SDI 0611: Maksud Hadis Orang Beriman Makan Pada Satu Perut, Orang Kafir Dengan Tujuh Perut

Soalan: 
 
Salam ustaz...nak tanya tentang hadis "Orang mukmin minum dengan satu usus,orang kafir minum dengan 7 usus"(sahih muslim) Apa maksud sebenar hadis ini?...terima kasih ustaz 
 
Jawapan: 
 
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
 
Hadis yang ditanya adalah sebuah hadis yang sahih, riwayat alBukhari, Muslim dan selainnya daripada Abu Hurairah RA dan Ibn 'Umar RA. Lafaz hadis di dalam sahih alBukhari daripada Abu Hurairah RA menyatakan maksudnya:
 
أَنَّ رَجُلًا كَانَ يَأْكُلُ أَكْلًا كَثِيرًا فَأَسْلَمَ، فَكَانَ يَأْكُلُ أَكْلًا قَلِيلًا، فَذُكِرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَقَالَ: "إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَأْكُلُ فِي مِعًى وَاحِدٍ، وَالْكَافِرَ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ
 
 
Maksudnya: "Bahawa seorang lelaki yang dahulunya banyak makan. Apabila dia memeluk Islam, makannya sedikit. Lalu hal itu dinyatakan kepada Nabi SAW, lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya seorang mukmin (yang beriman) makan pada satu perut, manakala seorang kafir makan pada tujuh perut."
 
Maksud Hadis 
 
Para ulama berbeza pandangan, namun secara keseluruhannya mereka menyatakan hadis ini memberi tumpuan dalam menggalakkan sifat zuhud dan berpada pada apa yang mudah sahaja terhadap dunia. alHafidz Ibn Hajar al'Asqalani menyatakan:
 
Diperselisihkan tentang makna hadis ini. Ada yang berpandangan: hadis ini bukan memaksudkan zahirnya, sebaliknya ia hanyalah perumpamaan bagi seorang yang beriman dan kezuhudannya terhadap dunia dengan seorang kafir dan kesungguhannya terhadap dunia. Seorang mukmin itu pasti akan zuhud terhadap dunia. Dia makan pada perut yang satu. manakala seorang kafir itu pula dek keranakan bersungguh-sungguhnya dia dengan keghairahannya terhadap dunia dan sentiasa hendak memperbanyakkan habuan dunia, dia makan pada tujuh perut. Hadis ini bukanlah memaksudkan perut yang sebenar, bukan juga dikhususkan pada makan. Sebaliknya ia hanyalah memaksudkan (perbandingan) antara zuhud (seorang yang beriman) dengan dunia dan tamak (seorang kafir) terhadapnya, maka baginda seperti membuat perumpamaan dunia itu seperti mengambil makanan dan sebab-sebab yang membawa kepada ketamakan itu diumpamakan dengan perut. Ada juga yang berkata hadis ini membawa maksud seorang yang beriman akan makan makanan yang halal. Manakala seorang kafir akan memakan makanan haram (yang berbagai), tidak mensyaratkan halal, kerana yang halal itu lebih sedikit dari yang haram. Ada juga yang berpandangan hadis ini menggalakkan seorang yang beriman agar sedikit makan. Apabila seorang yang beriman mengetahui banyak makan adalah sifat orang kafir, maka jiwa seorang yang beriman sayugianya lari dan jauh dari sifat orang kafir, seperti yang sedia dimaklumi bahawa sifat orang-orang kafir adalah suka memperbanyakkan kelazatan dan kesenangan dunia. Allah taala berfirman: "dan orang-orang yang kafir, mereka itu bersenang-senang dan makan sepertimana haiwan makan, dan neraka itu adalah tempat tinggal mereka." (Muhammad: 12) 
 
Ada juga yang berkata: Hadis ini memaksudkan individu itu sendiri. Huruf alif dan lam yang ada pada kalimah mukmin itu bermaksud 'ahdiyyah bukan jinsiyyah. Tiada jalan untuk difahaminya secara umum, kerana ia dinafikan oleh penyaksian, di mana berapa ramai orang kafir yang lebih kurang makannya berbanding seorang yang beriman dan demikian sebaliknya. Berapa ramai pula dari orang kafir yang memeluk Islam, namun tidak berubah kadar makannya. Maka hadis ini merujuk kepada individu itu sendiri. Ada juga yang berpendapat hadis ini memaksudkan pada kebiasaannya, bukan pada hakikat bilangan yang disebut. Sebaliknya hadis ini hendak menyatakan sikap melampau. Maksudnya bahawa seorang yang beriman sepatutnya kurang makan disebabkan sibuk memastikan dia dapat beribadah, dia juga tahu bahawa tujuan syara' pada makan ialah sekadar dapat menahan lapar dan membantu ibadah. Demikian juga bimbang jika dia makan melebihi hajat, akan menimbulkan masalah pada hari hisab. Sebaliknya orang kafir tidak sedemikian. Oleh itu jadilah makan orang yang beriman jika dinisbahkan kepada makan orang kafir adalah seperti 1/7 dari mereka. Hadis ini tidak semestinya menyebut dari sudut hak bagi seorang yang beriman dan seorang kafir. Ini kerana kadangkala dari kalangan orang-orang yang beriman itu ada yang makan banyak, manakala dalam kalangan orang-orang kafir itu pula, ada yang makan sedikit. Maka yang dimaksudkan oleh hadis ialah seorang yang beriman sepatutnya bersungguh untuk bersikap zuhud dan berpada, berbeza dengan seorang kafir. Jika terdapat seseorang yang beriman atau seseorang yang kafir berbeza dengan sifat yang dinyatakan di dalam hadis, maka ia bukanlah suatu yang tercela. Ada juga yang berpandangan yang dimaksudkan seorang yang beriman di dlm hadis ini ialah seorang yang sempurna imannya disebabkan sibuk memikirkan tujuan dia diciptakan, memikirkan kematian dan kehidupan selepas kematian. Namun pandangan ini dibantah oleh sebahagian ulama dengan menyatakan bahawa ramai juga dalam kalangan salaf yang makan banyak. Tidak pula hal itu merupakan suatu kekurangan pada iman. 
 
Kesimpulannya:
 
Semua pandangan ini menunjukkan hadis Nabi SAW itu memaksudkan agar berpada dengan makanan dan mengamalkan sikap bermudah, asalkan halal ketika hidup di dunia ini.

Cetak  
Wallahu a'lam