SDI 1467: Jamuan Atau Kenduri Balik Umrah, Haji Atau Musafir

Soalan:

Assalamualaikum ustaz

Boleh komen berkaitan kenduri kesyukuran lepas balik umrah/haji/musafir, yg dinamakan sbg An Naqiah. Adakah ianya sunnah?

 Jawapan:

Termasuk dalam perkara sunnah atau sunat dilakukan ketika pulang dari permusafiran jauh, sama ada haji, umrah atau permusafiran lainnya, adalah membuat jamuan kesyukuran. Fuqaha menamakan jamuan atau kenduri itu dengan nama النَقِيْعَة al-Naqi‘ah

Antara fuqaha yang menyebut perkara ini ialah al-Imam Zakaria al-Ansori dalam Asna al-Matalib, demikian juga al-Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj.

al-Imam Bukhari juga dalam Sahihnya membuat satu bab: باب الطعام عند القدوم Bab Berkaitan Jamuan Ketika Sampai (dari Permusafiran).” Bawah bab ini al-Bukhari datangkan hadis Jabir RA:

أنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم، لما قدم المدينة نحَر جَزورًا أو بقرة

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW ketika sampi ke Madinah (dari sesuatu permusafiran jauh) baginda menyembelih unta atau lembu betina”

al-Imam Abu Daud dalam kitab Sunannya meletakkan bab: باب الإطعام عند القدوم من السفر  “Bab Berkaitan Memberi Makan Ketika Sampai Dari Permusafiran.” Kemudian beliau sertakan hadis yang memiliki makna yang sama dengan hadis di sisi al-Bukhari di atas. 

al-‘Azim Abadiy dalam syarahnya ‘Aun al-Ma’bud berkata:

“Hadis ini menunjukkan disyariatkan jemputan jamuan (kenduri) ketika pulang dari permusafiran. Dinamakan jamuan ini sebagai al-Naqi‘ah yang berasal dari al-Naq‘ (النَقْعُ) yang merujuk kepada debu yang melekat pada tubuh badan orang yang pulang dari permusafiran.

Kata al-Imam al-Nawawi RH: 

يستحبُّ النقيعة؛ وهي طعام يُعمل لقدوم المسافر، ويُطلق على ما يعمله المسافر القادم، وعلى ما يعمله غيرُه له... وممَّا يستدل به لها: حديث جابر رضي الله عنه: أنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم، لما قدم المدينة من سفره، نحَر جزورًا أو بقرةً"؛ رواه البخاري

Maksudnya: “Disunnahkan membuat al-naqī‘ah, iaitu makanan yang disediakan sempena kedatangan seseorang musafir. Ia juga digunakan untuk merujuk kepada makanan yang disediakan oleh musafir yang baru pulang, ataupun yang disediakan oleh orang lain untuknya. Antara dalil yang dijadikan sandaran untuk hal ini ialah hadis Jābir RA: “Sesungguhnya Rasulullah , apabila kembali ke Madinah dari perjalanan, baginda menyembelih unta atau lembu betina.” Diriwayatkan oleh al-Bukhārī.

 


Cetak  
Wallahu a'lam