا تأتوا ببهتان تفترونه بين أيديكم وأرجلكم

Jangan kamu melakukan buhtan kepada orang yang kamu reka dengan tangan dan kaki kamu. (HR Bukhari)

Buhtan merangkumi semua perbuatan bohong menurut sebahagian ulama.

Sabda Nabi lagi:

((ألا أنبئكم بأكبر الكبائر؟))، قالوا: بلى يا رسول الله، قال ثلاثًا، ق ((الإشراك بالله، وعقوق الوالدين))، وكان مُتَّكئًا فجلس، فقال: ((ألا وقول الزور، وشهادة الزور))،

hendakkah aku ceritakan kepada kamu antara dosa besar? Jawab sahabat: mahu wahai Rasulullah. Sabda Nabi: Syirik kepada Allah derhaka kepada ibu bapa, kemudian Nabi duduk dan berkata: dan perkataan bohong dan penyaksian bohong) (HR Bukhari)

2. Jangan sesekali menggunakan alasan tulisan Dr ini untuk orang awam untuk menyebarkan dakwaan bohong sama seperti yang Dr lakukan sewaktu menyebarkan hadis yang tiada asalnya (palsu) dalam buku Dr dulu. Palsu tetap palsu sama ada pada orang awam atau pada ilmuwan. Menyebut sabda Nabi sama sekali tak sama dgn menyebut mafhum kalam yg masyhur dlm kalangan fuqaha.

3. Jangan berlindung di sebalik istilah wasati untuk mewajarkan tuduhan tanpa bukti kepada Perlis dan pihak lain juga.

Sekian,


Cetak  
Wallahu a'lam