Hukum Makan Buah Dari Pohon Orang Lain

Tidak boleh mengambil buah dari pohonnya melainkan hendaklah mendapatkan keizinan dari tuan pohon, melainkan dalam situasi dharurat. Inilah pandangan majoriti ulama. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

كل المسلم على المسلم حرام دمه وماله وعرضه

 Maksudnya: “Setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram darah, harta dan maruahnya.” (HR Muslim)

Sabda baginda SAW lagi:

لا يحل مال امرئ مسلم إلا عن طيب نفس

Maksudnya: “Tidak halal harta seseorang melainkan dengan keizinan daripadanya.” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Daraqutni dan al-Baihaqi)

Juga sabda baginda SAW:

لا ترْمِ النخل وكلْ مما وقع أشبعك الله وأرواك

Maksudnya: “Jangan kamu membaling untuk mengambil buah tamar (dari pokoknya). Makanlah apa-apa yang gugur, Allah akan mengurniakan kekenyangan kepadamu dan menghilangkan dahagamu.” (HR Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah dan al-Tirmizi yang juga berkata: Hasan Gharib)

Kata Ibn Hajar al-Haitami di dalam al-Inafah fi al-Sadaqah wa al-Dhiyafah: “Sabda Nabi SAW: “Jangan kamu membaling untuk mengambil buat tamar…” padanya terdapat bukti bagi mazhab kami bahawa seorang yang masuk ke dalam kebun (seseorang lain) tidak boleh memakan buah dari kebun tersebut melainkan dari buah yang gugur di atas tanah sahaja bukan dari buah yang di atas pokok bagi kawasan yang tidak berpagar. Jika tidak maka tidak boleh memakan dari buah-buahannya termasuk buah yang gugur ke tanah bagi beramal dengan bukti sokongan yang zahir bahawa buah yang gugur sahaja yang diizinkan diambil oleh tuannya sama seperti Sanabil al-Hasadin. Adanya bukti ini kerana ia tidak dipagar. Jika terdapat pagar maka bukti menunjukkan tidak dibenarkan sedikitpun diambil daripadanya.”

Kata al-Nawawi di dalam al-Majmu’ 9/54:

من مر ببستان غيره وفيه ثمار أو مر بزرع غيره فمذهبنا أنه لا يجوز أن يأكل منه شيئاً إلا ان يكون في حال الضرورة التي يباح فيها الميتة وبهذا قال مالك وأبو حنيفة وداود والجمهور... أما القريب والصديق فإن تشكك في رضاه بالأكل من ثمره وزرعه وبيته لم يحل الأكل منه بلا خلاف وإن غلب على ظنه رضاه به وأنه لا يكره أكله منه جاز أن يأكل القدر الذي يظن رضاه به ويختلف ذلك باختلاف الأشخاص والأزمان والأحوال والأموال

Maksudnya: “Siapa yang melalui satu kebun orang lain, di dalamnya terdapat pokok buahan, maka mazhab kita bahawa tidak boleh memakan sesuatupun dari buahan tersebut melainkan dalam keadaan terpaksa yang membolehkan memakan bangkai. Inilah pandangan Malik, Abu Hanifah, Daud dan majoriti ulama… adapun adik beradik dan rakan rapat, jika ragu apakah tuan kebun membenarkan memakan buah dan tanamannya, maka tidak halal memakan dari buahan dan tanaman tersebut tanpa ada perbezaan pendapat. Jika dia yakin tuan tersebut mengizinkan kepadanya dan tidak melarang dia memakannya, maka harus dia memakan pada kadar yang diyakininya tuan kebun tersebut mengizinkannya. Hukum hal ini berbeza bergantung kepada individu, masa, keadaan dan harta.”


Cetak  
Wallahu a'lam