SDI 0652: Benarkah Ada Larangan Memakan Ikan dan Susu Dalam Satu Menu?

Soalan:
Apakah terdapat hadis melarang kita mencampurkan makanan antara susu masam dan ikan?

Jawapan:

Wallahu a’lam. Setakat maklumat yang saya miliki, tidak terdapat hadis yang melarang melakukan perkara tersebut. Cumanya ia kebiasaannya diungkapkan ketika mempelajari I’raf dalam tatabahasa Nahu Arab, ketika membincangkan tentang baris akhir kalimah yang dapat memberi kesan kepada perubahan makna. Lalu antara contoh yang diberikan adalah seperti berikut:

لا تأكلِ السمك وتشربَ اللبن
لا تأكلِ السمك وتشربُ اللبن .
لا تأكلِ السمك وتشربِ اللبن .

Perbezaan baris pada kata kerja تشرب dalam 3 contoh di atas memberi kesan perubahan kepada makna. Perubahannya adalah seperti berikut: 

Ayat pertama dengan kata kerja تشربَ, huruf ب dibaca dengan Fathah (dengan أن المضمرة) membawa maksud jangan makan ikan dan susu serentak. 

Ayat kedua dengan kata kerja تشربُ, huruf ب dibaca dengan Dhommah atau Baris Hadapan (kerana al-Isti’naf) membawa maksud jangan makan ikan dan boleh makan susu. 

Ayat ketiga dengan kata kerja تشربِ, huruf ب dibaca dengan Kasrah atau Baris Bawah (kerana ‘Atof) membawa maksud jangan makan ikan, dan jangan minum susu. 

Wallahu a’lam. Besar kemungkinan sebahagian orang yang mempelajari Nahu Arab tersalah anggap sehingga mereka menyangkakan contoh-contoh dalam mempelajari bahasa ini sebagai ajaran agama. Namun sebenarnya contoh-contoh ini bukan memaksudkan sedemikian.


Cetak  
Wallahu a'lam